Kes Liwat: Temu Bual Dengan Bekas KPN Dibatalkan Kerana Kehadiran Anwar

Diterbitkan: Selasa, 9 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Temu bual terhadap dua saksi bagi kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dibicarakan, dibatalkan selepas kedua-dua mereka membantah kehadiran Anwar semasa temu bual itu.

Peguam S.N.Nair, yang mewakili Anwar, ketika dihubungi berkata anak guamnya berhak untuk hadir semasa temu bual dengan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof, yang diadakan di Kompleks Mahkamah di Jalan Duta di sini Selasa.

Beliau berkata memandangkan kedua-dua saksi membantah kehadiran Anwar semasa temu bual itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan esok untuk bertemu pasukan pendakwaan dan pembelaan.

Ditanya sama ada pihak pendakwaan telah mengatur untuk menemu bual saksi yang lain, Nair berkata pendakwaan belum memberi maklumat mengenainya kepada pembelaan setakat ini.

Kepada soalan sama ada Musa dan Rodwan datang ke mahkamah bersama peguam mereka, Nair menjawab "tidak".

Pada Isnin, Hakim Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar untuk menemu bual 15 saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Sri Rosmah Mansor, Musa, Rodwan dan 11 orang lagi.

Hakim turut menetapkan 15 hingga 26 Ogos bagi kes pembelaan. Pada mulanya mahkamah menetapkan 8 hingga 26 Ogos dengan Anwar dijadual sebagai saksi pertama memberi keterangan.

Di akhir kes mereka, pendakwaan menawarkan 71 saksi, termasuk Najib dan Rosmah. Pihak pembelaan memilih untuk menemu bual hanya 25 orang dan setakat ini, hanya lima orang yang telah pun ditemu bual.

Mereka ialah bekas ratu pecut negara, Datuk Mumtaz Jaafar, Dr Mohd Osman Abd Hamid, yang sebelum ini bertugas di Pusrawi, adik perempuan bongsu Mohd Saiful Bukhari Azlan iaitu Saidaiti Azlan, seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur yang hanya dikenali sebagai Dr Daniel, dan Khairil Anaz Yusof, pembantu khas Najib ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Pada 16 Mei, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bahawa bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes itu, adalah seorang saksi yang boleh dipercayai dan berwibawa.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, atas tuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, tahun yang sama. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan