Khir Toyo Pinjam Bank RM3 Juta

Diterbitkan: Selasa, 21 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo membuat pinjaman bank sebanyak RM3 juta bagi membeli dua lot tanah dan sebuah rumah banglo di Seksyen 7, di sini, empat tahun lalu.

Perkara itu dinyatakan oleh Pegawai Bank HSBC, cawangan Petaling Jaya, dekat sini, Chuan Yew Tean, 35, yang bertanggungjawab menguruskan urusan pinjaman tersebut.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai hasrat Mohamad Khir untuk membuat pinjaman oleh seorang pegawai atasannya pada sekitar Mei 2007, iaitu semasa beliau menjawat jawatan sebagai Pengurus Pusat Premier di bank itu.

"Pegawai atasan saya memberitahu bahawa Mohamad Khir mahu mengambil pinjaman untuk membeli hartanah.

"Saya menghubungi Mohamad Khir dan beliau memberitahu mahu membeli hartanah yang berharga dalam lingkungan RM3 juta hingga RM3.5 juta," katanya.

Selain itu, Chuan juga memberitahu bahawa beliau dimaklumkan oleh pegawai atasannya mengenai kedudukan Mohamad Khir sebagai seorang Menteri Besar.

Saksi pendakwaan ke-14 setersnya berkata, beliau menghubungi Mohamad Khir memandangkan statusnya sebagai seorang pelanggan premier.

"Untuk menjadi premier, seseorang itu mesti mempunyai deposit tetap sebanyak RM200,000 di dalam akaun," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Pada keterangan lain, Chuan memberitahu bahawa beliau telah menghubungi seorang jurunilai daripada Rahim & Co, yang merupakan panel kepada Bank HSBC untuk membuat nilaian terhadap hartanah yang ingin dibeli oleh Mohamad Khir.

"Pihak bank hanya memberi pinjaman tidak melebihi 10 peratus daripada harga tawaran atau harga pasaran, yang mana lebih rendah," katanya.

Saksi menambah, jurunilai yang dilantik meletakkan harga hartanah tersebut pada jumlah RM3.5 juta dan pihak bank bersetuju untuk meluluskan pinjaman sebanyak RM3 juta.

"Mohamad Khir mesti bersetuju dengan jumlah yang diluluskan, jika tidak, pinjaman tidak akan diteruskan," katanya.

Pada keterangan lain, Chuan bersetuju dengan cadangan oleh Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin bahawa layanan yang diberikan kepada Mohamad Khir adalah dikategorikan sebagai 'biasa' kepada seorang pelanggan premier.

"Bukan semua orang boleh menjadi premier," Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki didengari berkata selepas saksi selesai menjawab soalan.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini yang masuk hari kelapan pada Selasa, juga mendengar keterangan daripada seorang perunding reka bentuk, Noorizwandy Rajab, 38, yang turut memainkan peranan dalam kerja-kerja pengubahsuaian banglo itu.

Saksi pendakwaan ke-19 berkata, dia dilantik oleh pereka laman, Nasir Ismail sebagai pengurus projek, pelukis pelan dan juga diminta untuk menguruskan pekerja-pekerja yang melakukan tugas tersebut.

"Projek itu adalah untuk kerja-kerja meroboh dan membina semula banglo dua tingkat di lot 8," katanya yang disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud.

Noorizwandy yang berkelulusan diploma jurusan seni bina daripada Institut Bina Usahawan memberitahu, dia dibayar gaji sebanyak RM5,000 sebulan semasa bekerja dari Mac 2006 hingga April 2007.

Mohamad Khir, 45, didakwa mendapatkan bagi dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di Lot 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, pada harga yang lebih rendah daripada syarikat Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Mohamad Khir didakwa membeli hartanah itu pada harga RM3.5 juta, sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta untuk hartanah tersebut pada 23 Disember 2004. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Jika disabitkan bersalah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Mohamad Khir boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Mohtarudin menggingatkan wartawan supaya lebih berhati-hati semasa menulis berita selepas dimaklumkan berlaku kesilapan dalam laporan yang dikeluarkan oleh sebuah portal berita.

Kesilapan itu dibawa ke pengetahuan beliau oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed sebaik sahaja prosiding bermula.

"Apa yang dilaporkan agak menyimpang jauh. Pihak Pendakwa Raya dan peguam bela yakin mahkamah memerlukan laporan yang adil, tepat dan munasabah," katanya.

Perbicaraan akan bersambung Rabu.

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan