Koroner Lawat Lokasi Kematian Ahmad Sarbani

Diterbitkan: Selasa, 5 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Koroner Aizatul Akmal Maharani yang mendengar inkues kematian Ahmad Sarbani Mohamed melawat lokasi kejadian di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan di jalan Cochrane di sini di mana mayat Penolong Pengarah Kastam Selangor itu ditemui.

Aizatul Akmal tiba di lokasi pada 10 pagi diiringi Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abas dan Hanim Mohd Rashid serta peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili SPRM.

Turut hadir isteri Ahmad Sarbani, Masiah Manap dan beberapa anggota keluarganya serta peguam mereka Awtar Singh.

Dalam lawatan selama satu setengah jam itu, Koroner Aizatul Akmal bersama pihak yang terlibat dibawa ke tingkat tiga di bangunan itu, di mana terletak bilik pantri, sebelum dibawa ke gelanggang badminton di tingkat satu di mana mayat Ahmad Sarbani ditemui.

DSP Sharul Othman dari Makmal Forensik Bukit Aman telah memberi penerangan. Media tidak dibenarkan menyertai sesi lawatan itu dan hanya menunggu di lobi. Muhammed Shafee ketika ditemui pemberita berkata bahawa ketika melawat bilik pantri, Sharul dan Awtar menunjukkan demonstrasi bagaimana seseorang itu cuba melangkah keluar dari tingkap di bilik berkenaan. "Adalah susah untuk seseorang itu melangkah keluar daripada tingkap namun tidak mustahil ia boleh dilakukan," katanya.

Muhammad Shafee menjelaskan setelah tingkap di pantri itu dibuka, mereka bersetuju bahawa bumbung yang terletak berhampiran dengan tingkap berkenaan nampak agak dekat.

"Ia kelihatan kita boleh melompat ke bumbung berdekatan tetapi ianya hanyalah satu gambaran kerana jarak antara tingkap dan bumbung itu sangat jauh, yang berukuran kira-kira 10 kaki," jelasnya.

Semalam, Sharul, yang merupakan saksi kedua dalam inkues untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbani memberitahu prosiding beliau berpendapat Ahmad Sarbani terjatuh dari tingkap di bilik pantri itu ketika cuba keluar dari pejabat berkenaan melalui tingkap itu.

Ketika ditanya pemberita mengenai kamera litar tertutup yang terdapat di bangunan SPRM itu, Shafee berkata memang terdapat CCTV di beberapa kawasan dalam bangunan itu, namun beliau tidak mahu mengulas lanjut kerana belum mendapat kepastian sama ada CCTV itu berfungsi atau tidak semasa kejadian berlaku.

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton itu pada 6 April lepas.

Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai kastam.

Prosiding inkues disambung 9 pagi esok. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan