Pendakwaan Kes Khir Toyo Selesai

Diterbitkan: Khamis, 23 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Selepas sembilan hari bersidang, pihak pendakwaan yang mengendalikan perbicaraan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo pada Rabu, selepas selesai mendengar keterangan pegawai penyiasat selaku saksi terakhir.

Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed yang mengetuai barisan pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pihaknya menawarkan 80 saksi daripada senarai pendakwaan sekiranya Mohamad Khir dipanggil untuk membela diri.

Secara keseluruhan, terdapat 105 nama yang disenaraikan dalam senarai saksi dan daripada jumlah itu, 25 dipanggil untuk memberi keterangan.

"Saya juga memberi aku janji akan sedaya upaya untuk mengemukakan saksi sekiranya diperlukan oleh pihak pembelaan. Kami juga memerlukan masa untuk menyediakan hujahan di akhir peringkat pendakwaan," kata Abdul Wahab.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki kemudiannya menyoal sekiraya hujahan boleh disediakan dalam masa 24 jam.

"Jika dilihat, barisan pendakwaan dan peguam terdiri daripada mereka yang berpengalaman," katanya.

Bagaimanapun, selepas mempertimbangkan permohonan Abdul Wahab dan peguam yang mengetuai pembelaan Mohamad Khir, M. Athimulan, Mohtarudin menetapkan 13 Julai ini untuk mendengar hujahan tersebut.

Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas pertuduhan mendapatkan bagi dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Syarikat Ditamas Sdn Bhd, menerusi pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah itu terletak di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, di sini pada harga yang murah iaitu RM3.5 juta sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta semasa membeli hartanah itu pada 23 Disember 2004.

Mohamad Khir didakwa melakukan kesalahan itu dalam keadaan beliau mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai seorang Menteri Besar (MB) pada waktu itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 29 Mei 2007 di kediaman rasmi MB, Jalan Permata, Seksyen 7.

Jika disabitkan bersalah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Mohamad Khir boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohamad Khir didakwa kali pertama di Mahkamah Sesyen di sini pada 6 Disember 2010.

Terdahulu, perbicaraan pada Rabu, menyaksikan pegawai penyiasat (IO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Chang Ching, 32, dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-25.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Chang memberitahu bahawa penubuhan Ditamas pada tahun 2004 adalah bagi tujuan pembelian hartanah tersebut.

"Kami juga telah mendapatkan perjanjian jual beli hartanah lot 8 dan 10 di antara Ditamas dengan Mohamad Khir dan isteri, Zahrah dengan harga RM3.5 juta," katanya.

Hartanah itu terlebih dahulu dibeli oleh Shamsuddin daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Kebangsaan Berhad, Shaiful Aznir Shahabudin, 51.

Pegawai yang bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, dekat sini, juga memberitahu, pelantikannya sebagai IO dibuat pada 24 Julai 2009 dan suspek yang dikenal pasti adalah Mohamad Khir.

"Pada permulaan siasatan, hanya ada seorang suspek. Selepas siasatan dilengkapkan, saya menghantar kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara dan jabatan itu memutuskan untuk mendakwa Mohamad Khir di bawah Seksyen 165 manakala Shamsuddin di bawah tuduhan bersubahat," tambahnya.

Shamsuddin yang merupakan seorang ahli perniagaan dan banyak menjalankan projek perumahan di Selangor dibebaskan daripada tuduhan pada 6 Jun lalu dan memberi keterangan selaku saksi pendakwaan kedua.

Chang pada keterangannya turut mengesahkan beberapa dokumen seperti cek-cek daripada Bank Maybank dan Bank HSBC, borang pindah milik hartanah, perjanjian jual beli dan gambar-gambar yang dirampasnya sepanjang menjalankan siasatan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Penolong Pesuruhjaya SPRM, Saiful Ezral Arifin, 34, memberitahu beliau membuat aduan berhubung kes itu pada 24 Julai 2009.

"Secara ringkas, aduan adalah berkaitan tohmahan terhadap bekas MB, iaitu Mohamad Khir yang telah beli sebuah rumah yang mana dipercayai harga belian rumah itu adalah lebih rendah daripada nilai pasaran," katanya.

Menjawab soalan Athimulan, Saiful Ezral mengakui bahawa Shamsuddin tidak membuat sebarang aduan kepada SPRM.

Sejak perbicaraan bermula pada 8 Jun lalu, galeri awam mahkamah dipenuhi oleh pihak media dan juga penyokong-penyokong Mohamad Khir, yang tidak ketinggalan untuk mengikuti perbicaraan.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini, berjalan selama 9 hari.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan