Liwat II: Kesilapan Melabel Boleh 'Membunuh'

Diterbitkan: Khamis, 25 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pakar asid deoksiribonukleik (DNA) dari Australia, Dr Brian Leslie McDonald pada Khamis, menyifatkan kesilapan melabel dua botol yang mengandungi sampel daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kesilapan yang boleh 'membunuh' seseorang.

Sampel tersebut diperoleh daripada bahagian dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa dirinya diliwat oleh Anwar, tiga tahun lalu.

Selain itu McDonald yang memberi keterangan sebagai saksi pembelaan keempat di Mahkamah Tinggi di sini juga berkata, kesilapan sedemikian boleh menyebabkan individu yang terlibat dikenakan tindakan dibuang kerja.

Saksi yang juga merupakan ahli dalam Persatuan Sains Forensik Australia berkata demikian apabila ditanya oleh peguam Ram Karpal Singh berhubung tarikh 26 Jun 2008 pada label botol sampel berkenaan, sedangkan tarikh Mohd Saiful mendapatkan rawatan adalah pada 28 Jun 2008.

Berdasarkan keterangan ahli kimia, Dr Seah Lay Hong sebelum ini, beliau menyatakan telah membuat anggapan bahawa berlaku kesilapan semasa melabel botol berkenaan dengan tulisan tangan, memandangkan kesilapan seperti itu boleh berlaku.

Bagaimanapun, pada prosiding itu, McDonald berkata, kesilapan seperti itu harus diperbetulkan sebaik sahaja ia disedari disertakan dengan rekod bahawa pembetulan telah dibuat.

"Adalah menjadi kesilapan untuk seseorang membuat tanggapan mengenai apa yang sepatutnya tertera pada label," tambah McDonald dan menambah, tiada rekod dapat menunjukkan pembetulan ada dibuat.

Semasa ini, Seah yang hadir di mahkamah sebagai saksi pakar kepada pihak pendakwaan dilihat beberapa kali menggelengkan kepalanya.

Ahli kimia itu yang bertugas di Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, dekat sini duduk di antara Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin.

Ram seterusnya bertanyakan kepada McDonald sekiranya terdapat garis panduan atau protokol standard yang harus diikuti apabila membuat pembetulan, dan saksi menjawab ya.

"Semua dokumen harus mempunyai tarikh, masa dan nama individu yang membuatnya. Jika terdapat kesilapan, ia mesti dikenalpasti dan direkodkan.

"Rekod kesilapan yang dibuat mesti menyatakan bila, mengapa dan siapa yang membuat pembetulan. Ini adalah prosedur asas dalam menjalankan ujian makmal," katanya.

Pada keterangan lain, McDonals juga berkata sampel DNA yang diperoleh daripada seseorang individu seharusnya dibekukan dengan secepat mungkin untuk mengelakkan tindakan bakteria.

"Ia mesti dibekukan pada suhu dibawah 20 darjah celcius untuk memastikan intergitinya terpelihara," katanya.

Jawapan saksi seterusnya membawa Ram untuk bertanyakan apa yang akan terjadi kepada sampel DNA yang disimpan di dalam suhu bilik selama dua hari sebelum diserahkan kepada ahli kimia seperti yang berlaku di dalam kes ini.

McDonald menjawab, ia akan mengakibatkan pertumbuhan bakteria, yis dan fungus dan mengambil contoh daging 'lamb chop' yang dikeluarkan daripada peti sejuk sebelum diletakkan pada suhu bilik selama dua hari, McDonald berkata, ia akan berbau busuk.

Oleh itu, McDonald bersetuju dengan cadangan Ram bahawa telah berlaku 'kecacatan' yang teruk pada sampel yang diambil daripada bahagian dubur Mohd Saiful, yang merupakan bekas pembantu kepada Anwar.

Selain itu, saksi juga berkata, tiada ujian untuk mengesan kehadiran sperma dilakukan pada sampel tersebut, sedangkan perkara itu amat penting.

"Pada antara enam hingga lapan jam selepas ejakulasi berlaku, bilangan sperma adalah tinggi dan ia akan berkurangan selepas lapan jam," tambah saksi.

Beliau yang pernah memberi keterangan di Brunei seterusnya berkata, ujian yang dilakukan terhadap sampel berkenaan boleh mendatangkan hasil yang negatif, bagaimanapun, dalam kes terhadap Anwar, keputusannya adalah positif.

Terdahulu, pada peringkat awal pemeriksaan utama oleh Ram, beliau mempertikaikan sijil akreditasi Makmal Forensik, Jabatan Kimia Malaysia yang didakwa tidak menepati piawaian antarabangsa.

Ram berkata demikian selepas merujuk kepada surat daripada American Society Of Crime Laboratory Directrors (ASCLD) yang ditujukan kepada Pengarah bahagian Forensik, jabatan terbabit, Lim Kong Boon bertarikh 5 April lalu.

Menurut surat tersebut, ASCLD telah bersetuju untuk memberi lanjutan masa selama enam bulan untuk makmal terbabit mendapatkan masa yang secukupnya bagi menepati piawaian yang diperlukan.

Seorang lagi peguam Anwar, Sankara Nair seterusnya menjelaskan kepada media bahawa makmal tersebut telah diletakkan di bawah 'program legacy' oleh ASCLD antara 19 September 2005 dan 18 oktober 2010 yang merupakan tempoh percubaan yang bukannya akreditasi sebenar.

Makmal tersebut juga telah mendapat dua lanjutan masa yang akan berakhir pada Oktober ini, dan difahamkan tidak akan mendapat ISO17025 jika masih gagal mendapatkan sijik akreditasi.

Pada prosiding itu, Ram membuat permohonan agar surat tersebut ditandakan oleh mahkamah, tetapi permohonan itu dibantah oleh Mohd Yusof atas alasan McDonald bukanlah individu yang mengeluarkan surat terbabit.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah kemudiannya membenarkan surat itu ditandakan, tetapi ia berkemungkinan akan dipadamkan selepas mendengar keterangan daripada Lim.

Sankara memberitahu, Lim yang pernah menjadi saksi dalam kes liwat Anwar pada tahun 1998 telah disepina untuk hadir di mahkamah pada Jumaat.

McDonald sedang memberi keterangan bagi pihak Anwar, 64, yang sedang membela diri atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, 26, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, dekat sini dan jika disabitkan bersalah, beliau boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan disebat.

Perbicaraan akan bersambung pada Jumaat.

Kehadiran Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh pada Khamis, disambut oleh perhimpunan kecil oleh gerakan anti Anwar yang berbaris di luar pagar Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini.

Mereka yang memakai baju kuning turut membawa sepanduk tertulis 'Selamat Hari Raya Peliwat 2.0' dan 'Keadilan Untuk Saiful' serta malaung-laungkan perkataan 'reformasi'.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan