Pembunuhan Banting: Saksi Sangkal Pathma Arah 'Habiskan'

Diterbitkan: Rabu, 27 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pekerja ladang menafikan dakwaan bahawa majikannya yang merupakan seorang bekas peguam, N.Pathmanabhan telah mengarahkannya supaya 'habiskan' empat individu termasuk seorang wanita Melayu yang hadir di tempat dia bekerja, tahun lalu.

U. Suresh, 27, juga menafikan cadangan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, bahawa perkataan 'habiskan' yang diajukan dalam bahasa Tamil itu sebenarnya membawa maksud 'ajar dan bunuh mereka'.

Selain itu, Ishak yang sedang menyoal saksi pendakwaan ke-29 seterusnya mencadangkan bahawa rancangan untuk 'menghabiskan' itu dibuat pada 6 petang, 29 Ogos 2010, iaitu sehari sebelum ketibaan empat individu berkenaan yang menaiki dua buah kereta mewah BMW.

Ishak menambah, selain Suresh arahan tersebut dikeluarkan kepada tiga pekerja ladang, iaitu T.Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan yang sedang dibicarakan atas kesalahan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang hilang bersamanya.

Ishak: Saya katakan Pathma beritahu bahawa esok, 30 Ogos 2010 akan datang dua orang ke ladang dan kamu disuruh ajar atau habiskan orang itu dan dia beritahu supaya sediakan barang-barang serta beli minyak?

Suresh: Tidak setuju.

Ishak: Saya katakan pada 30 Ogos 2010, ketika seorang wanita dan tiga lelaki Melayu masuk ke ladang, Pathma telah kata 'habiskan' beberapa kali?

Suresh: Tidak setuju.

Ishak: Saya katakan selepas Pathma kata 'habiskan', kamu nampak Thilaiyalagan pegang wanita Melayu manakala Matan dan Sarawanan (pekerja ladang yang dihukum kerana membakar mayat mangsa) pegang lelaki Melayu itu?

Suresh: Tidak setuju.

Ishak: Saya katakan selepas itu Matan telah menghulurkan parang kepada Kathavarayan?

Suresh: Tidak setuju.

Seterusnya, Suresh yang sedang menjalani hukuman penjara selama 20 tahun bagi kesalahan membuang abu mayat juga menafikan bahawa semua individu itu dibawa ke sebuah bilik dan Pathmanabhan telah mengarahkan wanita terbabit untuk membuat panggilan kepada keluarganya.

Saksi yang hadir dengan memakai baju seragam penjara berwarna merah turut tidak bersetuju bahawa dia dan rakan-rakannya diarahkan untuk menakutkan wanita itu dengan memukul pemandu kereta BMW X5, apabila dia enggan menuruti arahan Pathma.

Ishak: Saya katakan, Kathavarayan telah menggunakan kayu kriket untuk memukul paha pemandu kereta manakala Sarawanan guna kayu untuk pukul tangan dan kamu juga ada memukul paha lelaki itu?

Suresh: Tidak setuju.

Lelaki bertubuh kecil itu seterusnya menafikan bahawa wanita itu dan dua lagi lelaki Melayu yang ditahan telah menghubungi dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tidak benar kepada keluarga masing-masing kerana takut akan mengalami nasib yang sama.

Suresh yang sedang meringkuk di Penjara Sungai Udang, Melaka bagaimanapun, mengakui bahawa dia ada membeli minyak petrol dan diesel sebanyak antara RM50 hingga RM60 dari stesyen minyak Shell yang diisikan ke dalam tiga buah tong.

"Minyak adalah untuk kegunaan motosikal, kereta dan lori yang terdapat di ladang," jawabnya semasa menafikan dakwaan pihak pendakwaan bahawa ia adalah sebagai persediaan untuk membakar mayat wanita dan lelaki-lelaki Melayu tersebut.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainudin, saksi menafikan bahawa dia ada membuat pembakaran pada malam 30 Ogos 2010 sebaliknya mendakwa, dia keluar bekerja dengan bapa saudaranya di Cheras untuk memasang kanopi dan hanya pulang ke ladang pada antara pukul 11.45 dan 11.50 malam.

"Waktu saya balik, saya lihat Thilaiyalagan, Matan, Kathavarayan dan Sarawanan membuat persediaan untuk menyambut Hari Kemerdekaan dengan menaikkan bendera dan makan-makan serta minum bir," tambahnya.

Dia juga menafikan cadangan Saiful Edris bahawa pada malam itu, dia sebenarnya baru pulang daripada membawa kereta BMW X5 itu ke Subang Jaya, dekat sini atas arahan Pathma yang turut berpesan supaya tidak meninggalkan kesan cap jari.

Perbicaraan yang masuk hari ke-12 pada Rabu, juga menyaksikan saksi menafikan bahawa sebaik sahaja tiba di ladang, dia melihat Thilaiyalagan dan Matan sedang membakar sesuatu dan mereka meminta pakaian yang dipakai oleh saksi untuk turut dibakar.

Dia juga menafikan bahawa mereka juga telah mengarahkan dia untuk mandi dengan menggunakan air kunyit.

Suresh turut menafikan bahawa pada waktu pagi, 31 Ogos 2010, Thilaiyalagan dan Matan dilihat mengutip abu bakar mayat dan dimasukkan ke dalam sebuah tong biru untuk dibuang di dalam Sungai Panchau, dekat sini.

Saiful Edris: Saya katakan, selepas kejadian, Pathma ada beritahu bahawa kes ini telah masuk surat khabar dan beritahu supaya kamu tidak nyatakan apa-apa tentang kejadian?

Suresh: Tidak setuju.

Saiful Edris: Saya juga katakan, Pathma juga pesan 'jika rakan-rakan ditangkap polis, jangan risau. Kamu semua akan dijamin'?

Suresh: Tidak setuju. Semua keterangan ini diperoleh selepas pihak pendakwaan dibenarkan untuk menyoal-balas saksi ekoran keputusan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang membenarkan permohonan itu selepas bersetuju bahawa perwatakan dan cara saksi menjawab boleh merumuskan dia sebagai seorang saksi yang berpaling tadah.

Dalam kes ini, Pathmanabhan, 42, didakwa bersama Thilaiyalagan, 20; Matan, 21; dan Kathavarayan, 31, atas pertuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 8.30 dan 9.40 malam, 30 Ogos 2010 di ladang Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini.

Perbicaraan akan bersambung Jumaat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan