Mahkamah Tetapkan 30 September Dengar Permohonan Khairy Batal Saman Anwar

Diterbitkan: Khamis, 16 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 30 September depan untuk mendengar permohonan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk membatalkan saman fitnah RM100 juta yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Anisah Normah Muhammad Nor akan mendengar permohonan itu.

Beliau menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas mengadakan perjumpaan dengan peguam Sarah Abishegam yang mewakili Khairy dan J. Leela yang mewakili Anwar.

Khairy memfailkan permohonan itu pada 21 Februari tahun ini, atas alasan saman itu remeh dan menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Anwar, 63, memfailkan saman terhadap Khairy pada 7 Mac, 2008, mendakwa Khairy, ketika itu naib ketua Pemuda UMNO, telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan telah menyebabkan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat' dimuat naik dalam beberapa laman web termasuk Malaysiakini.com.

Anwar mendakwa, klip video yang dimuat naik dalam Malaysiakini.com memaparkan Khairy mengeluarkan perkataan berunsur fitnah pada satu ceramah di Lembah Pantai di sini atau pada 20 Februari 2008.

Beliau berkata perkataan memfitnah itu antara lain membawa maksud beliau terlibat dalam aktiviti yang bercanggah dengan Islam, tidak berkelakuan baik dan tidak layak memegang jawatan politik atau jawatan lain.

Anwar memohon ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM100 juta dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Khairy, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 8 Oktober tahun lepas, berkata beliau bersandar pada pembelaan justifikasi dan perlindungan bersyarat.

Katanya sebagai naib ketua pergerakan Pemuda Umno pada masa itu, beliau mempunyai tanggungjawab undang-undang, moral dan sosial kepada orang awam dan masyarakat Melayu.

Orang awam secara amnya mempunyai suatu kepentingan sah yang bersamaan dalam menerima maklumat tentang hal-hal dalam perbincangan-perbincangan yang memberi kesan kepada kebajikan sosial, ekonomi dan politik.

Pada 4 Disember, 2008, Anwar memperoleh penghakiman ingkar daripada Mahkamah Tinggi terhadap Khairy apabila Ketua Pemuda Umno itu gagal hadir di mahkamah selepas writ saman diserahkan kepadanya.

Bagaimanapun, pada 24 September tahun lepas, Khairy menang dalam rayuannya untuk mengetepikan penghakiman ingkar itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan