Dua Pekerja Syarikat Pengeluaran Pasir Didakwa Rasuah Komander Maritim

Diterbitkan: Isnin, 22 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua pekerja syarikat pengeluaran pasir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tuduhan memberi suapan kepada Komander Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Wilayah Maritim Timur Kuantan, Pahang, tahun lepas.

Mengikut pertuduhan pertama, Abdullah Sani Cheah Abdullah, 42, didakwa memberi suapan wang tunai RM10,000 kepada Komander Maritim Syd Mohd Fuzi Syd Hasan di bilik No.1118, Hotel Ancasa & SPA, di sini pada 17 September 2010 antara pukul 4.30 petang dan 5 petang.

Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang ke atas bot tunda dan tongkang yang membawa muatan pasir sungai dari muara Kuala Sungai Pahang ke Singapura.

Bagi pertuduhan kedua, Abdullah Sani didakwa memberi suapan wang tunai RM9,500 kepada Syd Mohd Fuzi bagi tujuan yang sama di bilik No.511, Hotel Ancasa & SPA, di sini pada 8 Okt 2010 antara pukul 8.15 dan 8.30 malam.

Pertuduhan ketiga, Abdullah Sani bersama-sama Ding Teak Leong, 53, didakwa memberi suapan wang tunai RM8,000 kepada Syd Mohd Fuzi di bilik No. 2281, Hotel Dynasty, Jalan Ipoh, di sini pada 28 Jun 2010 antara pukul 9.50 dan 10.20 malam.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang ke atas dua bot tunda bernama Bot Win Star Grace dan Bot Bina Ocean 18 dan dua buah tongkang iaitu Barge Winstar 2308-448B dan Barge Bina Marine 20 kerana tidak memiliki dan membawa borang Kastam No.3 (Borang Pemindahan Barang-Barang Dalam Negeri) dan Borang Kastam 10 (Borang Pelepasan Pelabuhan) semasa diperiksa dan ditahan oleh APMM.

Ketiga-tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh dan peguam Leonard Anselm Gomes yang mewakili kedua-dua tertuduh tiada bantahan mengenai wang jaminan itu.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pada 10 Ogos lepas, Abdullah Sani dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM57,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan merasuah Komander Maritim, Syd Mohd Fuzi Syd Hasan dari APMM Wilayah Timur. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan