Saksi Saksi, Bicara Koperal Jenain Tangguh

Diterbitkan: Jumaat, 1 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat menangguhkan perbicaraan terhadap anggota polis, Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian pelajar, AminulRasyid Amzah selepas saksi yang sepatutnya memberi keterangan hari ini sakit.

Peguam Salim Bashir yang mewakili Jenain, memberitahu saksi mereka, Amidon Anan, 60, yang merupakan bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian (CSI), Jabatan Forensik Polis, mengalami masalah kesihatan semasa sedang bersiap untuk ke mahkamah.

"Saksi dan isterinya telah ke Institut Jantung Negara (IJN) dan beliau berjanji akan mengemukakan sijil cuti sakit," kata Salim.

Beliau menambah, pihaknya akan menyoal dua lagi saksi, iaitu bekas Ketua Polis Daerah Shah Alam, Senior Asisten Komisioner (SAC) Noor Azam Jamaludin dan Datuk Razali Basri dari Bukit Aman pada perbicaraan akan datang.

Hakim Latifah Mohd Tahar menetapkan perbicaraan bersambung pada 15 Julai depan.

Pada prosding itu, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Idham Abd Ghani, Adilla Ahmad dan Siti Rohaida Che Man.

Jenain, 48, sedang membela diri atas pertuduhan menyebabkan kematian AminulRasyid, 15, pada antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, di sini.

Kejadian itu didakwa berlaku semasa Jenain yang bertugas di Unit Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam melepaskan 21 das tembakan terhadap kereta Proton Iswara BET 5023 yang dipandu oleh mangsa tanpa pengetahun keluarganya.

AminulRasyid meninggal dunia akibat luka tembakan di kepala selepas satu das peluru menembusi cermin belakang kereta.

Jenain didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan