Bebas Tuduhan Bunuh: Sahari Mahu Ziarah Pusara Syafiah Humaira

Diterbitkan: Jumaat, 29 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang bekas konstabel polis, Sahari Usul pada Jumaat, mendapat peluang kedua untuk memeluk anak lelakinya, Shafiq Haikal selepas Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan membunuh, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, dia pasti terkilan kerana tidak dapat memeluk anak bongsunya, Syafiah Humaira, tiga tahun empat bulan yang meninggal dunia pada 25 Februari lalu akibat dipijak dan ditendang oleh seorang pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil, 29.

Mohd Fazli Azri yang merupakan kekasih kepada isteri Sahari, Siti Nurhanim Aziz, 26, telah disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan itu pada 22 September 2010.

"Perkara pertama yang mahu saya lakukan adalah menziarah pusara Syafiah Humaira," katanya yang turut beberapa kali menjerit bahawa dia kini seorang yang bebas.

Lelaki berkulit cerah yang pernah bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, dekat sini, juga tidak ketinggalan untuk mengucapkan rasa syukur selain membaca Al-Quran yang dibawanya.

"Saya tidak kisah akan bekerja di mana selepas ini," katanya, tetapi seorang ahli keluarganya memberitahu, mereka berhasrat membawa lelaki itu dan Shafiq Haikal pulang ke Seri Aman, Sarawak.

Sahari kemudiannya meraikan pembebasannya dengan makan di sebuah kopitiam di Plaza Alam Sentral, di sini.

Terdahulu, Hakim Dr Badariah Sahamid membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa Sahari berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan membunuh seorang warganegara Indonesia, Yusrizal Yusuf.

Bagaimanapun, beliau menjatuhkan hukuman mati mandatori terhadap dua lagi anggota polis, Koperal Ailias Yahaya, 56, dan Konstabel Saiful Azlan Shah Abdullah, 46, yang didapati bersalah melakukan perbuatan itu.

Mereka didakwa membunuh Yusrizal, 38, antara pukul 10 hingga 11.30 malam, 13 Januari 2006, di Ladang Caledonia, Kilometer 22, Jalan Kuala Lumpur-Kuala Selangor, Batu Arang, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azari Harun dan Mohamad Mustaffa P. Kunyalam manakala barisan pembelaan diwakili oleh peguam-peguam J.Kuldeep Kumar, M. Athimulan dan Ravi Shankar Ghandi.

Mangsa mati kerana ditembak sebanyak tiga kali dari belakang dalam jarak dekat dalam keadaan tangan bergari dengan menggunakan pistol milik Sahari. Gari di tangan mangsa hanya dibuka selepas dia rebah.

Sahari dikatakan menyerahkan pistol itu kerana dia tidak boleh 'ikut serta ekoran orang rumahnya sedang mengandungkan Syafiah'.

Kejadian itu didakwa berpunca apabila mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan isteri orang (bekas pengawal keselamatan, Alias Mohamad Isa) bernama Zainun Talib dan pernah mengugut akan melarikan wanita tersebut.

Dua minggu sebelum kejadian, Yusrizal juga dikatakan telah menyebut “Jika abang mahu pukul saya, pukul sampai mati, Jika tidak mati, saya akan bunuh semua anak beranak abang tujuh keturunan” menyebabkan Alias membuat laporan polis di Sungai Plong.

Di balai polis tersebut, Alias dan seorang penjual kereta terpakai, Sulaiman Mohamad, 40, (saksi pendakwaan 33) telah melepaskan geram dengan memukul dan menendang mangsa yang ketika itu ditahan bagi tujuan pengecaman suspek bagi kes ugutan.

Pada waktu itu, Alias ada memberitahu, dia percaya mangsa seorang yang kebal kerana mengamalkan ilmu hitam, telah membuang tangkal dan minyak pengasih milik mangsa ke dalam mangkuk tandas.

Selain itu, saksi juga menyatakan bahawa Alias dan Saiful Azlan telah bertemu dengannya di Restoran Maju Ahmad di Kuang, dekat sini dan menunjukkan tiga butir kelongsong peluru yang kosong dan berkata ‘dah padam’.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan