Kes Sosilawati: Enam Individu Ditangkap Di Tiga Lokasi Berlainan

Diterbitkan: Rabu, 13 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa polis dari Unit Siasatan Khas, Cawangan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah menangkap enam individu termasuk tiga tertuduh dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, di tiga lokasi termasuk di tempat kejadian.

Supt Denis Leong Sung Kuai, 49, pegawai staf dari unit itu berkata, beliau bersama pasukannya menangkap empat lelaki, R.Thilaiyalagan, R.Matan, R. Khataravarayan dan U. Suresh di sebuah ladang di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, kira-kira pukul 3 petang pada 9 September 2010.

Thilaiyagan, Matan dan Khatavarayan serta bekas peguam, N.Pathmanabhan merupakan tertuduh dalam kes bunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Suresh, seorang pekerja ladang telah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu, seperti dilaporkan oleh media.

Leong berkata, semasa tangkapan dibuat, pasukannya turut merampas dua buah telefon bimbit jenis Nokia dan eTouch berserta kad sim daripada Khataravarayan.

"Semasa tangkapan dibuat di ladang itu terdapat empat wanita, masing-masing dari Indonesia, Filipina dan India selain seorang lelaki berbangsa India dan kira-kira empat kanak-kanak lelaki turut berada di sana.

"Wanita Indonesia dan Filipina turut ditahan oleh Cif Inspektor Lasappie Lamidi atas kesalahan Imigresen manakala yang lain tidak ditahan," katanya ketika pemeriksaan utama dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, ketiga-tiganya pekerja ladang didakwa membunuh keempat-empat mangsa di ladang itu (Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat) antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Saksi ke-27 pendakwaan itu berkata, ketika pasukannya dan satu lagi pasukan polis dari Bukit Aman yang diketuai ASP Azizan tiba di ladang itu, mereka mendapati pintu masuk hadapan ladang berkenaan ditutup.

"Kami lihat banyak anjing berada sekitar ladang antara lapan hingga 10 ekor. Kami menjerit (untuk memanggil) selepas melihat ada orang di situ. Tertuduh keempat (Khatavarayan) kemudian datang dan membuka pintu pagar automatik selepas memastikan anjing-anjing tersebut dikurung di dalam kandang anjing," katanya.

Leong berkata, keempat-empat lelaki itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Banting sebelum diserahkan kepada Cif Insp Lasappie.

Seterusnya saksi itu berkata, tangkapan kedua dibuat ke atas seorang lelaki bernama V.Selvapandian, 46, pemandu van sekolah yang dikatakan menerima jam tangan jenama Longines dari Suresh di rumahnya di Sungai Buloh, kira-kira pukul 11 malam pada 11 September 2010 dan lelaki itu kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat Asp Ishak Yaakob untuk tindakan lanjut.

Selvapandian yang merupakan saksi ke-12 pendakwaan sebelum ini memberi keterangan bahawa anak saudaranya, Khatavarayan ada meminta Suresh memberi seutas jam tangan kepadanya pada Ogos 2010.

Dalam keterangan sebelum ini jam tangan Longiness itu disahkan milik Noorhisham oleh isterinya, Suzana Radin Pangat.

Leong berkata, Sarawanan ditangkap pada 12 September 2010 di rumahnya di Banting dan pasukannya turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Nokia daripada lelaki itu.

Sarawanan, juga pekerja ladang, turut menerima nasib yang sama dengan Suresh selepas dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu.

"Adakah kamu dan pasukan kamu pergi semula ke ladang pada 10 September 2010," soal Ishak.

"Ya, kami ada ke sana semula pada tarikh itu tetapi tiada tangkapan dibuat melainkan ASP A.Visvanathan ada membuat beberapa rampasan," jawab Leong.

Ketika disoal balas peguam Manjeet Singh Dillon yang mewakili Pathmanabhan sama ada beliau dan pasukannya ada kembali semula ke ladang itu selepas tarikh tersebut (10 September 2010), saksi itu berkata, mereka ada kembali semula ke ladang itu pada 24 September 2010.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan