Kisah Benjy Dengan Dadah

Diterbitkan: Ahad, 21 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERITA penahanan pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy kerana dikatakan terlibat dalam pengedaran dan makmal pembuatan dadah pada tahun lalu merupakan antara yang panas dan kontroversi dalam dunia seni tanah air.

Walaupun identitinya tidak dinyatakan pada berita penahanan itu, ada yang boleh meneka siapakah subjek dalam berita tersebut apabila dinyatakan pelakon tersebut pernah memenangi anugerah pelakon terbaik dan merupakan anak kepada seorang artis veteran.

Selepas beberapa hari menjadi berita utama, seniwati Azean Irdawaty kemudiannya membuat kenyataan bahawa dia tidak percaya Benjy terlibat dalam sindiket itu kerana anaknya sering kehabisan wang dan kerap meminta tolong jika mempunyai masalah kewangan selain faktor fizikal lelaki itu yang tidak kurus seperti orang yang mengambil dadah.

Berita penahanan terbabit sudah semestinya meluluhkan hati Azean Irdawaty sebagai seorang ibu, apatah lagi berita itu diterima semasa dirinya sedang berjuang melawan pembunuh nombor satu wanita iaitu kanser payudara tahap keempat.

Bagaimanapun, ada berita gembira menyusul untuk dirinya selepas Benjy tidak didakwa atas pertuduhan mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman mati, tetapi hanya menghadapi dua tuduhan memiliki dadah jenis syabu dan satu tuduhan memasukkan dadah sama ke dalam badannya.

Bagaimanapun, daripada tiga tuduhan, hanya dua sahaja yang dibicarakan selepas pihak pendakwaan menarik semula tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan pada 18 Ogos 2010.

Rasanya tidak salah jika dikatakan perjalanan kes Benjy lebih menarik daripada mana-mana tertuduh kes dadah, kerana selain status selebritinya, perjalanan kes ini 'diserikan' dengan pelbagai insiden lain.

Antaranya ialah penahanan semula Benjy pada 25 Mac 2010 di luar kaunter bayaran jaminan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas tidak sampai dua jam selepas Azean Irdawaty menjelaskan jaminan RM2,000 yang ditetapkan Mahkamah Majistret.

Seterusnya, Benjy dikenakan pula perintah tahanan dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor menyebabkan tindakan selanjutnya adalah memfailkan permohonan habeas corpus bagi mendapatkan deklarasi penahanan itu dibuat secara salah dan meminta dibebaskan, namun dia menarik semula permohonan itu pada 21 Julai 2010.

Belum reda kes dadah, Benjy, 32, menghadapi pula saman di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur oleh isterinya, Safiya Stephanie Kar-Leng Lee, 29, yang memohon untuk mengesahkan lafaz talak dan rujuk yang didakwa berlaku pada tahun 2008.

Kedua-dua lafaz itu dibuat berselang 13 jam, iaitu Benjy melafazkan talak satu pada pukul 9 pagi, 7 julai 2008 manakala lafaz rujuk yang berbunyi 'Im rujuk-ing' dilafazkan pada pukul 10 malam, hari yang sama.

Perbicaraan yang rancak berjalan bagaimanapun agak 'terganggu' tetapi bukan disengajakan apabila Benjy dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Pakar Damansara, kerana asma yang dihidapinya.

Selepas berakhirnya perbicaraan di peringkat pendakwaan, Benjy dibebaskan daripada satu tuduhan dan hanya dipanggil untuk membela diri atas tuduhan memiliki dadah di rumah nombor A-6-5, Menara Duta 2, Jalan 1/38B Persimpangan Jalan Segambut, Kuala Lumpur pada pukul 4 petang, 11 Mac 2010.

Pada pembelaannya, Benjy berkata syabu seberat 0.24 gram itu ditinggalkan oleh seorang rakan bernama 'Ji' yang datang ke rumah pada malam sebelumnya semasa dia keluar memancing.

Bagaimanapun, pembelaan tersebut tidak dapat mematahkan kes pendakwaan, dan pada Rabu lalu, Majistret Hafizza Sauni mensabitkan Benjy bersalah dan dihukum denda RM5,000 atau enam bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Benjy yang hadir di mahkamah bersama adiknya, Elza Irdalyna menjelaskan denda tersebut memandangkan dia akan menjalani pembedahan major di Hospital Putrajaya pada Khamis.

Tidak hanya datang kosong, Benjy sememangnya membuat persiapan dalam rayuannya bagi meringankan hukuman apabila dia menerusi peguam Amer Hamzah Arshad 'menghulurkan' sepucuk surat kepada mahkamah menyatakan betapa dia tidak mahu dipenjarakan untuk kali kedua.

Pada surat yang ditulis dalam Bahasa Inggeris itu, Benjy mendakwa keadaan kesihatannya semakin merosot apabila ditahan di Muar ekoran keadaan sel - lantai yang sejuk, habuk, dan air - menyebabkan sekurang-kurangnya lima kali dia dikejarkan ke Hospital Muar untuk mendapatkan rawatan ventilator (alat bantuan pernafasan).

Katannya, dia juga pernah mendapat radang paru-paru dan selepas dibebaskan daripada Pusat Pemulihan pada Mac lalu, tahap kesihatannya masih tidak bertambah baik dan pernah dimasukkan ke ICU dan bil rawatannya mencecah RM65,000 yang masih belum dibayar.

Dia juga memohon tidak dipenjarakan atas faktor anak lelakinya yang bakal berusia lima tahun pada September ini, selepas hampir setahun kehilangan peluang untuk mengikuti perkembangan anaknya.

Paling ditakutinya, adalah pembesaran anaknya sebagai seorang Muslim, kerana menurutnya anak tersebut tinggal bersama isterinya, seorang mualaf yang menetap bersama orang tuanya yang tidak beragama Islam.

Benjy bertuah kerana mempunyai sokongan keluarga yang sangat kuat. Dalam keadaan kesihatan yang tidak begitu baik. Azean Irdawaty tetap menghadiri setiap perbicaraan, sehingga kelibatnya tidak lagi kelihatan di penghujung perbicaraan.

'Kehilangan' Azean Irdawaty terjawab dalam surat Benjy yang mengatakan tehap kesihatan ibunya diburukkan dengan berita penahanannya di Muar, dan ia semakin buruk sehingga menyukarkan wanita tersebut untuk berjalan.

Walaupun tidak berada di mahkamah, Azean Irdawaty tetap memberikan sokongan dengan surat yang menyokong dakwaan Benjy bahawa dia perlu menjalani pembedahan.

Tidak hanya sekadar omongan kosong, Azean Irdawaty turut melampirkan surat daripada pakar Rhinology, Hospital Putrajaya, Dr Balwinder Singh Mann yang mengesahkan Beny akan menjalani pembedahan terhadap penyakit ‘Bilateral Nasal Polyposis & Pansinusitis'.

Itu adalah perjalanan hidup seorang lelaki yang bernama Benjy dan kejadian tersebut pasti akan terpalit kepada individu yang mempunyai kaitan secara langsung dengan dirinya.

Mungkin dengan semangat dan doa dari seorang ibu, Benjy sangat bernasib baik kerana terselamat daripada hukuman penjara, terutamanya di saat-saat umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Peluang itu harus digunakan dengan sepenuhnya oleh Benjy untuk membuka lembaran baru dalam kehidupannya dan membuang jauh-jauh kisah hidupnya sejak dua tahun lalu yang suram, selain harus dijadikan iktibar oleh semua masyarakat untuk tidak sekali-kali terjebak dalam najis dadah.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan