Dua Bekas Pekerja Pathmanabhan Diarah Jadi Saksi Jual Beli Tanah Babitkan Sosilawati

Diterbitkan: Jumaat, 26 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dua bekas pekerja N.Pathmanabhan, tertuduh pertama dalam kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa mereka diarah menjadi saksi dalam dua perjanjian jual beli tanah di Pulau Pinang membabitkan syarikat milik jutawan kosmetik itu, walaupun tidak melihat wanita tersebut menandatangani dokumen berkenaan terlebih dahulu.

Peguam Nor Zairawaty Abd Razak, 31, dan bekas peguam Kam Sani, 38, berkata mereka diarah Pathmanabhan menjadi saksi dalam dua perjanjian jual beli tanah di Pulau Pinang, antara syarikat Southern Symphony miliki Sosilawati, dengan Syarikat Ample Quality serta dua individu lain pada 3 dan 20 Ogos 2010.

Nor Zairawaty, yang menjadi saksi pada 20 Ogos, berkata beliau tidak membaca keseluruhan perjanjian itu, namun ada bertanya kepada Pathmanabhan mengenainya dan tertuduh mendakwa kandungannya telah dijelaskan kepada Sosilawati.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani sama ada beliau biasa melakukan perkara sedemikian, saksi ke-37 pendakwaan itu menjawab tidak, dan berkata Pathmanabhan mengarahnya kerana tertuduh tidak boleh menjadi saksi selepas lesennya (Pathmanabhan) sebagai peguam digantung.

Beliau mengetahui Sosilawati adalah pemilik Southern Symphony ketika diarahkan Pathmanabhan ke Pulau Pinang bagi urusan penarikan balik kaveat tanah pada 14 Ogos 2010.

Saksi itu memberi keterangan pada perbicaraan kes Pathmanabhan, bekas peguam, dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyagan, R. Matan dan R. Kathavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Nor Zairawaty berkata penjual atau pihak pertama dalam perjanjian itu ialah Sosilawati, bagaimanapun, beliau tidak mengetahui siapa pihak kedua atau pembeli.

Ketika disoal peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan, saksi itu berkata beliau tidak membuat sebarang catatan dalam perjanjian itu bagi memaklumkan dokumen tersebut telah ditandatangani tanpa kehadirannya.

Sementara itu, Kam berkata beliau diminta menjadi saksi perjanjian jual beli hartanah di Pulau Pinang membabitkan Southern Symphony dengan dua individu lain pada 3 Ogos 2010.

Kam berkata, tandatangan pihak pertama dalam perjanjian itu ialah milik Pathmanabhan dan beliau dimaklumkan majikannya pihak kedua ialah Sosilawati.

"Awak boleh ke jadi saksi tanpa kehadiran pihak yang menandatangani perjanjian itu," soal Idham dan Kam menjawab beliau tahu tidak boleh, namun terpaksa berbuat demikian kerana diarahkan Pathmanabhan.

"Saya ada beritahu dia adakah ini ditandatangani oleh Sosilawati dan dia kata ya. Pathmanabhan juga kata semua teratur, dan saya tidak perlu risau," katanya.

Ketika disoal Idham mengenai kedudukannya sebagai rakan kongsi dalam firma guaman Pathma & Partners di Jalan Kemboja, Banting, Kam berkata namanya dipinjam sebagai rakan kongsi firma guaman milik Pathmanabhan dan adiknya, Surendran.

"Nama saya dipinjamkan untuk atas kertas sahaja, untuk keperluan permohonan partnership bank. Tetapi hakikatnya saya hanya pekerja biasa yang dibayar gaji," katanya.

Kam juga memberitahu mahkamah beliau mengenali Kathavarayan kerana pernah mewakili tertuduh dalam satu kes di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada 2008.

Pada prosiding hari ini, kedua-dua saksi turut ditanya pihak pembelaan sama ada mereka mengenali wakil rakyat bernama Datuk Abdul Rahman Palil.

Mahkamah diberitahu bahawa mereka tidak mengenali wakil rakyat itu, namun kedua-duanya dimaklumkan Pathmanabhan bahawa Abdul Rahman merupakan pelanggan tertuduh pertama itu dalam urusan jual beli tanah.

Hakim Datuk Akhtar Tahir kemudian menetapkan 12 Sept untuk menyambung perbicaraan.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan esok untuk mendengar penjelasan wartawan dan editor Utusan Malaysia berhubung satu artikel yang disiarkan akhbar itu pada 17 Ogos 2011, yang didakwa 'menyerang' peribadi Manjeet. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Kolumnis

iklan

Iklan