Datuk Mengaku Tidak Bersalah Ambil Deposit Haram

Diterbitkan: Jumaat, 1 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pemilik Golden Nest Properties International (M) Bhd, Datuk Wong Sen Chiew mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas tuduhan mengambil deposit daripada orang awam untuk menyertai pelaburan haram yang menjanjikan pulangan tetap, tiga tahun lalu.

Wong, 55, didakwa melakukan kesalahan itu antara 28 November 2008 dan 1 Oktober 2009 dan perbuatannya telah menyebabkan orang awam membayar wang ke dalam akaun syarikat yang terletak di Unit A-19-1, Jaya One, Jalan Universiti, Petaling Jaya, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 366 (3) Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM30,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, Wong juga didakwa atas 28 pertuduhan menggubah wang haram yang berjumlah RM975,580.61 yang didakwa digunakannya untuk membeli saham dan membayar komisen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh antara 2 Disember 2008 dan 1 oktober 2009 di beberapa buah bank termasuk AmBank, Public Bank dan Bank CIMB di sekitar Lembah Klang.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang memakai baju kemeja putih dan berseluar hitam itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan bagi kesalahan di bawah Akta Syarikat dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Steve Chin dan Liyana Amira Kamaludin manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Haziq Razali mengendalikan pendakwaaan bagi kesalahan penggubahan wang haram.

Mohd Haziq menawarkan jaminan sebanyak RM200,000 bagi semua pertuduhan, bagaimanapun peguam S. Prakash yang mewakili tertuduh merayu agar jumlah itu dikurangkan kerana ia terlalu tinggi untuk dijelaskan oleh tertuduh.

Tertuduh juga dari kandang tertuduh merayu agar Hakim Aslam Zainuddin dapat mengurangkan jaminan kepada RM50,000.

"Saya benar-benar harap mahkamah benarkan RM50,000. Mungkin paling tinggi adalah RM100,000. Itu sahaja yang mampu saya dapatkan. Saya telah berusaha keras untuk kumpul wang," katanya.

Selepas mempertimbangkan rayuan tertuduh, Aslam membenarkan dia dibebaskan dengan jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 4 Ogos depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan