Mahkamah Putuskan 12 Julai Usaha Panggil Syed Hamid Albar Berhubung Rampasan CD

Diterbitkan: Rabu, 15 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan memutuskan pada 12 Julai sama ada untuk membenarkan permohonan seorang wanita Kristian bagi memanggil bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar berhubung rampasan cakera padat (CD) mengenai ajaran Kristian yang mengandungi kalimah "Allah".

Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan dari kedua-dua pihak di dalam kamar pada Rabu.

Pada Ogos tahun lepas, Jill Ireland Lawrence Bill memfailkan permohonan untuk memeriksa balas Syed Hamid mengenai afidavit bersumpah yang difailkan ketika beliau menjadi Menteri Luar bagi tujuan pendengaran permohonan semakan semula kehakiman.

Dalam permohonannya, Ireland, 27, juga mahu memeriksa balas pegawai kastam, Suzanah Muin, yang merampas CD berkenaan.

Beliau mahu memeriksa balas Syed Hamid atas alasan, antara lain, untuk mengetahui kewajaran tindakan bekas menteri itu menghalang pengimportan CD berkenaan, keputusannya bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan secara ekslusif dalam Islam.

Peguamnya Annou Xavier dan Lim Heng Seng memberitahu pemberita bahawa mereka telah membangkitan tiga soalan mengenai kenapa CD itu menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara, bagaimana ia menyalahi garis panduan Jabatan Kemajuan ISlam Malaysia (Jakim) dan bagaimana kalimah Allah boleh menyebabkan kekeliruan memandangkan ia telah digunakan secara meluas oleh bukan Islam di Sabah dan Sarawak sejak abad ke-17.

Xavier berkata hakim juga akan memutuskan pada hari itu mengenai permohonan Ireland berhubung penemuan dokumen berkaitan dengan rampasan CD itu.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Arik Sanusi Yeop Johari dan Azizan Md Arshad berkata mereka telah berhujah bahawa permohonan itu perlu ditolak kerana ia difailkan di luar tempoh iaitu lewat 15 bulan dan tiada penjelasan diberikan atas kelewatan itu.

Katanya dalam merampas CD berkenaan, kementerian telah membuat keputusan yang tepat pada ketika itu atas alasan keselamatan negara dan ketenteraman awam memandangkan berlaku kejadian pembakaran gereja selepas keputusan kes majalah mingguan Katolik, Herald, berhubung penggunaan kalimah Allah diberikan oleh Mahkamah Tinggi.

Ireland, seorang kerani, dalam permohonan semakan kehakiman mendapatkan tiga relif -- mengenepikan keputusan kementerian merampas CD terbabit; perintah mandamus untuk mengarahkan kementerian itu mengembalikan CD berkenaan; dan perisytiharan bahawa dia berhak memiliki, menggunakan dan mengimport penerbitan yang mengandungi kalimah Allah.

Pada 11 Mei, 2008, kementerian berkenaan merampas CD itu daripada Ireland mengikut Seksyen 9 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

CD berkenaan, antara lain, mengandungi bahan bertajuk " Cara Menggunakan Kunci Kerajaan Allah", "Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah" dan "Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah" yang dibawa dari Indonesia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan