Abdul Taib Bantah Penglibatannya Halang Ambiga Masuk Sarawak

Diterbitkan: Rabu, 13 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sarawak mengemukakan bantahan terhadap semakan kehakiman yang difailkan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk S. Ambiga berhubung dakwaan beliau dihalang daripada memasuki negeri itu pada April lalu.

Menerusi bantahannya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyatakan bahawa beliau bukanlah pihak berkuasa negeri yang perlu dinamakan dalam permohonan semakan kehakiman tersebut.

Selain itu beliau turut menyatakan bahawa perkara berkenaan tidak boleh disemak di bawah Akta Imigresen.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Rohana Yusuf menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh untuk mendengar bantahan tersebut.

Penetapan tarikh berkenaan dibuat dalam kamar di hadapan pihak plaintif dan responden.

Ambiga yang juga bekas Presiden Majlis Peguam menerusi samannya turut menamakan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia dan Pengarah Imigresen Sarawak sebagai responden.

Ambiga dihalang memasuki Sarawak pada 15 April lalu iaitu sehari sebelum hari pengundian bagi pilihan raya negeri Sarawak.

Ambiga diwakili peguam James Khong, Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi mewakli Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Imigresen manakala Penasihat Undang-Undang Khas kepada Kerajaan Negeri, Datuk JC Fong mewakli Ketua Menteri Sarawak.

Dalam tuntutan mahkamah itu, Ambiga memohon supaya notis yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Sarawak bagi menghalangnya memasuki negeri tersebut dibatalkan.

Menerusi permohonan yang difailkan pada 23 Mei lalu, Ambiga turut meminta Mahkamah Tinggi mengeluarkan satu notis bagi mengarahkan pihak responden agar membenarkan beliau memasuki Sarawak, membayar ganti rugi kos dan relif-relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Menurut Ambiga, pihak responden gagal mengambil kira fakta yang menunjukkan bahawa kunjungannya ke Sarawak adalah untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak bersifat kepartian.

Malah menurut Ambiga, responden juga gagal untuk mempertimbangkan sewajarnya fakta bahawa beliau dibenarkan masuk ke Sarawak secara sah pada kunjungannya sebelum itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan