Khir Toyo Desak Saya Jangan Kaitkan Namanya - Shamsuddin

Diterbitkan: Khamis, 16 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dr Mohamad Khir Toyo dikatakan mendesak Pengarah syarikat Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni supaya tidak memberikan kenyataan yang boleh melibatkan bekas Menteri Besar Selangor itu kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009.

Shamsuddin mendedahkan perkara itu di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, menambah desakan tersebut berlaku selepas beliau dipanggil oleh SPRM untuk dirakamkan percakapan.

"Saya ada menerima banyak desakan daripada Mohamad Khir untuk tidak melibatkan diri beliau dan kerap kali saya dijanjikan bahawa kes akan dikawal, iaitu tidak akan berlaku pendakwaan terhadap saya dan beliau.

"Saya yakin dan percaya bahawa saya datang ke SPRM sebagai saksi dan bila SPRM datang nak hantar surat, rupa-rupanya mereka datang bawa surat pendakwaan.

"Pada hari orang SPRM datang bawa surat untuk saya didakwa di mahkamah pun, Mohamad Khir masih cakap 'jangan bimbang, kita boleh selesaikan perkara ini'. Itu janji-janji beliau.

"Saya tidak faham mengapa saya didakwa. Saya tidak dapat terima kerana saya bukan mahu aibkan sesiapa," katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed.

Seterusnya saksi memberitahu telah berbincang dengan isterinya, Rahmah Kassim dan peguam-peguam untuk menceritakan perkara sebenar yang berlaku selepas mengetahui dirinya turut didakwa.

Pendedahan itu dibuat selepas Abdul Wahab meminta saksi untuk memberikan penjelasan mengenai tiga percanggahan di dakam keterangannya kepada SPRM pada tahun 2009 dengan keterangannya sehari selepas beliau dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dengan Mohamad Khir.

Shamsuddin dibebaskan pada 6 Jun lalu selepas pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan terhadapnya dan pada Rabu, beliau menegaskan bahawa percakapannya yang benar adalah pada 7 Jun lalu serta keterangannya di perbicaraan.

Sementara itu, menjawab soalan peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Mohamad Khir, saksi pendakwaan kedua itu tidak bersetuju dengan penggunaan perkataan memberi keterangan 'palsu' sebaliknya menegaskan keterangannya adalah 'berbeza'.

Kamarul Hisham: Kamu kata kononnya ada desakan dari Mohamad Khir. Setuju memberi keterangan palsu adalah salah di sisi undang-undang?

Shamsuddin: Keterangan itu (tahun 2009) adalah atas desakan Mohamad Khir.

Kamarul Hisham: Setuju saya katakan bahawa kamu ini apabila ada faedah pada kamu seperti dilepaskan daripada tuduhan, kamu sedia untuk menipu?

Shamsuddin: Tidak setuju.

Kamarul Hisham: SPRM tidak desak kamu beri keterangan, sebaliknya kamu beri keterangan secara sukarela?

Shamsuddin: Setuju.

Perbicaraan hari ke-enam juga menyaksikan Shamsuddin, 55, mengakui bahawa beliau tidak diberi kuasa untuk mewakili Ditamas dalam urusan pembelian dua lot tanah dan sebuah rumah banglo pada tahun 2004, yang kemudiannya dijual kepada Mohamad Khir, tiga tahun kemudian.

Ini kerana, syarikat tersebut tidak ada mengeluarkan resolusi untuk beliau berbuat demikian semasa menandatangi perjanjian jual beli (SNP) bernilai RM6.5 juta dengan pemilik asalnya, Saiful Aznir Shahabudin, 51, pada 23 Disember 2004.

Resolusi tersebut dikeluarkan pada 5 Januari 2005.

"Di atas kertas, saya tidak ada apa-apa kuasa untuk mewakili Ditamas. Tetapi saya ada berbincang dengan seorang lagi pengarah, iaitu isteri saya. Dia tahu tentang pembelian itu sebelum saya tandatangan SNP," katanya.

Mendengarkan jawapan saksi, Kamarul Hisham secara spontan berkata: "Perbincangan antara suami dan isteri." Shamsuddin juga mengakui bahawa hanya dua resolusi dikeluarkan bagi tujuan pembelian hartanah itu, sedangkan perjanjian SNP dibuat dalam tiga dokumen yang berbeza, iaitu penjualan lot tanah nombor 8 dan banglo (RM4.3 juta) tanah kosong di lot 10 (RM700,000) dan kelengkapan (RM1.5 juta). Resolusi yang dikeluarkan adalah untuk pembelian lot 8 dan lot 10.

Justeru itu, Kamarul Hisham mencadangkan kepada saksi bahawa harga sebenar pembelian rumah tersebut ialah RM5 juta, yang tidak dipersetujui oleh Shamsuddin.

"Saya tidak setuju kerana RM1.5 juta itu adalah sebahagian daripada RM6.5 juta yang saya bayar kepada Shaiful Aznir,"katanya.

Saksi yang mula menjalankan projek pembinaan di Selangor pada tahun 1995 juga memberitahu, beliau tidak berniat untuk menipu kerajaan apabila tiada dokumen yang dapat menunjukkan duti setem dibayar bagi pembelian RM1.5 juta tersebut.

Shamsuddin juga memberitahu, beliau tidak bersetuju dengan harga RM3.5 juta yang dicadangkan oleh Mohamad Khir semasa mahu membeli hartanah itu kerana merasakan ia 'terlalu rendah'.

Beliau menambah, harga yang dimintanya daripada Mohamad Khir adalah antara RM5 juta hingga RM5.5 juta, yang dirasakan berpatutan dengan mengambul kira kedudukan kawasan, struktur rumah, nilai estatikan dan juga kecantikan pemandangan di situ.

"Saya terpaksa setuju dengan harga yang dinyatakan oleh Mohamad Khir yang saya tidak setuju," katanya dan menambah tidak mengetahui bahawa hartanah tersebut telah dinilaikan pada harga RM3.5 juta oleh syarikat Rahim dan Co.

Kamarul Hisham terdahulu mengatakan Rahim dan Co membuat penilaian terhadap hartanah itu atas permintaan Bank HSBC bagi tujuan pinjaman kewangan oleh Mohamad Khir.

Mohamad Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 45, hartanah itu Ditamas pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas dengan harga RM6.5 juta.

Hartanah itu di Nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, di sini dan perbuatan itu dilakukan di kediaman rasmi MB Selangor pada 29 Mei 2007 dan jika sabit kesalahan, Mohamad Khir boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan