Mahkamah Tetapkan 8 Ogos Untuk Keputusan Kes Khir Toyo Bela Diri

Diterbitkan: Rabu, 13 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 8 Ogos depan untuk membuat keputusan sama ada bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo perlu membela diri atau dibebaskan berhubung tuduhan melakukan rasuah berkaitan pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah banglo di Seksyen 7 di sini, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Mohtaruddin Baki menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan yang masing-masing diketuai Abdul Wahab Mohamad dan M. Athimulan selesai mengemukakan hujahan masing-masing pada akhir kes pendakwaan hari ini.

Abdul Wahab dalam hujahannya memberitahu mahkamah saksi utama dalam kes itu, Pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni adalah seorang saksi yang boleh dipercayai.

Beliau menyangkal kenyataan peguam bela yang mewakili Dr Mohamad Khir, Athimulan, bahawa keterangan Shamsuddin di mahkamah tidak boleh dipercayai sebab beliau (Shamsuddin) sendiri pernah memberitahu mahkamah sebelum ini bahawa beliau ada memberikan kenyataan bercanggah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes itu.

"Pihak pendakwaan berpendapat mahkamah hanya boleh menilai keterangan yang telah dikemukakan Shamsuddin di mahkamah dan tiada asas untuk mengambil kira percakapan bertulisnya kepada SPRM kerana ia bukanlah sebahagian dari keterangan pendakwaan ataupun pembelaan," katanya.

Semasa perbicaraan kes pada 16 Jun lepas, Shamsuddin selaku saksi pendakwaan kedua memberitahu mahkamah bahawa beliau memberi tiga kenyataan bercanggah dalam dua rakaman percakapannya kepada SPRM berhubung kes itu pada 2009 dan 7 Jun lepas atas desakan Dr Mohamad Khir.

Shamsuddin berkata, desakan itu berlaku selepas beliau dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan, dan "saya menerima banyak desakan daripada Mohamad Khir untuk tidak melibatkan diri beliau."

Dr Mohamad Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Mengulas lanjut, Abdul Wahab berkata isu kebolehpercayaan keterangan Shamsuddin di mahkamah tidak timbul kerana beliau sendiri mengesahkan apa yang disebut dalam mahkamah adalah perkara sebenarnya.

"Mungkin terdapat percanggahan antara keterangan yang dimaksudkan (oleh pembelaan), namun kredibiliti Shamsuddin tidaklah secara automatik terjejas dan harus ditolak begitu sahaja oleh mahkamah.

"Dalam konteks ini, 'best evidence rule' terpakai iaitu keterangan lisan saksi pendakwaan kedua (Shamsuddin) di mahkamah dan bukannya percakapan kepada SPRM yang tidak pun dirujuk kepada Shamsuddin ketika bicara," katanya.

Sebelum itu, Athimulan dalam hujahannya berkata kredibiliti Shamsuddin terjejas ekoran memberikan keterangan yang berbeza di mahkamah dan SPRM sebelum pertuduhan bersubahat terhadap beliau (Shamsuddin) dalam kes itu ditarik balik.

"Sejauh manakah kita boleh bergantung kepada keterangan Shamsuddin? Adakah beliau saksi yang boleh dipercayai, adalah tidak selamat untuk bergantung kepada keterangan Shamsuddin (dalam kes itu).

Beliau berhujah sebagai seorang yang mengaku membuat kenyataan palsu di hadapan pihak berkuasa, Shamsuddin telah melakukan sumpah bohong berdasarkan Seksyen 191 dan 193 Kanun Keseksaan dan beliau bukanlah saksi yang boleh dipercayai.

Sementara itu, Abdul Wahab berhujah intipati kesalahan dalam kes Dr Mohamad Khir berjaya dibuktikan melalui keterangan Shamsuddin yang disokong dengan keterangan lisan dan dokumen.

Beliau berkata, keterangan yang dikemukakan menunjukkan bahawa pembayaran RM3.5 juta oleh Dr Mohamad Khir untuk memperolehi tanah dan rumah tersebut adalah terlalu tidak mencukupi berbanding dengan harga yang dibayar oleh Shamsuddin iaitu RM6.5 juta untuk membeli hartanah tersebut daripada pemilik asalnya, Saiful Aznir Shahabudin.

"Keterangan juga menunjukkan OKT (Orang Kena Tuduh) mempunyai pengetahuan bahawa harga yang dibayarnya jauh lebih rendah atau tidak munasabah dari yang sepatutnya," katanya.

Abdul Wahab juga berkata, berdasarkan keterangan Shamsuddin, tidak wujud langsung persefahaman atas dasar 'willing buyer' antara Shamsuddin dan Dr Mohamad Khir ketika transaksi penjualan rumah itu dibuat.

"Shamsuddin menyatakan yang beliau pada awalnya ingin menjual pada harga RM5 hingga 5.5 juta namun OKT meminta kepada harga RM3.5 juta.

"Beliau tiada pilihan setelah berunding dengan isterinya bersetuju dengan harga ini memandangkan beliau mempunyai urusan niaga khususnya dengan PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) yang dipengerusikan Dr Khir masa itu," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan