Pembunuhan Banting: Lawatan Kedua Tarik Perhatian Penduduk

Diterbitkan: Rabu, 10 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pekan Banting, dekat sini yang pada kelazimannya sunyi, pada Rabu, 'dikejutkan' dengan siren-siren polis apabila rombongan Mahkamah Tinggi di sini, melakukan lawatan kali kedua ke lokasi yang terlibat dalam pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, tahun lalu.

Rombongan tersebut yang terdiri daripada Hakim Datuk Akhtar Tahir, pihak pendakwaan, barisan pembelaan, tertuduh dalam kes itu dan pihak media mendapat bantuan daripada tujuh buah kereta peronda polis bertolak meninggalkan perkarangan Kompleks Mahkamah pada pukul 9.20 pagi.

Perjalanan konvoi 18 buah kenderaan berjalan lancar, dan hanya perlu memperlahankan kelajuan apabila menghampiri lampu isyarat, namun dengan kesibukan trafik pada waktu pagi, kereta yang membawa peguam-peguam Manjeet Singh Dhillon, Gurbachan Singh dan Amer Hamzah Arshad dan sebuah kereta media tersesat selepas terputus daripada rombongan itu.

'Kehilangan' peguam-peguam itu hanya disedari apabila rombongan sampai di lokasi pertama iaitu Sungai Arak, di Kampung Kelanang, Banting yang dikatakan menjadi tempat pembuangan kayu api yang didakwa telah digunakan untuk membakar mayat mangsa.

Berdasarkan pemerhatian, sungai tersebut agak terpencil dan jalan tar yang menghubungkan laluan itu dengan jalan utama juga kecil dan hanya boleh dilalui oleh sebuah kenderaan pada satu-satu masa serta tidak mempunyai lampu jalan.

Di kiri dan kanan jalan juga dikelilingi oleh pokok kelapa sawit manakala rumah yang paling dekat merupakan sebuah rumah kampung yang terletak kira-kira 500 meter daripada lokasi kejadian.

Di sungai tersebut, Pegawai Penyiasat (IO) Asisten Superintendan (ASP) Mohd Ishak Yaakob menunjukkan tempat kejadian itu kepada Hakim Akhtar dan barisan peguam-peguam sementara tertuduh-tertuduh yang berada dalam keadaan bergari dilihat memerhati daripada jauh.

Selepas berada kira-kira 25 minit di situ, rombongan terbabit meninggalkan Sungai Arak pada pukul 10.30 pagi dan menuju ke lokasi penemuan kereta mewah BMW X5 bernombor pendaftaran WTL11 yang dinaiki oleh Sosilawati dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin untuk ke Banting pada hari mereka dilaporkan dibunuh.

Kereta tersebut ditemui oleh pihak polis pada 6 September 2010 di kawasan tempat letak kereta Flat Angsana, Subang Jaya hasil daripada maklumat orang awam yang hanya memperkenalkan diri sebagai 'Awang'.

Sebaik sahaja masuk ke Subang Jaya, beberapa anggota polis trafik telah sedia menunggu dan menyertai rombongan bagi memastikan perjalanan terus lancar memandangkan keadaan trafik di kawasan tersebut agak teruk.

Rombongan ke flat itu juga disertai oleh pasukan unit Siasatan Tempat Kejadian (CSI) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.

Di flat terbabit, kehadiran rombongan mahkamah mencetuskan perasaan ingin tahu masyarakat sekeliling apabila beberapa orang awam, termasuk suri-suri rumah yang mengendong anak kecil mulai menghampiri kawasan tempat letak kereta itu untuk melihat apa yang sedang berlaku.

Kira-kira 100 meter daripada flat, rombongan membuat hentian singkat di sebuah longkang yang didakwa tempat kunci kereta Sosilwati ditemui oleh anggota polis marin, Lans Koperal Muhamad Hazriman Ismail pada 14 September 2010 selepas meraba-raba di longkang tersebut yang mempunyai air separas buku lali.

Jika mengikut keterangan saksi pendakwaan ke-22, Sarjan Merzuki Shahrim, semasa dia menjalankan operasi mencari di longkang itu, kawasan sekitar adalah semak, bagaimanapun, lawatan pada Rabu, menyaksikan semak tersebut telah dibersihkan dan kelihatan seperti ada kerja-kerja yang sedang dilakukan di situ.

Lokasi terakhir pada lawatan tempat kejadian kedua ini adalah sebuah tempat letak kereta di Jalan SS12/1B yang terletak berhampiran Hotel Grand Dorsett di Subang Jaya, di mana kereta peguam yang menerima nasib yang sama dengan Sosilawati, Ahmad Kamil Abdul Karim ditinggalkan.

Kereta BMW bernombor pendaftaran AAJ 5 ditemui pada 6 September 2010 dan semasa itu, kereta diletakkan di antara dua kotak parkir yang terletak di hadapan perumahan teres dua tingkat.

Pada lawatan itu, Manjeet turut meninjau kaunter tiket tempat letak kereta yang berhampiran memandangkan beberapa saksi sebelum ini dalam keterangan mereka mengatakan bahawa tempat letak kereta adalah jenis tidak berbayar.

Dalam kes ini, seorang bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, sedang dibicarakan bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, Kamaruddin, 44, Ahmad Kamil, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori.

Perbicaraan akan disambung pada Khamis, dengan prosiding bicara dalam perbicaraan bagi mengesahkan keadaan minda Thilaiyalagan dan Kathavarayan yang didakwa ditekan semasa memberikan keterangan kepada pihak polis yang membawa kepada penemuan beberapa barang kes.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan