Pembunuhan Banting: Tertuduh Dipindahkan Lokap Bagi Tujuan Keselamatan

Diterbitkan: Khamis, 18 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Tindakan memindahkan dua daripada empat tertuduh dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya adalah dilakukan dengan tujuan mahu menjamin keselamatan mereka memandangkan kes tersebut dianggap sebagai kes berprofil tinggi dan boleh melibatkan isu perkauman.

Bekas Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak, Asisten Superintendan M. Mariappan, 49, berkata, beliau mengarahkan tertuduh kedua dan ketiga, T. Thilaiyalagan dan R. Matan (suspek semasa itu) dipindahkan pada pukul 5.55 petang, 11 September 2010 ke lokap balai polis Kuang dan Kundang dekat sini.

Katanya, pada hari itu, beliau dimaklumkan oleh seorang pegawai polis bahawa terdapat lima suspek ditangkap berhubung siasatan yang dijalankan berhubung pembunuhan Sosilawati dan pada hari itu, terdapat ramai suspek berbangsa Melayu yang sedang ditahan di lokap IPD Gombak yang mempunyai 12 lokap.

"Saya tidak mahu apa-apa berlaku kepada mereka," katanya di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, dan menambah tindakan memisahkan Thilaiyalagan dan Matan pula dibuat kerana mahu mengelakkan lokap di Balai Polis Kundang penuh sekiranya ada tangkapan dilakukan pada hari yang sama.

Sementara itu, semasa disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon, Mariappan yang kini bertugas di bahagian pentadbiran, Ibu Pejabat Kontinjen Selangor (IPK) berkata, lokap di IPD Gombak mempunyai satu bilik senaman dan setiap sel boleh memuatkan antara tiga hingga empat orang dalam satu-satu masa.

Mariappan yang mempunyai 30 tahun pengalaman di dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) seterusnya diasak bertubi-tubi oleh Manjeet berhubung jawapannya bahawa seorang mekanik, K. Sarawanan, 20, yang telah dihukum kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan tersebut ditangkap pada hari yang sama dengan Thilaiyalagan dan Matan, kerana menurut peguam itu, Sarawanan ditangkap pada hari berlainan.

Thilaiyalagan dan Matan ditangkap pada 9 September 2010 manakala menurut Manjeet, Sarawanan hanya ditahan pada lewat malam 11 September 2010.

Mariappan: Saya minta maaf, saya lupa.

Manjeet: Perkara ini serius. Empat tertuduh di dalam kes ini berhadapan dengan hukuman mati. Fikir elok-elok sebelum jawab. Saya boleh buat permohonan mencabar kebolehpercayaan kamu.

Mariappan: Saya minta maaf, saya tidak ingat.

Manjeet: Saya katakan Sarawanan tidak berada di sana. Cerita apa yang kamu beritahu kami di sini? Adakah kamu fikir kami tidak bijak?

Mariappan: Saya hanya diberitahu oleh pegawai polis bahawa ada lima suspek ditangkap. Saya turun ke bawah dan lihat lokap penuh.Saya hanya lihat Thilaiyalagan dan Matan. Yang lain saya tidak nampak.

Menjawab soalan peguam Amer Hamzah Arshad, saksi bersetuju bahawa beliau boleh memisahkan tertuduh dengan suspek-suspek lain IPD Gombak.

Seorang lagi saksi, Ketua Balai Polis Kuang, Sarjan Mejar Rahmat Bachik, 51, pada keterangannya mengakui bahawa buku perharian balai balai polis yang merekodkan kemasukkan Thilaiyalagan ke dalam lokap tidak dapat dikemukakan di mahkamah kerana buku itu telah hilang.

"Saya dah berusaha untuk mencari di stor balai dan juga mengarahkan anggota untuk mencari, tetapi dijumpai," katanya semasa di soal oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.

Beliau juga menafikan dakwaan Thilaiyalagan bahawa lokap di mana dia tidur pada 11 September 2010 banjir dan dia diberikan satu penutup botol air mineral untuk menimba air tersebut ke dalam baldi menyebabkan dia tidak boleh tidur pada malam tersebut.

"Pada waktu itu terdapat kerosakkan pada tangki air menyebabkan ia dibuka secara manual dan ada air yang menitik. Tapi, keadaan di lokap bukan banjir, hanya lembab sahaja," katanya.

Beliau juga memberitahu, telah melawat kawasan lokap yang mempunyai dua sel kurungan dan pada pukul 2 pagi, 11 September dan Thilaiyalagan dilihat sedang tidur di atas pangkin yang diperbuat daripada simen.

Ketika disoal oleh Manjeet, saksi mengakui bahawa ini bukan kali pertama buku perharian balai hilang kerana kejadian tersebut pernah berlaku pada lima tahun lalu.

Dalam kes ini, Thilaiyalagan. 20, dan Matan, 31, didakwa bersama rakan sekerja mereka, R. Kathavarayan, 31, serta bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, yang didakwa dilakukan pada pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir akan bersambung pada Jumaat.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan