Penganggur Merogol Dipenjara 7 Tahun, 4 Sebatan

Diterbitkan: Khamis, 8 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, memerintahkan seorang penganggur menjalani hukuman penjara tujuh tahun dan disebat empat kali selepas didapati bersalah merogol seorang gadis di bawah umur, tiga tahun lalu.

Hakim Slamat Yahya membuat keputusan itu terhadap Mohamad Firdaus Esa, 26, dan memerintahkan agar hukuman penjara tersebut bermula daripada tarikh dia ditangkap, iaitu 1 April 2008.

Bagaimanapun, beliau membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut kerana dia berhasrat untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mohamad Firdaus didakwa merogol remaja berusia 14 tahun pada antara pukul 2 pagi dan 4 petang, 3 Mac 2008 di sebuah unit kosong Kondominium Golden Villa, Jalan Temenggong 37/KS7, Taman Sejahtera, Klang, dekat sini.

Pada prosiding itu, Slamat turut memerintahkan supaya dua remaja berusia 18 dan 20 tahun dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan jaminan RM5,000 selepas didapati bersalah atas tuduhan merogol mangsa yang sama.

Seorang daripada pesalah juvana itu didakwa melakukan kesalahan tersebut semasa dia berusia 15 tahun pada 3 dan 6 Mac 2008 di tempat kejadian yang sama.

Seorang lagi rakannya didakwa melakukan kesalahan itu pada 3 Mac 2008 iaitu semasa tertuduh hanya berusia 17 tahun.

Pada 10 Ogos lalu, Slamat mensabitkan semua tertuduh bersalah atas pertuduhan yang dihadapi dan menetapkan agar hukuman dijatuhkan pada Khamis. Seramai 13 saksi memberi keterangan pada perbicaraan kes terbabit.

Terdahulu, peguam-peguam Pritam Singh Doal dan Aminuddin Mohd Ramli merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan terhadap tertuduh kerana usia tertuduh yang masih muda.

Mereka juga memohon agar bon berkelakuan baik dikenakan terhadap tertuduh memandangkan tiada keganasan dilakukan semasa kejadian.

Pritam juga memberitahu, mangsa telah melarikan diri dari rumah dan telah berjumpa dengan salah seorang tertuduh, yang merupakan teman lelakinya.

"Tertuduh tidak mencari mangsa, dalam erti lain hubungan seks tersebut adalah secara suka rela," tambahnya.

Beliau juga menambah, hukuman penjara adalah tidak sesuai dengan tertuduh kerana mereka akan bercampur-gaul dengan pesalah-pesalah lain di situ.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Maisarah Kamal membantah permohonan bon berkelakuan baik atas alasan mangsa di dalam kes itu telah dirogol oleh tiga lelaki yang berlainan sebanyak empat kali.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan