Kementerian Kewangan Putuskan Ambil Balik Tanah Di Pulau Indah

Diterbitkan: Jumaat, 5 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat diberitahu bahawa Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) tetap mengadakan mesyuarat bagi membeli tanah di Pulau Indah walaupun Kementerian Kewangan memutuskan supaya tanah itu diperoleh melalui pengambilan balik oleh kerajaan.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Kementerian Pengangkutan Datuk Abdul Rahman Mohd Noor, 61, berkata menerusi satu surat bertarikh 27 Dis 2001, LPK didapati bermesyuarat dengan pihak penjual tanah Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dengan dipengerusikan Pengurus Besar LPK O C Phang.

Katanya, keputusan Kementerian Kewangan supaya pengambilan balik tanah kawasan seluas 400 hektar telah dibuat pada kira-kira enam bulan sebelum itu iaitu pada 12 Jun 2001.

Abdul Rahman yang merupakan saksi keempat pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik, berkata berdasarkan surat tersebut didapati terma yang ditawarkan adalah mengikut terma yang berlainan dengan cadangan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH), antaranya tempoh bayaran balik 15 tahun yang sepatutnya 10 tahun sahaja.

Beliau berkata menerusi surat yang dihantar kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Zaharah Shaari, Kementerian Kewangan membuat keputusan supaya tanah seluas tidak lebih daripada 400 hektar di Pulau Indah diperoleh melalui tindakan pengambilan balik tanah oleh kerajaan dan dibiayai melalui peruntukan Kementerian Pengangkutan.

Selain itu, kementerian itu juga memutuskan tanah berkenaan kemudian disewa pajak kepada LPK untuk dibangunkan dan kadar sewa pajakan akan ditentukan kemudian dan kos pembangunan projek ini bolehlah dibiayai melalui terbitan bon jangka panjang oleh LPK yang dijamin oleh kerajaan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Syarat-syarat itu adalah bon itu perlu diterbitkan mengikut keperluan dan hasil terbitan bon dan hasil projek hendaklah dikredit ke dalam satu 'designated account' dengan kerajaan sebagai 'joint signatory', lebihan, akan digunakan bagi membuat bayaran balik awal bon dan jika perlu sewa pajakan.

Sementara itu, kos pembangunan perlu diteliti dengan terperinci dan keperluan keluasan ditetapkan, manakala kontrak kerja-kerja pembangunan hendaklah dibuat secara tender terbuka.

Abdul Rahman berkata keputusan yang dibuat Kementerian Kewangan itu telah dimaklumkan kepada Dr Ling dan ketika ditanya apakah tujuannya memberitahu, beliau berkata: "Untuk memberitahu keputusan yang dibuat Jemaah Menteri tidak selari dengan Kementerian Kewangan."

"Ia untuk membantu Menteri Pengangkutan dan beri maklum terhadap Jemaah Menteri, tetapi dalam ingatan saya Dr Ling memberi keputusan supaya teruskan mengikut arahan Perbendaharaan. Jadi kita ikut arahan Perbendaharaan (ambil balik tanah). Jadi kita mohon Zaharah memainkan peranan aktif dalam usaha ini."

Ketika ditanya mengenai reaksi KDSB terhadap keputusan Kementerian Kewangan, Abdul Rahman yang merujuk kepada surat daripada KDSB berkata syarikat itu melahirkan perasaan tidak berpuas hati dengan cadangan untuk pengambilan balik tanah dan memohon Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, membantu mencari jalan penyelesaian.

Beliau berkata menerusi beberapa mesyuarat yang dilakukan sekitar awal 2002 didapati usaha pengambilan tanah menemui jalan buntu kerana terdapat beberapa masalah termasuk kerajaan negeri Selangor yang tidak bersetuju dengan menimbulkan masalah kos serta tempoh masa pengambilan yang panjang.

Abdul Rahman berkata pada 8 Januari 2002, O C Phang telah menulis surat kepada Dr Ling bahawa LPK membuat keputusan untuk membeli tanah melalui perbelanjaan LPK sendiri.

Beliau berkata selepas itu, iaitu pada 23 Jan 2002, dalam mesyuarat yang membincangkan pengambilan 400 hektar tanah tersebut, beberapa keputusan telah dibuat iaitu memandangkan LPK memerlukan tanah di Pulau Indah dalam keadaan segera, mesyuarat memutuskan supaya cadangan untuk membeli terus daripada pemilik tanah akan dikemukakan kepada Menteri Pengangkutan dan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan.

Selain itu, turut diputuskan ialah semasa perolehan tanah tersebut ia perlu bebas daripada sebarang 'encumbrances' dan 'title' diperolehi sebelum memulakan pembangunan di atas tanah tersebut serta pembangunan tanah dilaksanakan secara berasingan dan tidak termasuk dengan kos perolehan tanah tersebut.

"Bagi tujuan itu (pembangunan tanah) Kementerian Kewangan akan menilai sama ada melantik pemilik tanah sebagai kontraktor untuk melaksanakan pembinaan kemudahan-kemudahan asas di atas tanah tersebut," katanya.

Terdahulu Abdul Rahman menyatakan bahawa keputusan LPK untuk membeli tanah daripada pemilik sebenarnya melangkaui keputusan Kementerian Kewangan.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000 sedangkan dia tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6 Nov ember2002.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung Isnin. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan