Pembunuhan Banting: Anjing Pengesan Tidak Temui Mayat

Diterbitkan: Khamis, 14 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Meskipun menggunakan dua ekor anjing German Shepherd yang terlatih untuk mengesan mayat, pihak polis tidak menemui sebarang mayat mahupun tulang di kawasan ladang yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawia dan tiga lelaki yang hilang bersama beliau.

Sosilawati, 47, yang merupakan pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages dikatakan hilang bersama pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pegawai Staf, Unit Siasatan Khas, Cawangan Jenayah Berat (D9), Superintendan Dennis Leong Sung Kuai, 49, berkata khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) dipanggil bagi membantu operasi pencarian semua mangsa, yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas bertolak ke Banting, dekat sini untuk bertemu dengan seorang peguam bernama 'Pathma'.

Dennis pada pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff berkata, khidmat anjing itu yang turut terlatih untuk mengesan mayat yang telah ditanam digunakan selepas operasi pencarian pada 9 September 2010 gagal untuk menemui Sosilawati dan 'rakan-rakan'.

"Kami membawa anjing untuk melakukan pemeriksaan sekiranya terdapat mayat ditanam di kawasan ladang tersebut," katanya semasa memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-27, di Mahkamah Tinggi di sini, pada Khamis.

Dennis juga memberitahu, bahawa pemeriksaan di ladang tersebut dilakukan selama tiga hari, namun begitu khidmat anjin pengesan hanya digunakan pada hari pertama pemeriksaan, iaitu pada 9 September 2010.

Beliau menambah, pihak polis juga mendapatkan sebuah jengkaut yang digunakan untuk kerja-kerja menggali selama kira-kira setengah jam di bahagian hadapan, rumah kayu dan pondok rehat yang terdapat di dalam kawasan ladang tersebut.

Menjawab soalan peguam Gurbachan Singh, Dennis memberitahu bahawa pihaknya tidak menggali bahagian kolam di dalam ladang, sebaliknya menggunakan kayu untuk memeriksa kolam terbabit.

Perbicaraan yang masuk hari kesembilan pada Khamis, juga menyaksikan Ketua Pasukan Siasatan Tempat Kejadian (CSI) di Makmal Forensik, Asisten Superintendan (ASP) Zainol Hisham Abu, 40, memberitahu bahawa beliau diminta untuk membuat lakaran rajah kasar tempat kejadian, iaitu Sungai Panchau, Banting.

Saksi pendakwaan ke-28 itu menambah, arahan untuk berbuat demikian diterima daripada Superintendan Azari Abdul Rahman dan semasa berada di sungai berkenaan pada pukul 3.30 petang, 12 September 2010, beliau ada melihat tiga orang penyelam sedang membuat operasi mencari bahan bukti di dalam sungai itu.

Mereka yang terlibat dalam operasi menyelam terdiri daripada Pasukan Gerakan Marin, Pulau Pinang, Koperal Merzuki Shahrim, Lans Koperal Muhamad Hazriman Ismail dan Lans Koperal Kesatoper Wine Anak Assan.

"Apabila bahan bukti ditemui, mereka akan serahkan kepada Azari yang akan menyerahkan beg plastik yang mempunyai logo makmal forensik untuk diletakkan bahan bukti tersebut," katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani.

Semasa memberi keterangan, Zainol Hisham kelihatan tidak begitu selesa menyebabkan Idham bertanyakan saksi sekiranya beliau sedang menggigil.

Tanpa ragu, Zainol Hisham mengakui bahawa dia sememangkan menggigil dan secara spontan Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata: "Kamu menggigil kerana takut kepada Timbalan Pendakwa Raya ke?"

Saksi hanya ketawa mendengar soalan tersebut dan seterusnya dilihat lebih tenang untuk menjawab soalan yang diajukan oleh Idham dan barisan pembelaan.

Dalam kes ini, seorang bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladang T. Thilaiyagan, 20; K. Matan, 21, dan K. Khatavarayan, 31, sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin yang didakwa dilakukan antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di ladang Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dan jika disabitkan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, semua tertuduh boleh dihukum mati mandatori.

Perbicaraan bersambung 25 Julai ini.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan