Baguslah Semuanya Selesai

Diterbitkan: Sabtu, 25 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

RASANYA tidak ada yang lebih besar atau hebat pada sepanjang minggu lalu melainkan kes pendakwaan terhadap Trio Datuk T yang secara tiba-tiba menggemparkan negara apabila mendedahkan video seks hitam putih dan bisu yang dikatakan pelakunya mirip dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Trio tersebut - terdiri daripada Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa, Datuk Shuib Lazim - menghadapi tindakan undang-undang pada Jumaat lalu.

Seperti dijangkakan, kes yang melibatkan 'orang-orang penting atau ahli politik' akan membawa satu fenomena iaitu kebanjiran luar biasa penyokong-penyokong menyebabkan pihak media perlu hadir awal untuk sama-sama merebut tempat duduk yang terhad di galeri awam mahkamah.

Apapun, tahniah diucapkan kepada Trio Datuk T itu kerana mereka berpegang kepada kata-kata bahawa mereka bersedia untuk menghadapi tindakan undang-undang yang akan dikenakan terhadap mereka.

Bukankah manusia dipegang pada janjinya? Pengakuan bersalah itu juga sekali gus bermakna tiada lagi perbicaraan yang panjang untuk dilalui bukan sahaja untuk tertuduh, tetapi juga kepada pihak media.

Dari awal lagi, Shazryl Eskay melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) telah menghebahkan mengenai pendakwaan terhadap dirinya dan dua lagi sahabatnnya kepada pihak media dan sekali gus menutup keraguan penulis, kerana sebelum ini cerita mengenai pendakwaan itu telah didengar pada Mei lalu dan ternyata ia tidak benar sehinggalah Jumaat lalu.

Dalam prosiding itu, Shazryl Eskay dan Shuib mengaku bersalah atas tuduhan menayangkan secara terbuka bahan lucah iaitu video seks antara seorang lelaki dan wanita yang dirakamkan di bilik sebuah apartmen di Ampang, Kuala Lumpur pada 21 Februari lalu manakala Abdul Rahim mengaku atas pertuduhan bersubahat melakukan kesalahan tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada antara pukul 10 pagi dan 12 tengah hari, 21 Mac lalu di bilik Seri Makmur, Hotel Carcosa Seri Negara, Taman Tasik Perdana, Persiaran Mahameru, Kuala Lumpur.

Ketika sedang sibuk mencatat apa yang berlaku pada prosiding, penulis menerima SMS daripada seorang rakan yang berseloroh kerana penulis dapat menonton video tersebut, sedangkan dia hanya berkesempatan menonton video itu hanya untuk beberapa minit awal di laman sosial, You Tube.

Seorang lagi rakan menghantar SMS mengatakan penulis antara yang bertuah kerana dapat menonton video tersebut - yang dimainkan sebagai bahan bukti untuk tujuan pengesahkan oleh tertuduh - dalam keadaan yang tidak menyalahi undang-undang.

Apapun, penulis berasakan tidak ada apa yang menarik pada video yang mempunyai tempoh durasi selama 20 minit itu kerana penulis bukan peminat drama bisu memandangkan sejak kecil, televisyen di rumah penulis boleh dikuatkan suaranya hingga dapat didengar ke seberang jalan dan nasib baik Majistret Aizatul Akmal Maharani mengarahkan agar video itu dilajukan ke hadapan apabila memasuki adengan seks.

Dan di akhir prosiding itu, sebelum mahkamah berhenti untuk solat Jumaat, Shazryl Eskay dikenakan denda RM3,000 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda, Shuib didenda RM1,500 atau dua bulan penjara manakala Abdul Rahim diarahkan membayar denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal berbuat demikian.

Tanpa disedari, penyokong-penyokong yang hadir di makamah telah menjalankan kutipan derma untuk membantu membayar denda yang dikenakan terhadap 'pahlawan' mereka dan penulis diberitahu jumlah yang terkumpul menghampiri RM23,000 - jumlah yang terlalu banyak jika dibandingkan dengan denda yang dikenakan.

Rabu lalu juga menyaksikan pihak pendakwaan menutup kes mereka terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan salah guna kuasa dalam pembelian rumah dan dua lot tanah di Seksyen 7 di sini.

Perbicaraan itu yang melibatkan keterangan 25 orang saksi berjaya disudahkan dalam masa sembilan hari.

Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas pertuduhan mendapatkan bagi dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Syarikat Ditamas Sdn Bhd, menerusi pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah itu terletak di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, di sini pada harga yang murah iaitu RM3.5 juta sedangkan Ditamas - yang ditubuhkan bagi membeli hartanag tersebut - membayar RM6.5 juta pada 23 Disember 2004.

Mohamad Khir didakwa melakukan kesalahan itu dalam keadaan beliau mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai seorang Menteri Besar (MB) pada waktu itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 29 Mei 2007 di kediaman rasmi MB, Jalan Permata, Seksyen 7.

Jika disabitkan bersalah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Mohamad Khir yang merupakan bekas Menteri Besar termuda Selangor boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki amat tegas pada perbicaraan itu, seperti keputusannya menetapkan hanya seorang Timbalan Pendakwa Raya dan seorang peguam sahaja yang boleh menyoal saksi kerana jika tidak, ia akan banyak memakan masa memandangkan barisan pendakwaan diwakili oleh lima Timbalan Pendakwa Raya dan peguam yang mewakili Mohamad Khir juga bukanlah seorang dua.

Juga tiada permohonan-permohonan luar biasa yang dibuat oleh barisan pendakwaan atau barisan pembelaan yang sudah pasti dapat melengah-lengahkan perbicaraan menyebabkan perbicaraan yang bermula pada 8 Jun lalu dapat dijalankan dengan lancar.

Tahniah juga diucapkan kepada Mohtarudin kerana memartabatkan Bahasa Malaysia di dalam mahkamahnya dengan meminta saksi untuk bercakap dengan menggunakan bahasa kebangsaan dan jika sukar mencari perkataan, barulah dibenarkan untuk diselang-selikan dengan Bahasa Inggeris.

"Bukan kerana kita tidak faham Bahasa Inggeris, tetapi mahkamah di Malaysia, guna Bahasa Malaysia," katanya yang tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada saksi atas keberanian mereka untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan, selain memuji seorang saksi bukan Melayu yang sangat fasih Bahasa Malaysianya.

Kes tersebut akan bersambung semula pada 13 Julai ini untuk mahkamah mendengar hujahan-hujahan kedua-dua pihak di akhir peringkat pendakwaan sebelum mahkamah membuat keputusan sama ada Mohamad Khir akan dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan atau dipanggil untuk membela diri.

Dan pada 13 Julai itu, sudah pasti sekali lagi penulis dan rakan-rakan media yang lain akan berkampung seawal pagi untuk bersama-sama dengan penyokong Mohamad Khir merempuh pintu mahkamah sebaik sahaja kuncinya diselak bagi mendapatkan kerusi terbaik di dalam mahkamah.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan