Bekas Menantu Ketua Menteri Sarawak Dibenar Keluar Notis Tunjuk Sebab

Diterbitkan: Jumaat, 5 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas menantu Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dibenarkan untuk memfailkan notis tunjuk sebab terhadap bekas suaminya yang didakwa telah mengingkari perintah mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Mohd Amran Mat Zain pada Rabu, membenarkan permohonan Datin Seri Shahnaz A. Majid, 48, yang difailkan secara ex-parte (sebelah pihak) terhadap Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib Abdul Taib dan menetapkan kes disebut pada 12 September ini.

Permohonan itu difailkan menerusi peguam-peguam syarie Dr Mohd Rafie Mohd Shafie dan Akbardin Abdul Kader kerana mendakwa Mahmud Abu Bekir telah gagal untuk mematuhi perintah mahkamah bertarikh 9 Mei lalu.

Perintah itu adalah untuk Mahmuh Abu Bekir yang merupakan seorang ahli perniagaan menzahirkan semua dokumen berkaitan harta miliknya, termasuklah akaun-akaun simpanan bank, akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), penyata cukai dan penyata kewangan bulanan atau tahunan.

Jika Mahmud Abu Bekir gagal untuk memberikan sebab, beliau boleh disabitkan dan dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 kerana dianggap telah gagal atau cuai untuk mematuhi perintah mahkamah.

Akbardin ketika dihubungi memberitahu, bahawa pihaknya akan menyerahkan perintah yang diperoleh anak guamnya kepada Mahmud Abu Bekir pada Jumaat.

Bagaimanapun, peguam syarie Datuk Zainal Rijal Abu Bakar yang dihubungi mStar Online memberitahu, sehingga pukul 4 petang Jumaat, pihaknya masih belum menerima dokumen berhubung perkara itu.

"Saya juga hanya mengetahui mengenainya menerusi pihak media," tambahnya.

Shahnaz, 48, dan Mahmud Abu Bekir, 48, bercerai secara baik dengan talak satu pada 11 Mei lalu. Pasangan itu berkahwin pada 9 Januari 1992 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya, 18.

Shahnaz pada awalnya memfailkan permohonan untuk berpisah secara fasakh tetapi menarik semula permohonannya apabila Mahmud Abu Bekir Taib bersetuju untuk melafazkan cerai secara baik.

Bagaimanapun, pasangan tersebut tidak dapat mencapai persetujuan dalam permohonan tuntutan mutaah dan harta sepencarian yang timbul ekoran perceraian itu.

Shahnaz menuntut RM100 juta sebagai mutaah yang dipercayai suatu jumlah yang munasabah dengan tempoh perkahwinan mereka selama 19 tahun, selain ia berpadanan dengan pendapatan bekas suaminya.

Jumlah itu juga didakwa sebagai keadilan untuk beliau memulakan hidup baru sesuai dengan taraf dan status yang pernah dilaluinya.

Shahnaz juga menuntut agar RM300 juta diisytiharkan sebagai harta sepencarian yang meliputi harta-harta termasuk rumah di mereta-rata tempat, tanah beratus-ratus hektar di Sarawak dan tanah di Bukit Tunku, di sini.

Selain itu, mereka juga didakwa mempunyai kereta Mercedez Benz, Lamborghini Murcielago, Ferrari Spider, Bentley New Continental GT, Maserati Quartoporte, AUDI, dan Van Alphard serta simpanan-simpanan bank.

Harta tersebut juga melibatkan syarikat-syarikat dan saham-saham seperti Titanium Management Sdn Bhd, Sarawak Cable Berhad, Cahaya Mata Sarawak Berhad, Premium Haven, Log Dak Promotions, Dataran Aras, Celebrity Design dan Bella Magic.

Permohonan tersebut akan disebut semula pada 9 Ogos ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan