Kes Sosilawati: Media Akhirnya Berpeluang Masuk & Lihat Ladang Gadong

Diterbitkan: Rabu, 13 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LANGAT: Selepas hampir setahun negara digemparkan dengan kehilangan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, pihak media akhirnya berpeluang memasuki Ladang Gadong, yang dipercayai menjadi lokasi pembunuhan kesemua mangsa.

Peluang itu hadir semasa mengikuti rombongan mahkamah yang terdiri daripada Hakim Datuk Akhtar Tahir, pihak pendakwaan dan pembelaan melawat lokasi penemuan bahan bukti dalam kes bunuh itu hari ini, bagi membolehkan mereka mendapat gambaran lebih jelas dan penerangan terperinci berhubung kes itu.

Sebelum ini, kawasan ladang itu dikawal ketat oleh pihak polis sepanjang siasatan dijalankan.

Pintu masuk utama ke ladang yang menggunakan pagar kawalan automatik dibuka ketika 17 kenderaan yang membawa hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan serta pihak media tiba kira-kira 4.10 petang.

Rombongan yang turut diiringi tiga kereta peronda polis (MPV) sebelum itu turut melalui jalan masuk ke ladang yang terletak di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting di sini, yang sebahagiannya dinaiki air.

Selepas memasuki kawasan ladang tersebut, tinjauan mendapati ia kelihatan seperti telah lama ditinggalkan di mana rumput di kawasan sekitar ladang tumbuh meninggi dan lalang serta semak samun turut kelihatan di merata-rata tempat.

Turut kelihatan di dalam kawasan ladang berkenaan ialah beberapa bangunan yang menyerupai chalet di mana satu daripadanya terdapat beberapa sofa diletakkan di bahagian luar, rumah pekerja yang kosong serta gazebo yang ditumbuhi lalang dan tumbuhan liar.

Selain itu, beberapa bahagian ladang turut dinaiki air dan terdapat beberapa tapak semaian ditutupi jaring berwarna hitam di sepanjang laluan pintu masuk hadapan serta kandang-kandang binatang yang kosong.

Rombongan mahkamah turut dibawa ke bahagian belakang ladang yang juga mempunyai pintu masuk di mana kelihatan binaan seperti pintu gerbang yang berjaring di bahagian tengah ladang menghala ke tembok belakang dan beberapa binaan konkrit berbentuk empat segi di bahagian kiri ladang tersebut.

Ketika Hakim Akhtar, pihak pendakwaan dan pembelaan diberi penerangan oleh pihak polis, pihak media tidak melepaskan peluang merakamkan suasana dan keadaan di dalam ladang tersebut.

Rombongan mahkamah meninggalkan kawasan ladang pada 4.30 petang selepas meluangkan masa kira-kira 20 minit.

Terdahulu, rombongan tersebut turut dibawa melawat ke lokasi penemuan bahan-bahan bukti dalam kes berkenaan iaitu di kunci tali air berhampiran Pasar Besar, Banting, sebuah sungai di Kampung Kelanang, Jambatan Sungai Endah di Kampung Endah dan Sungai Panchau.

Keempat-empat tertuduh dalam kes itu, bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, R. Matan dan R. Khatavarayan bagaimanapun tidak dibawa bersama mengikuti lawatan itu, yang bertolak dari bangunan mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pada 2.30 petang.

Keempat-empat tertuduh kini sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan