Pembunuhan Banting Curi Perhatian Semula

Diterbitkan: Isnin, 11 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KISAH pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang dilaporkan hilang bersamanya menggemparkan negara hampir setahun lalu dan kini, ia sekali lagi menjadi perhatian setelah empat lelaki, termasuk seorang peguam dibicarakan atas dakwaaan melakukan jenayah kejam tersebut.

Peguam terbabit, N. Pathmanabahan, 42, didakwa bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyangan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 8.30 dan 9.40 malam, 30 Ogos 2010 di ladang milik Pathmanabahan yang terletak di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Berdasarkan ucapan pembukaan yang dibacakan pada hari pertama perbicaraan, iaitu Isnin lalu, pihak pendakwaan akan memanggil dua pekerja ladang yang telah mengaku bersalah atas tuduhan melupuskan bahan bukti jenayah tersebut, iaitu U. Suresh dan T.Sarawanan untuk memberi keterangan bagaimana tertuduh yang paling muda, Thilaiyangan membunuh setiap mangsa.

Suresh dan Sarawanan (masing-masing sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan itu) juga akan memberi keterangan bagaimana Pathmanabhan, seorang peguam yang boleh dikatakan agak disegani di Banting membuat perancangan bersama dengan Kathavarayan untuk membunuh semua mangsa - yang dilaporkan berjumpa dengan tertuduh bagi mempercepatkan tarikh cek berhubung penjualan tanah di Pulau Pinang.

Selain itu, bukti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) juga akan dikemukakan, yang mana dikatakan terdapat DNA Noorhisham pada sebatang kayu kriket manakala DNA Abdul Kamil dan Noorhisham ditemui pada zink yang didakwa dijadikan alas bagi membakar mayat mangsa sebelum abu mereka dibuang ke dalam Sungai Panchau, Banting.

Bagaimanapun, keterangan yang paling dinanti-nantikan sudah pastilah keterangan daripada ahli keluarga mangsa, termasuklah anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari yang menjadi perhatian setelah beliau menggalas tanggungjawab sebagai penganti ibunya kepada lima adik-beradiknya.

Tidak ketinggalan adalah keterangan isteri Noorhisham, Suzana Radin Pangat yang terpaksa menenangkan diri beberapa kali sepanjang perbicaraan - termasuklah semasa beliau mengangkat sumpah untuk bercakap benar dan semasa membelek jam tangan arwah suaminya - dan juga keterangan Sabrina Adnan yang begitu sugul dengan pemergian suaminya, Ahmad Kamil.

Satu persamaan dalam keterangan Suzana dan Sabrina ialah kedua-dua mereka menerima panggilan telefon terakhir suami masing-masing selepas berbuka puasa dan Noorhisham dan Ahmad Kamil menyatakan, mereka tidak akan pulang ke rumah dalam masa tiga hari kerana mahu menyelamatkan Kak Wati - panggilan Sosilawati - yang dikatakan telah menerima ugutan daripada Kamaruddin atau dikenali sebagai Kamal.

Pada awalnya, Kamal dikatakan mengugut dengan cara mahu menyebarkan gambar Sosilawati dalam keadaan 'tidak senonoh' sehinggalah keterangan oleh sahabat baik Sosilawati, Habishah Bahari memberitahu, Sosilawati menghubunginya juga pada hari yang sama memaklumkan Kamal ada mengambil gambar bogelnya dan meminta saksi untuk memeriksa jika terdapat kamera di dalam bilik air.

Adakah gambar tersebut benar-benar wujud masih menjadi persoalan, sementelah pula Kamal yang menjadi 'suspek utama' berdasarkan perbualan yang diterima saksi tidak dapat membela diri atas 'tuduhan' tersebut.

Bagaimanapun, Erni Dekritawati Yuliana yang lebih mesra disapa sebagi Rita dan Habishah masing-masing mengakui bahawa mereka tidak boleh menerima bahawa Kamal boleh bertindak sedemikian kerana begitu mengenali peribadi Kamal yang mula berkerja - bukan sekadar pemandu tetapi juga merangkap pembantu peribadi Sosilawati - sejak tiga tahun lalu.

Kedua-duanya serta seorang lagi anak Sosilawati, Erni Erinawati Sofia mengatakan Kamal yang berstatus duda itu sebagai baik orangnya, kelakar dan tidak pernah bermusuhan dengan Sosilawati. Sosilawati yang merupakan pengasas produk kosmetik, Nouvelle Vissages, Noorhisham dan Ahmad Kamil seterusnya dikatakan tidak dapat dihubungi selepas berbuka puasa dan semua panggilan yang dibuat akan terus masuk ke peti suara.

Penulis tidak dapat membayangkan perasaan keluarga mangsa, yang sudah pasti runsing untuk mencari ahli keluarga yang sayangi, sedangkan semasa itu semua umat Islam lain sedang bergembira melakukan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri memandangkan kejadian tersebut berlaku sekitar 10 Ramadhan terakhir.

Berdasarkan keterangan oleh Rita dan seorang lagi kawan baik Sosilawati, Junaidah Ismail mengatakan Sosilawati ada memberitahu bahawa beliau akan ke Banting untuk bertemu seorang peguam bernama 'Pathma' bagi urusan untuk mempercepatkan tarikh cek.

Junaidah memberitahu, Sosilawati ada menunjukkan sekeping cek tunda bernilai RM1 juta yang diterimanya daripada 'Pathma' dan semasa itu dia menyedari bahawa cek tersebut bertarikh September sedangkan pada masa itu, ia masih lagi bulan Ogos dan tulisan pada cek berkenaan juga disifatkannya seperti 'tulisan budak-budak tadika'.

Bagaimanapun, Sosilawati dikatakan tidak mengesyaki sesuatu yang buruk dengan cek terbabit, apabila bercakap tarikh pada cek tersebut telah dibincangkan dan apabila Junaidah mempersoalkan tulisan pada cek, beliau hanya membalas 'Alah, Kak Jun (panggilan Junaidah) ni...'

Rita, Junaidah dan Habishah juga berkongsi cerita yang sama - mereka diajak oleh Sosilawati untuk menemankannya ke Banting pada hari kejadian. Mungkin kerana belum ajal, masing-masing mempunyai alasan untuk tidak menuruti pelawaan tersebut.

Anak sulung yang kini mengambil alih perniagaan ibunya terselamat daripada mengikuti Sosilawati kerana Kamal yang pada mulanya lewat ke tempat kerja tiba di pejabat pada pukul 4 petang, manakala Junaidah tidak sihat dan mahu berehat di rumah sementara Habishah yang sibuk di kedai jahitnya hanya menghubungi Sosilawati pada pukul 5 petang, iaitu sejam selepas beliau bertolak ke Banting.

Perbicaraan yang dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Akhtar Tahir juga menyaksikan status perkahwinan Sosilawati ditimbulkan. Bukan satu rahsia bahawa dua perkahwinan Sosilawati sebelum ini berakhir dengan perceraian.

Berdasarkan keterangan Rita, perceraian ibu dan bapanya, Buhari Mohamed berlaku kira-kira 12 tahun lalu manakala Junaidah mengesahkan bahawa ahli perniagaan wanita yang berasal dari Johor itu telah berpisah dengan suami keduanya, iaitu vokalis Kumpulan Lefthanden, Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias.

Sekali lagi nama Kamal terpalit dengan perpisahan itu apabila barisan pembelaan cuba mengaitkan bahawa keruntuhan rumah tangga kedua Sosilawati dengan Nash adalah disebabkan oleh hubungan beliau dengan Kamal - yang dikatakan melebihi daripada hubungan sebagai seorang pekerja dengan majikan.

Junaidah bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan mengatakan bahawa sepanjang pengetahuannya, pasangan tersebut yang bercerai pada 26 Mei 2009 sering tidak bersefahaman dan selalu bergaduh.

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan