Pembunuhan Banting: Giliran Tertuduh Keempat Pula Dakwa Didera

Diterbitkan: Khamis, 11 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dua hari selepas tertuduh kedua dalam perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya memberi keterangan bahawa dia didera oleh polis, pada Khamis, giliran tertuduh keempat pula 'menceritakan' saat-saat getir yang dilaluinya semasa berada dalam tahanan reman.

R.Kathavarayan, 31, mendakwa, penderaan secara fizikal itu berlaku pada 11 September 2010 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, dekat sini apabila dia dibawa keluar dari lokap dan dibawa ke sebuah bilik kecil yang mempunyai sebuah meja kecil.

Tambah pekerja ladang itu, dia diarahkan untuk duduk di atas lantai berhadapan dengan pegawai soal siasat, Cif Inspektor N. Govindan yang semasa itu duduk di meja tersebut, manakala terdapat dua atau tiga lagi pegawai polis berdiri di belakang tertuduh.

"Layanan semasa itu tidak berapa baik. Bila saya panggil 'abang' saya akan dipukul. Saya hanya mahu beritahu 'abang, nama saya Ravi' . Govindan juga tarik rambut saya dan menumbuk bahu saya beberapa kali.

"Selepas itu, Govindan keluar kata-kata kesat kepada saya dan berkata bagaimana dia boleh mempunyai hubungan dengan saya untuk saya panggil dia 'abang'. Selepas itu saya panggil dia 'Tuan'," kata Kathavarayan semasa disoal oleh peguamnya, Ravi Nekoo.

Dia seterusnya mendakwa, Govindan telah menunjukkan satu gambar kepadanya, tetapi tertuduh mendakwa, dia tidak pernah mengenali individu dalam gambar tersebut menyebabkan dia ditampar oleh Govindan manakala polis-polis di belakang pula menumbuk dan menendangnya.

Penderaan itu, dakwa Kathavarayan berlaku antara pukul 1.10 dan 4.30 petang, hari yang sama selain tidak diberi makan dan minum serta tidak berani untuk meminta kerana bimbang akan dipukul sekali lagi.

"Selepas itu, Govindan keluar dan saya diarahkan untuk meniarap dan orang di belakang saya telah memukul tapak kaki dengan menggunakan getah paip. Mereka berehat sebentar dan bercakap dengan saya sebelum kembali memukul," katanya dalam Bahasa Tamil.

Selain itu, tertuduh yang bertubuh rendah itu juga memberitahu bahawa, dia telah dibawa ke ladang tempat dia bekerja pada 11 September 2010 dalam keadaan matanya ditutup dengan kain. Dia menambah, tidak diberikan makan atau minuman sepanjang berada di ladang.

Dia juga mendakwa, semasa ditangkap pada 9 September 2010 rambutnya adalah panjang melepasi bahu dan diikat.

"Sebelum balik ke lokap, pegawai polis telah berhenti di sebuah kedai makan. Govindan mengarahkan dua anggota polis untuk menjaga saya di kereta. Steven datang ke kereta dan arah saya untuk keluar, tangan saya digari.

"Semasa sebelah kaki saya berada di luar kereta, Steven tendang saya di dada, saya berasa sakit dan membongkokkan badan. Steven tarik rambut saya dan arahkan polis untuk mendapatkan gunting, namun saya tidak pasti jika rambut saya dipotong dengan menggunakan gunting atau pisau," katanya.

Pada prosiding itu, Kathavarayan juga mendakwa dia ditendang dan ditampar oleh seorang anggota polis apabila cuba untuk mengadu dirinya sakit pada 12 September 2010.

Kathavarayan juga mendakwa, pihak polis tidak menuruti arahan Majistret yang menjalankan prosiding reman pada 10 September 2010 agar dia diberikan telefon untuk menghubungi seseorang bagi menguruskan urusan pemberian makanan kepada haiwan di ladang tempat dia bekerja.

Sementara itu, pegawai perubatan dari Penjara Sungai Buloh, Dr P. Paramanathan, 67, mengesahkan bahawa beliau pernah merawat Kathavarayanyang mempunyai masalah kencing berdarah, selain mengadu kesakitan akibat ditendang dan ditumbuk.

"Bagaimanapun, dari luaran saya tidak dapat melihat kesan kecederaan kerana tiada luka mahupun kesan lebam," katanya dan menambah, tertuduh diberikan ubat antibiotik dan sembuh selepas dua minggu.

Katanya lagi, Kathavarayan juga mengadu rasa sakit di bahagian dada kerana menurutnya, akibat dipijak oleh seseorang yang tidak dapat dicamkannya.

Menjawab soalan peguam Gurbachan Singh, Paramanathan memberitahu, beliau juga ada merawat tertuduh kedua, T.Thilaiyalagan yang mengatakan dia sakit pada bahagian belakang badan dan mengalami lebam.

Gurbachan: Jika ditunjukkan lebam pada tangan Thilaiyalagan, adakah doktor boleh mengesahkan jika ia disebabkan oleh penderaan?

Paramanathan: Saya tidak boleh memberikan jawapan secara tepat kerana adakalanya ia boleh disebabkan kerana terlanggar dengan objek tumpul.

Semasa disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff, saksi memberitahu Thilaiyalagan dibawa ke klinik penjara itu pada 14 Oktober 2010 oleh Unit Kawalan Penjara (UKP).

Paramanatan sedang memberi keterangan selaku saksi keempat pada prosiding bicara dalam perbicaraan yang diadakan bagi mengesahkan keadaan mental Thilaiyalagan dan Kathavarayan yang didakwa berada dalam keadaan tertekan semasa memberikan keterangan yang membawa kepada penemuan barang kes.

Thilaiyalagan, 20, dan Kathavarayan, 31, dibicarakan bersama rakan mereka, R. Matan, 21, dan bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 30 Ogos 2010, antara pukul 8.30 dan 9.45 malam di ladang beralamat Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung Isnin.

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan