Abang Teoh Pohon Kebenaran Semakan Kehakiman Keputusan Suruhanjaya

Diterbitkan: Rabu, 24 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Abang Teoh Beng Hock pada Rabu memohon kebenaran untuk semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan anggota Suruhanjaya Diraja yang memutuskan kematian adiknya itu akibat bunuh diri.

Teoh Meng Kee memfailkan permohonan itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, melalui Tetuan Gobind Singh Deo & Co di sini.

Dalam permohonan itu, Meng Kee menamakan Pengerusi Suruhanjaya yang juga Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen sebagai responden pertama manakala bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom sebagai responden kedua hingga kelima.

Meng Kee memfailkan permohonan itu berhubung keputusan kesemua responden bahawa kematian Teoh pada 16 Julai 2009 di tingkat 5 bangunan Plaza Masalam akibat membunuh diri.

Menerusi afidavit sokongan, Meng Kee menyatakan bahawa keputusan bunuh diri tidak boleh dibuat secara anggapan.

Dakwanya, keputusan yang didedahkan kepada umum pada 21 Julai lalu dibuat tanpa adanya keterangan yang menunjukkan apa yang berlaku kepada Teoh di antara pukul 3.30 pagi (selepas pernyataan Teoh selesai dirakam pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)) dan 7 pagi (anggaran masa kematiannya) 16 Julai 2009 serta bagaimana beliau meninggal dunia.

Meng Kee berkata keputusan sedemikian adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak sah, tidak rasional dan tidak munasabah.

Beliau mendakwa kesemua anggota suruhanjaya tidak tahu dan tiada keterangan terus tentang apa yang berlaku terhadap Teoh pada waktu itu yang dikatakan menjadi pencetus Teoh membunuh diri.

Meng Kee berkata suruhanjaya memutuskan adiknya telah didorong untuk membunuh diri disebabkan oleh soal siasat yang agresif, berlarutan dan menindas yang dikenakan ke atas Teoh oleh pegawai SPRM tertentu yang terlibat dalam operasi yang sedang berjalan oleh SPRM Selangor pada malam 15 Julai memasuki pagi 16 Julai 2009

Turut diputuskan ialah anggaran masa kematian Teoh adalah antara 7.15 pagi dan 11.15 pagi pada 16 Julai 2009; Teoh telahpun keluar daripada tingkap Pejabat SPRM di Tingkat 14, bangunan Plaza Masalam dan jatuh; Teoh telahpun dibawa ke pejabat SPRM untuk disoal siasat sebelum jam 6 petang pada 15 Julai 2009, diiringi pegawai SPRM dan Teoh telah disoal siasat sebanyak empat kali semasa beliau berada di pejabat SPRM.

Prosiding suruhanjaya yang bermula 14 Feb hingga 10 Mei lepas melibatkan 70 orang saksi selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhannya pada 26 Jan lepas untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Selain itu ia turut menyiasat sama ada terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan siasatan SPRM terhadap Teoh yang merupakan setiausaha politik kepada anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah.

Sementara itu di luar mahkamah, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Meng Kee memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan mengemukakan saman terhadap SPRM pada bulan depan. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan