Blogger Diarah Bayar RM300,000 Kepada Rais

Diterbitkan: Selasa, 19 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim pada Selasa, memperoleh ganti rugi sebanyak RM300,000 daripada seorang blogger, Azimudin Ahmat yang telah memfitnah beliau merogol pembantu rumahnya dari Indonesia.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datin Zabariah Mohd Yusof juga memerintahkan agar Azimudin yang juga seorang ahli jawatankuasa sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) membayar kos RM100,000 kepada Rais.

Pada penghakimannya, Zabariah berkata, mahkamah mengambil kira kedudukan Rais selaku seorang menteri yang telah menganggotai Kabinet selama 37 tahun dan dikenali bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di persada antarabangsa.

Selain itu, beliau juga berkata, tiada sebarang bukti yang dapat menunjukkan berlaku unsur provokasi yang dilakukan oleh Rais selaku plaintif untuk Azimudin (defendan) mengeluarkan kenyataan berbentuk fitnah tersebut.

“Fitnah rogol melibatkan individu dari negara lain, dan perkara itu adalah satu kesalahan jenayah dan merupakan tuduhan paling jijik yang boleh dilakukan terhadap seseorang individu.

“Tuduhan berkenaan juga tidak sihat dari sudut hubungan diplomatik dan ibarat menuang petrol ke dalam api terhadap kemarahan negara jiran berhubung isu rakyat mereka didera semasa bekerja sebagai pembantu rumah di sini,” katanya.

Selain itu, Zabariah juga berkata, fitnah tersebut boleh dibaca oleh sesiapa sahaja yang melayari laman blog defendan, selain tiada unsur keinsafan ditunjukkan oleh defendan.

Beliau menambah, defendan juga tetap menyiarkan kata-kata fitnah terbabit meskipun mahkamah telah mengeluarkan perintah injunksi yang melarang perbuatan tersebut diteruskan.

“Defendan juga tidak merasa insaf, dan daripada keterangannya, saya dapati defendan berasakan dirinya tidak melakukan sebarang perbuatan yang salah kerana berpendapat tindakannya hanyalah memuat turun dakwaan itu daripada Harakah Daily,” kata Zabariah lagi.

Beliau juga berkata, defendan juga telah cuai kerana menyiarkan dakwaan tersebut tanpa menyiasat kebenaran dakwaan yang bukan sahaja menjatuhkan reputasi plaintif, tetapi juga dapat memberikan kesan kepada kehidupan peribadi dan keluarga beliau.

“Berdasarkan keterangannya, defendan mendakwa dia telah ke Jakarta untuk menyiasat selama tiga hari, tetapi gagal untuk menemui wanita yang didakwa sebagai mangsa rogol bagi mengesahkan dakwaan itu.

“Selepas itu tiada sebarang tindakan susulan daripada defendan, dan ini menunjukkan bahawa defendan tidak mempedulikan sama ada perkara yang disiarkannya itu betul atau tidak,” tambah Zabariah.

Sementara itu, Rais yang hadir ke mahkamah bersama isterinya, Datin Seri Maznah Rais menyifatkan keputusan tersebut sebagai peringatan untuk mereka yang gemar menghabiskan masa dengan menulis tentang individu lain.

“Ini adalah peringatan agar individu yang suka menulis tentang orang lain di dalam blog atau ruangan kolum sendiri untuk menghormati hak individu lain dan lebih berhati-hati,” katanya.

Ahli Parlimen Jelebu, Negeri Sembilan itu juga memberitahu, keputusan itu dapat menjamin keyakinan masyarakat terhadap sistem kehakiman negara.

Pada prosiding itu, Rais diwakili oleh peguam-peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan Azad Bashir manakala peguam William Leong hadir bagi mewakili Azimudin.

Rais memfailkan saman tersebut pada 31 Januari lalu dan mendakwa satu majalah bertajuk ‘Hei Pak Menteri... mana mau lari...’ beserta dengan gambarnya telah disiarkan di laman blog Amizudin.

Majalah tersebut yang didakwa mengandungi unsur fitnah disiarkan di alamat http://sharpshooterblogger.blogspot.com/ pada 28 Disember 2010.

Rais mendakwa, perkataan dalam majalah itu bermaksud dan/atau boleh difahamkan bermaksud bahawa beliau melakukan satu kesalahan serius iaitu merogol dan berkemampuan membunuh pembantu rumahnya yang berasal dari Indonesia.

Bagaimanapun, seorang wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah Rais selama lapan tahun dilaporkan sebuah portal berita Indonesia menafikan yang dia pernah dilayan secara kejam atau dirogol oleh majikannya.

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan