Keputusan Beli Menara Felda Diputuskan Lembaga Pengarah

Diterbitkan: Selasa, 12 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk membeli Menara Felda dibuat oleh Lembaga Pengarah Felda dan bukan oleh tiga individu termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang didakwa, Mahkamah Tinggi, Isnin, diberitahu.

Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab berkata cadangan pembelian bangunan itu telah dipertimbangkan dalam beberapa mesyuarat lembaga dan pengurusan Felda dan diberi tempoh masa.

Beliau berkata Felda akhirnya memutuskan untuk membeli Menara Felda daripada TTDI Development semasa mesyuarat khas lembaga pada 26 Oktober 2007.

"Dakwaan defendan (Datuk Dr Tan Kee Kwong) bahawa kelulusan untuk memperoleh dan membina Menara Felda dibuat tanpa pengetahuan Pengerusi dan lembaga adalah tidak benar sama sekali," katanya dalam keterangan kes saman RM200 juta yang difailkan Felda dan syarikat pelaburannya terhadap Dr Tan, bekas Timbalan Menteri Tanah, Pembangunan dan Koperasi.

Pada 25 Januari lepas, Felda dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd menyaman Tan berhubung satu artikel muka depan akhbar Suara Keadilan bertajuk 'Kontroversi' yang didakwa memfitnah mereka.

Dan artikel lanjutan di muka tiga di bawah tajuk 'Bina Bangunan RM662 Juta Hanya Libatkan Tiga Individu'.

Mereka mendakwa artikel tersebut telah memfitnah mereka kerana kata-kata tersebut memberi makna tersirat bahawa pemerolehan dan pembinaan Menara Felda di Segitiga Emas di sini adalah untuk faedah kroni.

Apabila ditanya oleh peguam Datuk Firoz Hussein Jamaluddin yang mewakili kedua-dua plaintif, Dzulkifli berkata tiada elemen 'pembaziran' dalam pemerolehan Menara Felda di Platinum Park, berhampiran Kuala Lumpur City Centre (KLCC) kerana harga pasaran telah naik nilai. Dzulkifli berkata pemerolehan Menara Felda menelan belanja RM640 juta atau kira-kira RM930 per kaki persegi. Tambahnya jumlah RM622 juta seperti yang disebut dalam artikel itu adalah tidak tepat.

Beliau berkata keseluruhan artikel itu adalah palsu dan kenyataan artikel itu yang mendakwa Felda sedang menghadapi kebankrapan adalah palsu sama sekali sebaliknya kewangan Felda adalah kukuh.

Menjawab soalan mengapa Felda menukar lokasi bangunan itu dari tanah Felda di Anjung berhampiran Jalan Gurney ke KLCC, Dzulkifli berkata Felda mahu alamat korporat yang berimej tinggi dan juga mahu lokasi utama dengan nilai pelaburan yang baik.

"Tanah Felda Anjung tidak memenuhi kriteria itu. Tanah di KLCC mempunyai nilai yang lebih tinggi," katanya.

Katanya tuduhan 'kroni' berhubung pemerolehan bangunan itu adalah sama sekali tidak benar kerana Felda memerlukan ibu pejabat di lokasi utama dan lokasinya harus memiliki alamat korporat berimej tinggi.

Dzulkifli berkata reputasi Felda telah tercalar teruk dan telah menyebabkan kemudaratan yang tidak boleh dipulihkan berikutan dakwaan artikel berkenaan.

Felda juga mendapat pertanyaan daripada bank, peneroka Felda juga orang ramai yang mempunyai pelaburan dalam Felda, katanya. Saksi lain, bekas Pengarah Felda Datuk Bakke Salleh dalam keterangannya menafikan dakwaan bahawa terdapat pertemuan anatara beliau dan dua lagi individu iaitu Najib, yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri dan usahawan Allahyarham Tan Sri S.M. Nasimuddin untuk membuat keputusan berhubung pembelian bangunan Felda.

Bakke, yang kini merupakan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad berkata keputusan muktamad untuk membeli bangunan itu dibuat pada Oktober 2007 selepas lembaga mempertimbangkannya beberapa kali.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof bersambung Selasa.

Terdahulu, sebelum perbicaraan bermula, Hakim Zabariah menolak isu awal yang dibangkitkan Dr Tan sama ada agensi kerajaan boleh mengemukakan saman fitnah.

Hakim memutuskan Felda mempunyai hak untuk menyaman dan boleh disaman kerana fitnah sehingga dan melainkan jika Parlimen menyatakan sebaliknya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan