Tuntutan RM400 juta Bekas Isteri Anak Ketua Menteri Sarawak Disebut 9 Ogos

Diterbitkan: Isnin, 27 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Isnin, menetapkan 9 Ogos depan sebagai sebutan semula permohonan tuntutan mutaah dan harta sepencarian bernilai RM400 juta yang difailkan oleh bekas isteri kepada anak Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib Abdul Taib.

Tuntutan itu difailkan oleh Datin Seri Shahnaz A. Majid, yang sah bercerai dengan talak satu daripada Mahmud Abu Bekir Taib pada 12 Mei lalu.

Ketua Hakim Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Abdullah menetapkan tarikh itu pada Isnin, selepas timbul isu penyerahan dan penerimaan dokumen oleh peguam-peguam syarie yang mewakili Shahnaz selaku plaintif dengan Mahmud Abu Bekir Taib yang dinamakan sebagai defendan.

Pertikaian itu bermula apabila peguam syarie Dr Mohd Rafie Mohd Shafie membangkitkan notis permohonan interlokutari (permohonan dalam permohonan)bertarikh 23 Jun lalu oleh pihak Mahmud Abu Bekir Taib sebagai percubaan untuk memancing keterangan daripada pihaknya.

Mohd Rafie seterusnya merujuk kepada perintah mahkamah yang diterimanya secara ex-parte (sebelah pihak) pada 9 Mei lalu yang mengarahkan Mahmud Abu Bekir Taib untuk menzahirkan semua dokumen berhubung harta yang dimilikinya sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Perintah itu juga meliputi nombor akaun, penyata akaun kewangan bulanan atau tahunan, penyata akaun simpanan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), dan penyata cukai tahunan.

Bagaimanapun, peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar memberitahu bahawa, pihaknya tidak mempunyai pengetahuan mengenai perintah tersebut dan kali pertama mendengar mengenainya pada prosiding hari ini.

Zainul Rijal: Anak guam saya tidak pernah menerima sebarang perintah seperti yang dinyatakan oleh rakan peguam saya.

Mohd Rafie: Perintah telah disampaikan kepada orang gaji defendan pada 22 Jun lalu kerana seperti dalam kes-kes sebelum ini, defendan enggan menerima dan hanya arahkan orang gajinya untuk terima.

Zainul Rijal: Menurut anak guam saya, beliau ada di rumah pada tarikh tersebut dan tiada sesiapa pun yang memanggil beliau untuk terima serahan seperti yang didakwa.

Zainul Rijal seterusnya menyifatkan serahan itu tidak sempurna kerana dibuat menerusi pihak ketiga, apatah lagi dalam kes ini melibatkan seorang pembantu rumah.

Beliau juga menolak dakwaan Mohd Rafie bahawa permohonan interlokutari dibuat kerana mahu memancing keterangan, sebaliknya berkata, ia bagi memohon agar Shahnaz memperincikan butiran tuntutan untuk beliau menyediakan pembelaan anak guamnya.

"Jika dilihat pada permohonan tuntutan, dikatakan tanah beribu-ribu ekar di Sarawak, rumah di merata-rata tempat. Bagaimana kami mahu sediakan pembelaan?," ujar Zainul Rijal.

Setelah mendengar penjelasan peguam-peguam itu, Ketua Hakim Syarie memerintahkan supaya kedua-dua pihak menyerahkan semua dokumen yang berkaitan kes kepada satu sama lain pada petang ini.

Mahmud Abu Bekir Taib, 48, dan Shahnaz berkahwin pada 9 Januari 1992 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya yang berusia 17 tahun enam bulan.

Shahnaz, 48, yang juga kakak kepada ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid pada awalnya memfailkan permohonan untuk berpisah secara fasakh tetapi menarik semula permohonannya apabila Mahmud Abu Bekir Taib bersetuju untuk melafazkan cerai secara baik.

Lafaz cerai dilafazkan di mahkamah pada 12 Mei lalu, dan pasangan itu tidak dapat mencapai persetujuan dalam permohonan tuntutan mutaah dan harta sepencarian yang timbul ekoran perceraian itu.

Shahnaz menuntut RM100 juta sebagai mutaah yang dipercayai suatu jumlah yang munasabah dengan tempoh perkahwinan mereka selama 19 tahun, selain ia berpadanan dengan pendapatan bekas suaminya.

Jumlah itu juga didakwa sebagai keadilan untuk beliau memulakan hidup baru sesuai dengan taraf dan status yang pernah dilaluinya.

Shahnaz juga menuntut agar RM300 juta diisytiharkan sebagai harta sepencarian yang meliputi harta-harta termasuk rumah di mereta-rata tempat, tanah beratus-ratus hektar di Sarawak dan tanah di Bukit Tunku, di sini.

Selain itu, mereka juga didakwa mempunyai kereta Mercedez Benz, Lamborghini Murcielago, Ferrari Spider, Bentley New Continental GT, Maserati Quartoporte, AUDI, dan Van Alphard serta simpanan-simpanan bank.

Harta tersebut juga melibatkan syarikat-syarikat dan saham-saham seperti Titanium Management Sdn Bhd, Sarawak Cable Berhad, Cahaya Mata Sarawak Berhad, Premium Haven, Log Dak Promotions, Dataran Aras, Celebrity Design dan Bella Magic.

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan