Hartanah Khir Toyo Bernilai RM5.5 Juta

Diterbitkan: Selasa, 14 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Sebuah rumah banglo dan dua lot tanah di Seksyen 7, di sini yang didakwa dibeli oleh bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo pada harga RM3.5 juta dinilaikan berharga RM5.55 juta pada tahun 2007.

Nilai pasaran hartanah tersebut dimaklumkan oleh seorang penilai hartanah kanan di syarikat Perunding Aset Antarabangsa, Henry Butcher Malaysia, Long Tian Chek, 55, di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Katanya, nilai keseluruhan hartanah itu pada tarikh 14 Mei 2007 adalah RM5.55 juta, iaitu RM2,350,000 bagi nilai lot tanah manakala bangunan iaitu banglo yang terdapat di salah satu lot tanah tersebut bernilai RM3.2 juta.

"Nilai tersebut melibatkan rumah dua tingkat, kolam renang, garaj kereta dan gazebo serta lot tanah," katanya yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan kelapan.

Pada keterangan lain, Long yang mula melibatkan diri dalam bidang hartanah sejak 1981 memberitahu, penilaian terhadap hartanah itu dibuat selepas diminta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya diminta oleh SPRM pada 31 Julai 2009 dan permintaan melibatkan penilaian nilai hartanah pada tarikh 14 Mei 2007," tambahnya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, saksi memberitahu nilai RM5.55 juta itu diperoleh menerusi kaedah perbandingan, iaitu dengan mengambil contoh empat lot banglo di Seksyen 7, termasuk tiga yang dijual pada tahun sama.

Selain itu, saksi juga menggunakan beberapa dokumen yang dibekalkan oleh SPRM seperti, laporan penilaian dan gambar yang telah dilakukan oleh sebuah syarikat lain, Rahim dan Co dan maklumat perbandingan harga tanah pada tahun 2007 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

"Kami membuat pemeriksaan pada hartanah itu pada tahun 2009, tetapi mendapati hartanah itu sangat berbeza daripada tahun 2007. Oleh itu, kami membuat keputusan untuk mengguna pakai perincian pada tahun 2007 sebagai asas dalam penilaian yang dilakukan," katanya.

Tambah saksi lagi, pemeriksaan terhadap banglo itu hanya dilakukan daripada luar memadangkan beliau tidak dapat memasuki banglo tersebut semasa melawat tempat itu pada bulan Ogos 2009.

"Pada masa itu, saya tidak mengetahui siapakah pemilik berdaftar tanah tersebut," tambahnya.

Sementara itu, peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Mohamad Khir membantah penggunaan laporan oleh Rahim dan Co dalam menentukan nilai hartanah tersebut atas alasan keterangan itu adalah dengar cakap kerana laporan itu tidak pernah dikemukakan di mahkamah.

Mohd Dusuki kemudiannya membalas dengan mengatakan, pihaknya 'bukan tidak mahu mengemukakan laporan itu, tetapi masih belum berbuat demikian'.

Long memberi keterangan pada hari ke-empat terhadap Mohamad Khir, 45, yang didakwa mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada syarikat Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah tersebut yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan pada Selasa, sepatutnya diteruskan dengan keterangan Shamsuddin, namun saksi tidak dapat hadir kerana menziarahi jenazah abang iparnya yang meninggal dunia pada malam Isnin.

Keterangan Long juga akan disambung minggu hadapan ekoran saksi akan bertolak ke China pada malam ini dan akan pulang pada Sabtu ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung Rabu.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan