Projek Restoran Malaysia Dubai Tidak Dilaksana - Saksi

Diterbitkan: Khamis, 28 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa projek Restoran Malaysia Dubai tidak dilaksanakan walaupun bayaran pendahuluan sebanyak RM800,000 telah didahulukan oleh Pembangunan Pelancongan Malaysia Berhad (PEMPENA).

Bekas Naib Pengerusi Eksekutif PEMPENA Sdn Bhd, Akit Sebli Khamis berkata wang tersebut didahulukan kepada Syarikat Awana Dubai, yang bertanggungjawab untuk melaksanakan projek berkenaan.

"Bayaran pendahuluan telah dibuat kepada Awana tetapi saya tidak pasti bila bayaran itu dibuat dan tidak pasti siapa yang menandatangani kelulusan pembayaran itu," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi.

Akit, 57, yang merupakan saksi pertama pendakwaan berkata beliau ada menerima surat daripada Datuk Low Chin Meng yang menggunakan kepala surat Awana Dubai pada 24 Jan 2007.

Katanya, dalam surat itu dinyatakan mengenai kos yang diperlukan untuk membina sebuah restoran di Dubai, namun beliau tidak membentangkan surat yang diterima dalam mesyuarat Lembaga Pengarah.

Pada 16 Ogos tahun lepas, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab, 54, dan bekas Ketua Pegawai Operasi PEMPENA Mohammad Rosly Md Selamat, 57, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah meluluskan pembayaran wang berjumlah RM888,000 ke akaun LCL Interior Dubai pada 27 Feb 2007 bagi projek pembinaan Restoran Malaysia Dubai tanpa mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat PEMPENA di Tingkat 3, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada 27 Feb 2007.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan denda dan juga boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Akit turut memaklumkan bahawa Awana Dubai akan membayar semula wang pendahuluan berjumlah RM800,000 yang dibayar oleh PEMPENA dalam tempoh sebulan dan perkara itu dinyatakan dalam penyata aliran tunai bertarikh 31 Julai 2007.

Bagaimanapun, saksi itu tidak pasti sama ada syarikat Awana Dubai telah membayar semula wang pendahuluan itu kerana beliau tidak lagi bertugas di PEMPENA pada Julai 2007.

Katanya, selepas mendapati Awana Dubai tidak dapat melaksanakan projek berkenaan pihak pengurusan PEMPENA mengadakan satu mesyuarat untuk mencari alternatif lain (lokasi) bagi membina restoran di Dubai.

Akit berkata selain beliau sendiri, pihak pengurusan kanan PEMPENA yang terlibat dalam mesyuarat itu ialah Mohammad Rosly, Mohd Ridza Ismail, Lim Khing Tai dan Raja Norzan.

Bagaimanapun, Akit memaklumkan tiada keputusan yang diperoleh dalam mesyuarat berkenaan.

Akit turut memberitahu mahkamah, projek restoran itu yang dibentangkan oleh Mohammad Rosly telah diluluskan pelaburannya oleh ahli lembaga pengarah yang lain.

Jelasnya, antara perkara yang dibentangkan oleh Mohammad Rosly adalah projek berkenaan akan dijalankan bersama LCL Group dan PEMPENA.

Perbicaraan di hadapan Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh bersambung esok. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan