Pembunuhan Banting: Pegawai Polis Nafi Tohmahan Tertuduh

Diterbitkan: Isnin, 15 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Selepas pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap dirinya sepanjang perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, akhirnya pada Isnin, pegawai soal siasat, Cif Inspektor N. Govindan dengan tegas menolak semua dakwaan tersebut.

Govindan, 45, dari cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memberitahu, setiap proses soal siasat yang dilakukannya pada 11 September hingga 14 September 2010, dikendalikan secara soal jawab dan tidak pernah sesekali menggunakan kekerasan, apatah lagi dengan bersenjatakan pistol.

"Saya sendiri tidak membawa senjata. Senjata memang ada dibekalkan kepada saya, tetapi sudah kira-kira lima atau enam tahun saya tidak menggunakannya," kata Govindan semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainudin di Mahkamah Tinggi di sini.

Mengenai dakwaan tertuduh kedua, T. Thilaiyalagan bahawa dia ditendang pada bahagiaan kemaluan, Govindan memberitahu, kaedah soal siasat sebegitu tidak pernah digunakan kerana polis tidak dapat memastikan sama ada seseorang suspek benar-benar melakukan jenayah yang sedang disiasat.

Saksi yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam pasukan beruniform itu seterusnya menafikan dakwaan Thilaiyalagan dan tertuduh keempat, R. Kathavarayan bahawa mereka tidak diberi makanan atau minuman beberapa kali sepanjang berada dalam tahanan reman.

Katanya, semua suspek menerima sarapan di lokap, makanan tengah hari pada antara pukul 12 tengah hari dan 1 petang manakala makan malam diberikan pada pukul 6.30 petang, sama ada semasa siasatan dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak mahupun di IPD Banting atau di lokasi kejadian.

"Semasa siasatan dijalankan di ladang, roti dan air minuman juga diberikan sebagai tambahan," katanya.

Semasa dirujuk sekeping gambar yang menunjukkan leher Thilaiyalagan seperti dipegang oleh seorang anggota polis selain terdapat seorang lagi anggota polis di belakangnya, Govindan memberitahu, ia dilakukan atas permintaan tertuduh.

"Thilaiyalagan minta anggota polis untuk pegang leher kerana jika boleh dia tidak mahu gambarnya diambil media. Seorang anggota polis lain berada di belakang pula adalah sebagai langkah keselamatan kerana semasa itu, dia bergari pada bahagian hSadapan," tambahnya.

Sementara itu, Kathavarayan atau lebih dikenali sebagai Ravi pula pada keterangnya memberitahu bahawa dia dipukul oleh Govindan semasa menaiki van untuk ke ladang pada 13 September 2010 hanya kerana baju yang dipakainya berbau busuk.

"Baju saya busuk kerana saya memakai baju yang sama sejak saya ditangkap pada 9 September 2010. Saya tidak diberikan peluang untuk membersihkan diri," tambahnya.

Katanya lagi, semasa berada di dalam van, dia juga dipukul pada bahagian tengkuk dan kepala manakala pada 14 September 2010, dia dipukul di kepala, belakang badan dan tangan selepas disuruh duduk dalam keadaan mencangkung.

"Ramai yang pukul saya, seorang pukul dalam jangka masa antara 10 hingga 15 minit," katanya dan menambah tiada seorang pun pegawai polis yang datang untuk membantu dia pada masa itu.

Ditanya mengapa dia tidak memaklumkan mengenai 'penderaan' itu kepada Majistret semasa dihadapkan untuk prosiding reman, Kathavarayan berkata, dia diarahkan untuk mendiamkan diri dan bimbang akan timbul masalah lain sekiranya tidak mematuhi arahan polis tersebut.

Selepas beberapa hari 'didera' Kathavarayan yang hanya bersekolah sehingga darjah lima di Sekolah Kebangsaan (Tamil) Padang Jawa, dekat sini akhirnya membuat laporan polis pada 26 Oktober 2010 di Penjara Sungai Buloh, dekat sini, semasa dia ditahan reman.

Selain itu, Kathavarayan juga ada mengadu kepada seorang pegawai perubatan di Penjara Sungai Buloh bahawa dia mengalami kecederaan di tangan, dada, bahu, air kencing berdarah dan cedera di tapak kaki yang menurutnya akibat dipukul dengan menggunakan hos getah selepas diarahkan untuk meniarap.

Justeru itu, menjawab soalan peguam Amer Hamzah Arshad, tertuduh mengakui bahawa semua penderaan fizikal itu telah menyebabkan keadaan mentalnya 'berada dalam keadaan yang sangat susah dan tidak boleh berfikir'.

Pada pemeriksaan balas oleh Saiful Edris, Kathavarayan memberitahu bahawa laporan polis itu dibuat dengan bantuan peguamnya, Ravi Nekoo memandangkan dia tidak boleh menulis dalam Bahasa Melayu.

Malah, dia yang memberi keteragan dalam Bahasa Tamil menambah, Bahasa Melayunya juga tidak berapa baik kerana hanya boleh membaca perkataan yang mudah.

Mengenai kejadian dipaksa makan cili padi, Kathavarayan memberitahu, dia melihat perkara itu berlaku kepada Thilaiyalagan dan seorang lagi tertuduh, R. Matan semasa mereka dibawa kembali ke ladang tempat kejadian pembunuhan itu didakwa berlaku.

Prosiding yang masuk hari ke-23 pada Isnin, dimulakan dengan peguam Gurbachan Singh memaklumkann mahkamah bahawa ayah kepada Thilaiyalagan telah meninggal dunia. Ia juga menjelaskan mengapa Thilaiyalagan dilihat menangis teresak-esak di mahkamah.

"Ayah Thilaiyalagan telah meninggal dunia selepas jatuh di Ampang, dekat sini dan bedah siasat akan diadakan sebelum ahli keluarga dibenarkan untuk menuntut mayat mendiang untuk dikebumikan.

"Saya mohon Yang Arif membenarkan Thilaiyalagan menjalankan upacara pengebumian kerana dia merupakan satu-satunya anak lelaki untuk menjalankan ritual itu. Abang tertuduh berada di luar negara," katanya dan memohon agar tertuduh diberikan pengecualian daripada menghadiri prosiding kerana berada dalam keadaan yang amat emosi.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan permohonan tersebut dan memerintahkan supaya Thilaiyalagan di tahan di lokap mahkamah sementara menunggu perbicaraan tamat.

Thilaiyalagan, 20, yang merupakan seorang pekerja ladang dibicarakan bersama Kathavarayan, 31, dan Matan, 21, serta bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Semua mereka juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Semua kesalahan itu didakwa dilakukan pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini.

Jika sabit kesalahan, semua tertuduh boleh dihukum mati mandatori seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan bersambung Selasa.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan