Mahkamah Dengar Kes Habeas Corpus Ahli PSM 22 Julai

Diterbitkan: Selasa, 12 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 22 Julai untuk mendengar permohonan habeas corpus oleh enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969.

Kesemua mereka meminta dibebaskan dengan segera.

Hakim Datuk Su Geok Yiam menetapkan tarikh itu selepas mengadakan pertemuan dengan peguam Yudistra Darma Dorai yang mewakili kesemua mereka serta Peguam Kanan Persekutuan Othman Yusof dan Amir Nasruddin yang mewakili kerajaan.

Othman memberitahu pemberita kesemua mereka kini ditahan di lokap Bukit Aman.

Pada 6 Julai lepas, mereka memfailkan permohonan dan menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Selain Dr Jeyakumar, 56, lima yang lain ialah M. Sukumaran, 50, A.P Letchumanan, 49, Choo Chon Kai, 33, M. Sarasvathy, 58, and R. Sarat Babu, 25.

Mereka memfailkan permohonan itu atas alasan peguam dan anggota keluarga mereka tidak dibenarkan untuk berjumpa mereka walaupun telah membuat permintaan daripada polis.

Dalam permohonan itu, mereka mendakwa tidak dibenarkan untuk menghubungi keluarga atau peguam sejak mereka ditangkap di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat, pada 2 Julai lepas.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan