Tiga Lelaki Termasuk Sepasang Adik-beradik Dihukum Gantung

Diterbitkan: Ahad, 28 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Sepasang adik-beradik dan seorang rakan mereka dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan membunuh seorang lelaki berusia 25 tahun di Sungai Petani, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani A. Rahim membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan J. Ramesh, 29, abangnya Sasivarnam, 32 dan P. Gunasegar, 30, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan .

Ketiga-tiga lelaki tersebut dan seorang lagi yang masih bebas disabitkan bersalah membunuh B. Venukumar di sebuah taman permainan di Taman Ria Jaya, Sungai Petani antara 9.30 malam dan 10.30 malam, 16 April, 2005.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori.

"Mahkamah mendapati keterangan tiga tertuduh itu tidak menyakinkan. Kenyataan mereka adalah tidak konsisten dan bercanggah antara satu sama lain.

"Oleh itu pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan," kata Zamani dalam penghakiman bertulis.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud manakala ketiga-ketiga tertuduh diwakili oleh peguam Jagdeep Singh Deo. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan