Pembunuhan Banting: Sosilawati Diugut?

Diterbitkan: Isnin, 4 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dipercayai mati akibat dibunuh sebelum mayatnya dibakar didakwa menerima ugutan daripada pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin atau dikenali sebagai 'Kamal' yang mengugut mahu menyebarkan 'gambar tidak elok' berkaitan dirinya.

Perkara tersebut terkandung dalam ucapan pembukaan barisan pendakwaan yang dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff di Mahkamah Tinggi di sini pada hari pertama perbicaraan kes pembunuhan yang telah menggemparkan negara sewaktu umat Islam sedang membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

Anak kepada pengasas produk kecantikan Nouvelle Vissages itu, Erni Erinawati Sofia Buhari yang membuat laporan polis berhubung kehilangan emaknya pada 31 Ogos 2010 juga didakwa sekali lagi berkunjung ke Balai Polis Dang Wangi pada pukul 1.32 petang, 2 September 2010 untuk membuat laporan setelah mengesyaki ahli perniagaan itu diugut, diculik dan dikurung oleh orang yang berkaitan.

Erni Erinawati Sofia dan kakak sulungnya, Erni Dekritawati Yuliana juga merupakan individu terakhir yang melihat Sosilawati sebelum beliau bertolak ke Banting, dekat sini untuk berjumpa dengan seorang peguam, N. Pathamanabhan untuk mempercepatkan tarikh dua keping cek daripada 9 September 2010 kepada 30 Ogos 2010 bagi urusan jual beli tanah di Batu Feringgi, Pulau Pinang.

Ishak juga memberitahu, Erni Dekritawati Yuliana akan memberi keterangan berhubung tujuan emaknya ke Banting, bersama dengan Kamaruddin, 44, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38.

Sosilawati dan Kamaruddin menaiki kereta BMW X5 bernombor pendaftaran WTL 11 manakala Ahmad Kamil dan Noorhisham mengikuti dari belakang dengan menaiki kereta BMW 5 series bernombor pendaftaran AAJ 5.

Sosilawati juga dikatakan ada menghubungi anaknya pada pukul 8.40 malam, hari yang sama tetapi tidak dijawab kerana Erni Dekritawati Yuliana tidak perasan panggilan tersebut sebelum menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbunyi "Jangan bagi Kamal masuk rumah jika datang hubungi Bisah (rakan Sosilawati) dia ambil gambar mak."

Selain itu, pihak pendakwaan juga akan memanggil rakan Sosilawati, Habishah Bahari bagi mengesahkan bahawa Sosilawati ada menghubunginya semasa dia sedang berbuka puasa pada pukul 7.30 malam, 30 Ogos 2010.

"Sosilawati mengubungi beliau dan memberitahu 'Wei! Aku tak percaya kat Kamal masuk dalam bilik aku, pergi kat bilik air, kau check (periksa) ada kamera tersorok tak?' sebelum talian terputus," kata Ishak semasa membacakan ucapan pembukaan setebal 20 halaman tersebut.

Selain itu, pihak pendakwaan juga akan memanggil isteri Noorhisham, Suzana Radin Pangit untuk memberi keterangan bahawa mangsa telah menghubunginya pada pukul 4 petang, 30 Ogos 2010 untuk memaklumkan bahawa dia akan ke Banting bersama Ahmad Kamil atas urusan kerja berkaitan Sosilawati.

"Pada pukul 8.15 malam, Suzana yang berada di rumah sekali lagi menerima panggilan telefon dan diberitahu suaminya tidak akan balik selama tiga hari kerana hendak menolong Sosilawati kerana Kamal ada mengambil gambarnya dan dikatakan Kamal ada mengugut Sosilawati.

"Dia minta maaf banyak-banyak dan minta Suzana faham," kata Ishak.

Sementara itu, isteri kepada Ahmad Kamil, Sabrina Adnan dimaklumkan akan memberi keterangan bahawa suaminya ada memberitahu bahawa beliau juga tidak akan pulang selama tiga hari dan diberitahu 'seorang orang kanan Sosilwati bernama Kamal mengugut hendak menyebarkan gambar Sosilawati, iaitu gambar tidak elok'.

"Suaminya juga memberitahu Sosilawati sedang menangis dan dia hendak menolong," tambah Ishak yang mengendalikan pendakwaan bersama Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainudin dan Idham Abd Ghani.

Selain itu, pihak pendakwaan juga akan memanggil seorang jurujual untuk mengesahkan bahawa seorang lelaki Melayu yang dipanggil oleh Kamal oleh Sosilawati telah berkunjung ke gerainya untuk membeli kerepek dan kuih raya yang bernilai lebih RM200.

Dalam kes ini, Pathmanabhan, 42, dan tiga perkerja ladangnya, T. Thailayangan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin antara pada pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, perbicaraan pada Isnin, juga menyaksikan empat jurufoto polis daripada Unit Forensik, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan dari Bahagian Bantuan Teknik, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman memberikan keterangan.

Secara keseluruhan, terhadap 618 keping gambar dirakamnkan oleh empat jurufoto terbabit, iaitu Detektif Koperal Mokhtar Hussain, 51: Lans Koperal, Abdul Aziz Ahmad, 47; Detektif Sarjan Mhd Rashdi Mhd Safien, 48, dan Detektif Koperal K. Velamal, 33.

Secara keseluruhan, terdapat 618 keping gambar yang dirakamkan termasuk di sekitar kawasan ladang, Sungai Panchau dan Sungai Kanchong Darat serta kawasan berhampiran Pekan Banting.

Sementara itu, kehadiran Erni Deriktawati Yuliana dan ayahnya, Buhari Mohamed di mahkamah menjadi perhatian wartawan dan nama kedua-dua mereka juga disenaraikan sebagai saksi pendakwaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung Selasa.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan