Pembunuhan Banting: Wartawan, Editor Utusan Malaysia Diperintah Tunjuk Sebab

Diterbitkan: Khamis, 18 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Hakim yang mendengar perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya memerintahkan seorang wartawan dan editor surat khabar Utusan Malaysia untuk hadir di Mahkamah Tinggi di sini, bagi memberikan tunjuk sebab berkaitan penyiaran berita yang menyentuh peribadi peguam di dalam kes tersebut.

Hakim Datuk Akhtar Tahir pada Khamis, membuat keputusan itu pada Khamis, selepas peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama dalam kes itu, N. Pathmanabhan, membangkitkan isu mengenai berita mengenai dirinya bertajuk 'Manjeet selalu burukkan kerajaan' yang disiarkan di surat khabar arus perdana berkenaan pada Rabu.

Manjeet yang turut membawa keratan akhar tersebut berkata, berita itu yang ditulis oleh wartawan bernama Raja Syahrir Abu Bakar bersifat subjudis (kacau ganggu pada kes yang belum selesai) sedangkan tiada siapa yang dibenarkan untuk membuat komen terhadap sesuatu kes yang masih di dalam peringkat perbicaraan.

"Malangnya, Utusan Malaysia dengan tidak berasas telah menyiarkan berita yang boleh membawa maksud bahawa terdapat campur tangan politik dalam prosiding ini dan barisan pembelaan adalah alat kepada pemimpin pembangkang serta mempunyai motif tersembunyi dalam mengendalikan perbicaraan ini," tambahnya.

Seterusnya, Manjeet juga memberitahu komen tersebut juga disiarkan di TV3 pada pukul 8 malam Rabu, tetapi sehingga kini beliau masih tidak dapat mengenal pasti wartawan yang terlibat dan memohon agar komen tersebut diabaikan oleh mahkamah.

"Lelaki yang membuat komen itu ialah N. Gobalakrishnan yang merupakan Ahli Parlimen Padang Serai. Saya tidak mengenali lelaki ini dan tidak pernah berjumpa dengan beliau. Saya tidak tahu daripada mana beliau mendapat tahu tentang penipuan ini," katanya lagi.

Sehubungan itu, Manjeet memohon agar satu perintah dikeluarkan untuk Gobalakrishnan, Raja Syahrir dan editor surat khabar terbabit hadir di mahkamah bagi memohon maaf dan menarik semula berita itu selain dijadikan peringatan kepada mereka yang tidak mempunyai rasa hormat kepada perjalanan kes di mahkamah.

"Mereka perlu diingatkan bahawa jika bertindak melampui batasan, mereka akan menerima akibatnya," ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff yang mengetuai barisan pendakwaan memberitahu, beliau tidak mempunyai apa-apa untuk diperkatakan berhubung isu tersebut, tetapi mengakui telah membaca berita yang dibangkitkan Manjeet.

Akhtar selepas mendengar hujahan tersebut kemudiannya menyifatkan tindakan mengaitkan prosiding di hadapannya dengan isu politik adalah keterlaluan dan memerlukan penjelasan daripada wartawan terbabit.

"Sebarang serangan terhadap peguam adalah sama seperti serangan kepada mahkamah," katanya dan menambah, editor seharusnya tahu bahawa sebarang komen sepatutnya 'disimpan' dan tidak disiarkan terutamanya yang menyentuh prosiding yang belum selesai.

Merujuk kepada kejadian yang hampir sama, iaitu di mana Manjeet memohon agar wartawan New Straits Times dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana berita bertajuk 'Victims' bones found in river' pada Julai lalu, Akhtar berkata semua laporan yang ditulis selepas peristiwa itu adalah tepat dari segi fakta.

Beliau seterusnya memberi peringatan kepada wartawan yang membuat liputan kes itu untuk mengingatkan editor masing-masing bahawa tindakan sebegitu adalah subjudis dan boleh membawa kepada tindakan menghina mahkamah.

"Orang awam boleh membuat andaian sendiri, tetapi bukan pihak media," ujarnya.

Dalam kes ini, Pathmanabhan, 42, yang merupakan bekas peguam didakwa bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, yang didakwa hilang bersama pengasas kosmetik jenama Nouvelle Visages tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah ladang lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini pada pukul antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan akan bersambung pada Jumaat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan