Inkues Ahmad Sarbaini: Saksi Nafi Reka Cerita

Diterbitkan: Rabu, 13 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu menafikan dakwaan peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed bahawa beliau telah mereka-reka cerita bahawa Penolong Pengarah Kastam Selangor itu membelanjakan wang yang diterima dari dua syarikat ejen penghantaran. Peguam Awtar Singh menuduh Abdul Ghani Ali, yang juga pegawai penyiasat kes Ahmad Sarbaini, mereka-reka cerita itu untuk menjatuhkan maruah Allahyarham.

Abdul Ghani, 57, saksi ke-18 prosiding inkues untuk menyiasat punca kematian Ahmad Sarbaini berkata, beliau hanya memaklumkan apa yang telah diberitahu oleh Allahyarham kepadanya pada 4 April lalu.

Abdul Ghani berkata, pada hari tersebut, Allahyarham sendiri yang memaklumkan kepadanya mengenai perkara itu selepas beliau menanyakan kepada Ahmad Sarbaini: "Encik Mat (panggilan untuk Ahmad Sarbaini) apa yang kamu buat dengan duit itu dan beliau kata telah dibelanjakan".

Saksi itu menjelaskan pada hari berkenaan beliau masuk ke dalam bilik Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad di aras tiga, bangunan SPRM selepas rakaman percakapan Allahyarham diambil oleh penolong penguasa SPRM itu.

"Sheikh Niza menunjukkan kenyataan Allahyarham yang telah diambil dan ketika saya membaca monitor komputer berkenaan tertera kenyataan Ahmad Sarbaini yang mengakui menerima wang rasuah daripada Ah Seng dari Syarikat TopMark Shipping antara RM30 hingga RM200 sebulan.

"Allahyarham juga mengakui menerima wang daripada Zainal dari Syarikat Schenker Logistik Sdn Bhd antara RM50 hingga RM100 sebulan," kata Abdul Ghani yang sering meminta soalan yang dikemukakan kepadanya diulang kembali kerana mempunyai masalah pendengaran.

Bagaimanapun, keterangan Abdul Ghani itu mengejutkan semua pihak kerana perkara itu tidak timbul sebelum ini dan beliau juga mengakui perkara itu penting tetapi tidak memaklumkan kepada polis ketika rakaman percakapannya diambil.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kastam Satu, Ahmad Maher Abdul Jalil, 51, memberitahu bahawa Allahyarham pernah memaklumkan kepadanya mengenai pengakuan yang telah dibuat kepada SPRM ketika mereka bertemu di pejabat Kastam pada 5 April lepas.

Beliau, yang bertugas di cawangan Import dan Eksport, Pelabuhan Klang Utara berkata beliau terkejut dengan pengakuan itu dan sempat menasihati Allahyarham.

"Satu kesilapan kalau kamu mengaku, kalau kamu tidak ambil...Ia akan jadi susah, tetapi Allahyarham menjawab dengan nada suara yang biasa: "Tak ada apa-apa tuan, jangan takut..kalau berani buat, berani tanggung".

Ahmad Maher, saksi ke-19 inkues, berkata ketika pertemuan pada 5 April itu juga, Allahyarham turut memaklumkan beliau membuat pengakuan itu kerana takut kena tidur di lokap di Bukit Jalil kerana keadaan di situ tidak selesa.

"Sebelum ini, saya ada menemui Allahyarham pada 4 April dan Allahyarham memaklumkan beliau menafikan menerima wang RM30 kerana jumlah itu disifatkan tidak berpadanan dengan jawatan yang dipegang olehnya," kata Ahmad Maher.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi adakah Allahyarham memaklumkan beliau telah dipaksa untuk buat pengakuan semasa disoal siasat oleh pegawai SPRM, Ahmad Maher berkata: "Tidak".

Ahmad Maher, yang mengenali Ahmad Sarbaini hampir setahun turut menyifatkan Allahyarham sebagai pegawai yang cemerlang, tidak mempunyai masalah disiplin, mudah didekati dan senang untuk diminta pertolongan.

Sementara itu, saksi ke-20 inkues, Penolong Pengarah Kastam Subang, Azman Jusoh, 43, memberitahu prosiding bahawa Allahyarham ada menghubunginya pada pukul 5.30 pagi, 6 April lepas untuk menyerahkan dokumen berkenaan kelab tenis dan dua kotak air mineral kepadanya untuk diberikan kepada rakan mereka yang dikenali sebagai Zam Zam.

"Ini kali pertama Allahyarham menelefon sepanjang saya mengenalinya sejak 1998 dan beliau takut tidak sempat berbuat demikian kerana perlu pergi ke pejabat SPRM," katanya.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu.

Dia dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

Prosiding di hadapan Koroner Aizatul Akmal Maharani bersambung esok.

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan