Kematian AminulRasyid: Penembak Sebenar Tidak Dapat Dikenal Pasti

Diterbitkan: Jumaat, 22 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian (CSI), Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amidon Anan berpendapat penembak sebenar yang telah menyebabkan kematian pelajar AminulRasyid Amzah dalam satu kejadian tembakan tahun lalu, tidak dapat dikenal pasti.

Amidon, 60, menambah, ia ekoran keterangan yang dikemukakan pada perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini, telah menunjukkan terdapat dua penembak dan tiga buah kereta peronda polis (MPV) yang terlibat dalam kejadian tersebut.

"Berdasarkan laporan kimia, terdapat dua senjata api telah dihantar untuk proses analisis. Ini menimbulkan pertanyaan kepada diri saya sebagai seorang pengamal sains forensik.

"Anak peluru daripada kepala mangsa tdak dapat dikenal pasti datang dari senjata yang mana. Perkara itu disahkan oleh Jabatan Kimia Malaysia bahawa anak peluru yang diterima daripada hospital tidak dapat dibandingkan dengan mana-mana senjata," katanya pada Jumaat.

Amidon yang memberi keterangan selaku saksi pembelaan kedua juga memberitahu, salah satu aspek yang menggagalkan siasatan CSI Selangor adalah apabila tiada ujian sisa tembakan (GSR) dilakukan sebaik sahaja kejadian berlaku.

Menjawab soalan peguam Salim Bashir, Amidon juga berpendapat bahawa Pegawai Penyiasat Forensik daripada pasukan CSI Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Cif Inspektor Mazli Jusob @ Che Kob tidak melakukan siasatan yang 'begitu rapi' walaupun berpeluang untuk berbuat demikian kerana merupakan antara individu pertama yang tiba di tempat kejadian.

Beliau menambah, prosedur standard bagi kes tembakan melibatkan anggota polis juga tidak diikut dengan sempurna.

"Mengikut prosedur, senjata api, pakaian orang yang menembak dan kereta MPV yang terlibat perlu dirampas di tempat kejadian.

"Ujian GSR juga perlu dilakukan di tangan anggota-anggota MPV dan cermin belakang kereta mangsa (AminulRasyid maut selepas satu peluru menembusi cermin belakang kereta dan terkena di kepalanya) supaya analisis seterusnya dapat dilakukan sebaik mungkin.

"Mengikut prosedur, lakonan semula dengan menggunakan trajektori (ujian menentukan arah tembakan) perlu dilakukan untuk mendapatkan sudut tembakan sebelum kedudukan kereta mangsa diubah," katanya.

Seterusnya, Amidon juga memberitahu ujian trajektori yang dilakukan oleh pasukan CSI Selangor hanya 'sebahagian daripada apa yang sepatutnya dilakukan'.

Menjelaskan perkara itu, saksi menambah, trajektori terbabit hanya dilakukan pada bahagian kemasukan peluru di cermin belakang, sedangkan adalah lebih wajar jika ujian berkenaan dilakukan untuk mencari sudut tembakan.

"Dalam kes ini, CSI tidak menarik ke belakang sedikit kesan trajektori untuk mendapatkan sudut tembakan. Oleh itu, saya berpendapat lakonan semula kejadian tidak dilakukan sepenuhnya," katanya.

Amidon juga memberitahu, jika semua prosedur diikut dengan sempurna, anak peluru di dalam kepala mangsa akan dapat 'dikahwinkan' dengan senjata penembak yang telah menyebabkan kematian pelajar tingkatan tiga tersebut.

Semasa disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani, saksi memberitahu bahawa kegagalan pihak CSI untuk mengutip peluru secepat mungkin akan menjejaskan siasatan kerana terdapat kemungkinan peluru itu dipijak dan satu kesan calar boleh menjejaskan proses analisis.

Perbicaraan pada Jumaat juga menyaksikan Amidon yang terlibat dalam pelbagai kes berprofil tinggi seperti pembunuhan Canny Ong dan Altantuya Shaariibuu agak beremosi apabila kepakarannya dalam memberikan keterangan selaku pendapat kedua dipersoalkan oleh Idham.

"Dahulu keterangan saya digunakan oleh pihak pendakwaan. Tetapi sekarang... Saya minta maaf puan hakim. Hari ini saya dicemarkan," kata Amidon.

Idham kemudiannya meminta saksi untuk tidak mengikut emosi kerana tugas mereka di mahkamah adalah untuk mendapatkan keadilan kepada mangsa.

Amidon yang terkenal dengan sifatnya yang gemar berdiri semasa memberi keterangan juga tidak bersetuju dengan cadangan Idham bahawa tidak adil untuk beliau memberi komen terhadap PDRM memandangkan saksi kini tidak lagi berkhidmat dengan pasukan beruniform itu.

Beliau berkata: "Tidak patut untuk mengatakan saya tidak boleh memberi komen kerana jika tidak, bagaimana hendak maju? Saya berhak untuk memberikan pendapat, terpulang kepada mahkamah untuk membuat keputusan."

Sebaik sahaja Amidon memberi keterangan, Salim memberitahu bahawa pihaknya tidak akan memanggil saksi lain dan berhasrat untuk menutup pembelaan mereka.

Selain Amidon, pihak pembelaan juga memanggil Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Razali Basri sebagai saksi untuk menyokong keterangan yang diberikan oleh tertuduh, Koperal Jenain Subi.

Jenain, 49, didakwa menyebabkan kematian AminulRasyid, 15, pada antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu apabila melepaskan 21 das tembakan ke arah kereta BET 5023 yang dipandu oleh mangsa tanpa pengetahuan keluarganya.

Kereta tersebut pada awalnya dikejar oleh unit MPV kerana didakwa enggan mematuhi arahan polis supaya berhenti, selain dipandu dalam keadaan melulu dan melanggar lampu merah.

Hakim Latifah Mohd Tahar menetapkan 23 Ogos ini untuk mendengar hujahan diakhir pembelaan secara lisan.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan