Remaja Ugut Sebar Gambar Bogel Dipenjara 11 Bulan, Denda RM2,500

Diterbitkan: Rabu, 7 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gambar bogel yang dijadikan sebagai ‘senjata’ agar seorang kenalan wanita menurut arahan sipemeras ugut akhirnya memakan diri apabila remaja berkenaan dihukum penjara 11 bulan dan denda RM2,500.

Tertuduh, Muhamad Shukri Kassim, 20, yang merupakan seorang juruwang di kafe internet hanya mampu menundukkan kepala semasa hukuman dibacakan ke atasnya oleh Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir pada Rabu.

Abdullah Siddiq yang menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh juga memerintahkan supaya tertuduh dihukum penjara 12 bulan sekiranya gagal untuk menjelaskan denda berkenaan.

Muhamad Shukri yang berasal dari Segamat, Johor didakwa atas tuduhan mengugut wanita berusia 21 tahun itu bahawa gambar bogel tersebut akan disiarkan di laman web sosial facebook, jika mangsa tidak mengikut arahannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 2.30 petang, 15 Jun lalu di Blok A-3-18, Kelumpok Bambu A, Jalan AU2, Keramat, Wangsa, Sentul, di sini.

Gambar lucah tersebut difahamkan dihantar oleh wanita berkenaan ke telefon bimbit milik Muhamad Shukri.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga menghadapi tuduhan kedua, iaitu menyimpan gambar dan video lucah di dalam telefon bimbitnya jenis Sony Ericsson pada pukul 4.30 petang, 16 Jun lalu di di Blok 30, Bangunan Flat PKNS, Jalan Plumbum 7/97, Seksyen 7, Shah Alam, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozana Hussin mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada rayuannya untuk meringankan hukuman, Muhamad Shukri memohon agar mahkamah mempertimbangkan keadaan ibunya yang menghidap penyakit kencing manis, sakit manis dan darah tinggi.

Dia juga menambah, agar diberikan peluang kedua selain telah insaf dengan kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun, Rozana memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang berbentuk pengajaran kepada tertuduh supaya dia tidak melakukan kesalahan sama di masa hadapan.

“Kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh juga adalah serius kerana membabitkan membabitkan kehormatan wanita.

“Sekiranya gambar-gambar itu berjaya disebarkan di internet dan sebagainya ia akan mendedahkan keaiban wanita itu kepada masyarakat,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan