Pembunuhan Banting: Saksi Dakwa Orang Indonesia Buang Barang

Diterbitkan: Khamis, 4 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pekerja ladang yang telah dihukum penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya mendakwa, dia melihat empat orang lelaki termasuk seorang warga Indonesia membuang pelbagai barangan di sekitar Banting, dekat sini.

U. Suresh, 27, menambah, kejadian itu berlaku pada waktu pagi 4 September 2010, dan lelaki-lelaki tersebut telah menahan lorinya di hadapan sebuah kuil berhampiran simpang ladang tempat dia bekerja, semasa dia dalam perjalanan hendak ke Puchong.

"Saya nampak mereka naik kereta pacuan empat roda. Dua lelaki turun dan tanya jika mereka boleh sewa lori saya untuk digunakan bagi membuang barang-barang sembahyang selama sejam," katanya di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.

Saksi pendakwaan ke-29 itu seterusnya menambah, dua lelaki itu kembali semula ke kenderaan mereka manakala seorang lelaki Indonesia pula keluar lalu duduk di tempat duduk penumpang lori dan mengarahkan dia untuk mengekori kenderaan di hadapan.

Katanya lagi, mereka kemudiannya berhenti di sebatang sungai yang tidak diketahui namanya dan seorang lelaki dari pacuan empat roda itu telah membuang satu karung putih ke dalam sungai berkenaan sebelum meneruskan perjalanan.

Suresh juga memberitahu, perjalanan mereka selepas itu agak perlahan dan apabila sampai di sebuah jambatan, seseorang dalam kenderaan tersebut sekali lagi membuang sesuatu ke dalam sungai.

"Selepas itu, saya masih ikut kenderaan itu dan apabila sampai di kawasan hutan berhampiran Jalan Kelanang, kenderaan itu berhenti dan saya nampak sebuah kereta hitam berada dalam jarak yang jauh di hadapan.

"Saya tidak nampak sesiapa keluar daripada kereta hitam manakala cermin kereta pula agak gelap," katanya pada pemeriksaan balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon.

Dia yang begitu lancar memberi keterangan dalam Bahasa Tamil juga memberitahu, lelaki Indonesia itu memaklumkan bahawa mereka akan meletakkan barang di bahagian belakang lori, namun dia tidak dibenarkan untuk turun daripada tempat pemandu.

Selepas 10 minit, tambah saksi, kereta hitam itu bergerak diikuti pacuan empat roda dan lori yang dipandunya sebelum berhenti semula di sebuah sungai.

"Dari cermin sisi, saya nampak dua lelaki dan lelaki Indonesia itu buka bahagian belakang lori dan keluarkan semua barang-barang lalu dibuang ke dalam sungai. Saya tidak nampak apa yang dibuang, tapi saya ada dengar bunyi zink dipijak.

"Semua barang dibuang dalam masa tidak kurang lima minit, cepat sekali," tambah lelaki yang sedang menjalani hukuman di Penjara Sungai Undang, Melaka.

Selepas semua barang dibuang, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu dilihat menuju ke kereta hitam untuk mendapatkan bayaran sewa lori.

"Pemandu kenderaan itu datang ke arah saya dan memberi wang RM300 sedangkan sewa adalah RM250. Saya beritahu pada lelaki itu, tetapi dia kata tidak mengapa dan menyuruh saya untuk menyimpan bakinya.

"Orang Indonesia itu kemudian memaklumkan saya bahawa dia mahu ke Subang Jaya, dan beritahu tempat itu dekat dengan Puchong. Dia kata boleh bayar seperti bayaran teksi," katanya dan menambah, dia bersetuju untuk menumpangkan lelaki berkenaan.

Suresh juga memberitahu, lelaki Indonesia itu menunjukkan arah ke Subang Jaya dan mereka berhenti di sebuah kawasan yang mempunyai kilang dan berhadapan dengan rumah flat.

Orang Indonesia itu, kata saksi telah keluar kerana mahu berjumpa dengan rakannya dan dilihat membuang satu kotak rokok ke dalam satu alur semasa sedang berjalan untuk kembali ke lori.

"Orang itu beritahu saya boleh pergi kerana kawannya ada. Sebelum beredar, lelaki itu beri dua telefon bimbit tapi saya menolak. Orang itu paksa dan saya ambil kerana mahu keluar untuk mengambil barang di tempat lain," katanya.

Semasa ditanya di mana telefon itu, Suresh menjawab ia dibuang di alur kecil berhampiran sungai Pasar Besar Banting pada 5 September 2010 kerana R. Kathavarayan (tertuduh keempat yang lebih dikenali sebagai Ravi) telah memarahinya kerana mengambilnya.

Pada keterangan lain, Suresh mengakui bahawa dia tidak boleh mengenal pasti lelaki Indonesia itu, tetapi ada mendengar lelaki-lelaki itu menyebut nama 'Syed' semasa berbual.

Dia seterusnya mendakwa, segala keterangan itu telah diberikan kepada pegawai polis, Cif Inspektor N. Govindan dan dia tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung jenayah itu, mahupun membunuh.

"Semasa dalam tahanan, saya dipukul, diugut bunuh dan diugut akan ditembak oleh ramai polis dari kumpulan Govindan. Saya disuruh untuk mengaitkan N. Pathmanabhan (tertuduh pertama) dengan semua perkara itu," tambahnya. Semasa memberi keterangan pada hari ke17 perbicaraan, Suresh juga memberitahu, dia tidak pernah mengenali Pathmanabhan yang merupakan seorang peguam sehinggalah dia ditangkap pada 9 September 2010.

Pathmanabhan, 42, sedang dibicarakan bersama tiga pekerja ladangnya, Kathavarayan, 31, T.Thilaiyalagan, 20, dan R.Matan, 21, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47.

Mereka juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada antar pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di ladang Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Terdahulu, Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan pihak pendakwaan untuk menggunakan rakaman percakapan Suresh bagi mencabar kebolehpercayaan saksi yang didakwa telah berpaling tadah dan memberikan 22 keterangan yang bercanggah di mahkamah.

Perbicaraan akan bersambung pada Jumaat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan