Pembunuhan Banting: Kunci BMW Sosilawati Dalam Longkang

Diterbitkan: Selasa, 12 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kunci kereta mewah jenis BMW X5 yang dinaiki oleh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya pada hari beliau didakwa hilang dan mati dibunuh ditemui di dalam longkang di sekitar kawasan USJ 1, Subang Jaya, dekat sini.

Kunci kereta tersebut ditemui lapan hari selepas kereta dengan nombor pendaftaran WTl 11 itu ditemui pada 6 September 2010 di kawasan tempat letak kereta Flat Angsana, Pangsapuri USJ hasil maklumat orang awam yang hanya dikenali sebagai 'Awang'.

Anggota polis daripada Pasukan Gerakan Marin, Pulau Pinang, Koperal Merzuki Shahrim, 43, pada Isnin memberitahu, kunci itu - yang telah disahkan oleh anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, pada prosiding terdahulu - telah ditemui pada 14 September 2010.

Semasa itu, dia dan seorang anggota polis di bawah seliaannya, Lans Koperal Muhamad Hazriman Ismail melakukan operasi mencari pada antara pukul 7.10 dan 7.15 malam atas arahan yang diterima daripada Inspektor N. Govindan.

"Oleh kerana keadaan hampir gelap, kami menggunakan lampu suluh dan saya turut menggunakan alat pengesan besi. Saya mencari di kawasan semak, manakala Muhamad Hazriman mencari di kawasan longkang yang mepunyai air separas buku lali.

"Saya menyelak-yelak rumput manakala Muhamad Hazriman meraba-raba longkang. Muhamad Hazriman menjumpai segenggam kunci dan diserahkan kepada Govidan. Gerakan mencari dihentikan pada pukul 8 malam ," katanya di Mahkamah Tinggi di sini.

Saksi pendakwaan ke-22 itu seterusnya memberitahu, dia dan pasukannya sekali lagi diarahkan ke Sungai Panchau, Banting pada 15 September 2010 untuk membuat pencarian dengan lebih teliti dengan cara menapis lumpur-lumpur yang digali dalam kedalaman antara tiga hingga lima inci.

"Hasil daripada kerja-kerja mencari, kami telah jumpa beberapa serpihan tulang, kepingan logam yang ada kesan terbakar, beberapa batang gigi dan beberapa logam yang lebur," katanya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainudin, saksi juga memberitahu dia turut menemui seutas gelang tangan yang berwarna keemasan semasa membuat pencarian di pintu kunci air Sungai Lang, Banting pada 21 September 2010.

Cubaan Merzuki untuk menambah jawapannya bahawa gelang tersebut tidak berkaitan dengan kes yang sedang disiasat mendapat bantahan daripada peguam Manjeet Singh Dhillon atas alasan perkara tersebut seharusnya diputuskan oleh Hakim Datuk Akhtar Tahir.

Perbicaraan yang masuk hari ke-enam pada Isnin juga menyaksikan Merzuki membuka bungkusan zink yang ditemui oleh Muhamad Hazriman dan seorang lagi anggota polis marin, Lans Koperal Kesatoper Wine Anak Assan pada carian yang dilakukan di sebatang sungai bersebelahan ladang kelapa sawit.

Untuk membuka balutan zink itu, Merzuki dibantu oleh dua anggota polis mahkamah dan zink tersebut yang kelihatan berkarat ditunjukkan kepada hakim dan barisan pembelaan.

Merzuki sedang memberi keterangan pada perbicaraan kes pembunuhan Sosilwati dan tiga individu yang didakwa hilang bersamanya, iaitu pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Semua mangsa didakwa hilang selepas menemankan pengasas produk kecantikan Nouvelle Vissages itu ke Banting yang dikatakan untuk berjumpa seorang peguam bernama 'Pathma' bagi tujuan mempercepatkan tarikh cek.

Noorhisham dan Ahmad Kamil juga didakwa telah menghubungi isteri masing-masing pada hari mereka hilang dan memaklumkan tidak akan pulang ke rumah selama tiga hari kerana mahu membantu Sosilawati yang dikatakan menerima ugutan daripada Kamaruddin.

Dalam kes ini, seorang peguam N. Pathmanabhan, 42, dan tiFga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Khatavarayan, 31, sedang di bicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 8.30 dan 9.40 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori.

Perbicaraan akan bersambung pada Selasa.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan