Beberapa Barang Kes Ditemui Dalam Kereta Sosilawati

Diterbitkan: Selasa, 12 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa beberapa barang kes termasuk pencungkil gigi ditemui di dalam kereta mewah BMW X5 milik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang ditinggalkan di tempat letak kereta Flat Angsana, Pangsapuri USJ, Subang Jaya.

Cif Inspektor Mazli Jusoh @ Che Kob yang bertugas sebagai pegawai penyiasat tempat kejadian dari Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berkata, beliau bersama pasukannya pergi ke lokasi itu pada pukul 10.30 malam, 6 September 2010, selepas menerima arahan daripada pegawai penyiasat Asisten Suprintendan Ishak Yaakob.

"Saya buat pemeriksaan terhadap kenderaan bernombor pendaftaran WTL 11 yang telah dikelilingi dengan garisan kuning polis dan mendapati ia tidak berkunci serta berada dalam keadaan basah dan kotor," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Saksi ke-25 pendakwaan itu memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas peguam, N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, R. Matan dan R. Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mazli berkata semasa pemeriksaan itu beliau menjumpai serangkai kunci pelbagai jenis dan saiz, serangkai kunci yang terdapat huruf 'P' dan dua pencungkil gigi di tempat letak air di bahagian penumpang.

Selain itu, katanya siasatan menemui dua kesan cap jari pada pemegang dalam pintu pemandu dan pada kotak di bahagian tempat letak minuman di antara penumpang hadapan dan pemandu.

Mazli berkata beliau menggunakan proses "dusting" iaitu meletakkan sejenis serbuk ke atas permukaan untuk menimbulkan jalur cap jari sebelum menggunakan "sticker" dan putik kapas bagi mendapatkan keputusan lebih jelas.

Bagaimanapun ketika ditanya Saiful Edris apakah keputusan cap jari itu, beliau memberitahu ia adalah negatif.

Saksi pendakwaan itu juga menemui sehelai rambut di bahagian tempat duduk selain membuat "swabbing" pada stering dan pemegang tangan kereta serta sampul surat yang berada di tempat duduk belakang.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung esok. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan