Pembunuhan Banting: Tertuduh Dakwa Kemaluan Ditendang, Cubit

Diterbitkan: Isnin, 8 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, menyaksikan tertuduh kedua, T. Thilaiyalagan mendakwa dia didera dengan pelbagai cara termasuk kemaluannya ditendang dan dicubit.

Thilaiyalagan, 20, berkata, kejadian itu berlaku semasa proses soal siasat dijalankan pada 11 September 2010 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, dekat sini, dan menambah, penderaan itu dilakukan oleh Cif Inspektor N. Govindan dan N. Thiagarajan serta beberapa anggota polis lain yang tidak diketahui namanya.

Selain mendakwa ditendang, Thilaiyalagan yang ditangkap pada 9 September 2010 juga berkata, disuruh duduk di atas simen selama setengah jam bersama-sama enam anggota polis, sebelum Govindan datang dan menunjukkan senaskah surat khabar yang mengandungi gambar seorang wanita dan tiga lelaki Melayu.

"Mereka tanya jika saya kenal orang itu, dan saya katakan bahawa saya tidak mengenali mereka. Saya dipukul dan diugut oleh polis. Govindan juga meletakkan pistol di mulut saya dan arah saya untuk beritahu bahawa saya telah bunuh empat orang itu.

"Mereka tendang kemaluan saya. Govindan juga ada sepak beberapa kali. Saya tidak tahu berapa lama ia berlaku, tetapi agak lama, iaitu kira-kira empat jam setengah. Saya juga digari di belakang," katanya semasa menjawab soalan peguam Gurbachan Singh.

Thilaiyalagan berkata demikian semasa memberi keterangan selaku saksi pertama pada prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) yang diadakan bagi menentukan keadaan mental tertuduh semasa memberi keterangan yang membawa kepada penemuan barang-barang kes ekoran dakwaannya bahawa berlaku paksaan dan ugutan oleh pihak polis untuk dia berbuat demikian.

Lelaki bertubuh kurus itu menambah, dia juga ditendang pada bahagian dada semasa berada dalam keadaan melutut selama beberapa kali dan tidak diberi makan menyebabkan dia menyifatkan proses tersebut sebagai 'soal siasat yang teruk dan menakutkan'.

Mengimbas kejadian berikutnya, saksi berkata, dia dipaksa oleh Govindan ke sebatang sungai pada 13 September 2010 dan dipaksa untuk menundingkan jari bagi membolehkan gambarnya diambil atau akan ditembak jika enggan berbuat demikian.

Sementara itu, menjawab soalan peguam Manjeet Singh Dhillon, saksi memberitahu, bahawa seksaan tersebut tidak hanya berlaku di IPD Gombak, tetapi juga terjadi di sebuah lokap lain yang tidak ketahui lokasinya.

Ketika diminta menggambarkan keadaan lokap itu, Thilaiyalagan berkata: "Terdapat paip air pada siling yang bocor menyebabkan lantai basah dan banjir. Mereka berikan satu penutup botol dan baldi kepada saya.

"Saya diarahkan untuk guna penutup botol untuk menimba air masuk ke dalam baldi. Saya tidak dapat menimba semua air itu dan tidak boleh tidur dengan nyenyak. Saya rasa mengantuk dan sakit kepala."

Katanya lagi, dia juga melihat rakan sekerjanya, iaitu R. Matan (tertuduh ketiga) dan R.Kathavarayan (tertuduh keempat yang dikenali sebagai Ravi) dipukul sehingga berdarah pada bahagian gigi dan mulut.

Pada keterangan lain, Thilaiyalagan mendakwa, Govindan telah menggunakan perkataan kesat terhadapnya seperti memanggil dirinya sebagai anjing dan babi dan menambah, keadaan mindanya semasa itu adalah 'seperti hendak gila'.

"Pada 12 September 2010, saya dibawa ke ladang dan saya berasa lapar, jadi saya minta makanan tetapi saya diberikan cili api. Saya diarahkan untuk makan cili api itu dan jika cili api itu jatuh, saya akan dipukul. Saya menangis," katanya semasa menjawab soalan peguam Amer Hamzah Arshad.

Thilaiyalagan juga memberitahu, dia tidak menerima rawatan walaupun meminta agar dihantar ke hospital mahupun klinik. Selain itu, dia menambah, telah membuat laporan polis berhubung penderaan dan seksaan yang dialaminya pada 6 April dan 6 Julai lalu.

Semasa disoal balas, dia menegaskan bahawa kejadian pistol diacukan ke dalam mulutnya benar-benar berlaku walaupun Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainudin menjelaskan bahawa senjata tersebut tidak dibenarkan dibawa masuk ke lokap.

Saiful Edris: Kamu katakan ditendang pada kemaluan sekali atau berkali-kali?

Thilaiyalagan: Dua atau tiga kali.

Saiful Edris: Saya katakan, jika benar kamu ditendang berkali-kali di kemaluan, dah lama kamu masuk ke hospital?

Thialaiyalagan: Ya.

Saiful Edris: Pada 12 September 2010, keesokan harinya kamu ada di bawa ke ladang. Maksudnya kamu tidak ada apa-apa?

Thilaiyalagan: Ya, tiada apa-apa.

Dia juga bersetuju dengan Saiful Edris bahawa dia boleh membuat aduan kepada majistret semasa prosiding mahkamah untuk menyambung reman dilakukan, bagaimanpun menambah, dia tidak berbuat demikian.

Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff pula menimbulkan persoalan mengenai 'status pekerjaan' tertuduh yang dinyatakan sebagai seorang pelajar dalam laporan polisnya, sedangkan pada masa laporan dibuat dia berada dalam tahanan di Penjara Kajang, dekat sini.

Dakwaan Thilaiyalagan bahawa dia dipukul juga disokong oleh Matan, yang dipanggil sebagai saksi ketiga pada prosiding TWT itu yang mendakwa, telah melihat rakannya berdarah pada bahagian mulut dan berada dalam keadaan ketakutan.

"Saya juga melihat Ravi dipukul sehingga mukanya berdarah dan ada kesan lebam menyebabkan saya berasa takut," katanya dan menambah, tidak diberikan bantal mahupun tilam untuk tidur semasa berada di lokap.

Menjawab soalan Ishak, Matan bersetuju bahawa dia tidak boleh menjangkakan layanan yang diberikan di lokap adalah 'istimewa' mahupun sama seperti layanan di rumah.

Dia juga mengakui 'akan membuat apa yang termampu' untuk membantu rakan-rakannya, Thilaiyalagan dan Ravi yang telah dikenalinya sejak setahun lalu.

Bagaimanapun, Matan menafikan bahawa laporan polisnya bertarikh 6 Julai lalu berhubung dakwaan-dakwaan penderaan ke atas dirinya dibuat selepas berpakat dengan Thilaiyalagan untuk dijadikan sebagai bukti pembelaan pada prosiding mahkamah selain untuk mengada-adakan cerita tentang pasukan polis yang diketuai oleh Govindan.

Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, sedang dibicarakan bersama bekas peguam N. Pathmanabhan, 42, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Semua kesalahan itu didakwa dilakukan pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir akan bersambung Selasa.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan