Khir Toyo Arah Catat Nilai Ubah Suai Banglo RM600,000 Sahaja - Saksi

Diterbitkan: Isnin, 13 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pereka lamab, Nasir Ismail memberitahu, bahwa dia hanya menuruti permintaan Dr Mohamad Khir Toyo untuk menyediakan surat yang menyatakan nilai pengubahsuaian rumah di Seksyen 7, di sini ialah RM600,000 walaupun mendakwa nilai keseluruhannya adalah melebihi RM6 juta.

Menurut Nasir, surat tersebut disediakan selepas Mohamad Khir memerlukan surat bagi tujuan formaliti kerana berhasrat untuk membeli rumah tersebut dan dua lot tanah itu daripada syarikat Ditamas Sdn. Bhd.

Kata saksi lagi, jumlah RM600,000 itu juga dicadangkan oleh Mohamad Khir.

"Waktu itu dia adalah MB (Menteri Besar) Selangor, apa dia suruh saya buat," katanya di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Semasa disoal balas oleh peguam M. Athimulan yang mewakili Mohamad Khir, saksi tidak bersetuju bahawa surat itu adalah satu perjanjian kerana menurut saksi, dia tidak boleh menandatangani sebarang perjanjian ekoran status dirinya yang bankrap.

Merujuk kepada surat tersebut, Nasir seterusnya berkata, dia menerima pembayaran sebanyak RM100,000 menerusi sekeping cek bertarikh 4 Jun 2007, namun tidak dapat mengingati jika dia ada menerima dua lagi keping cek bernilai RM100,000 (bertarikh 8 Ogos 2007) dan RM200,000 (10 September 2007).

Pada keterangan lain, Nasir, 55, menafikan dakwaan Athimulan yang mengatakan berlaku pergaduhan antara dia dengan Mohamad Khir yang didakwa berpunca apabila Mohamad Khir tidak menjelaskan bakinya sebanyak RM200,000.

Sebaliknya, saksi menjelaskan pergaduhan tersebut berlaku antara dia dengan isteri Mohamad Khir, Zahrah Kechik yang dikatakan tidak menggemari konsep Bali yang dibuatnya.

Nasir yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ketiga juga mempertahankan keterangannya bahawa nilai pengubahsuaian rumah tersebut melebihi RM6 juta dan bukannya antara RM600,000 hingga RM1.5 juta seperti yang dicadangkan oleh Athimulan.

Selain itu, Nasir juga mengakui bahawa dia tidak menyimpan sebarang dokumen seperti resit menyebabkan dia tidak dapat mengingati dengan jelas semasa ditanya oleh Athimulan berhubung pembayaran cek-cek bagi kerja-kerja pengubahsuaian.

Athimulan: Kamu tidak ingat atau tidak mahu ingat? Wang penting bukan?

Nasir: Saya lebih tumpukan pada kerja. Pasal akaun saya tidak berapa ingat kerana saya orang seni. Saya tumpukan pada kerja-kerja untuk mencantikkan rumah. Duit penting juga.

Saksi seterusnya berkata, dia tidak dapat mengingati dengan tepat tarikh setiap kali Mohamad Khir didakwa menyerahkan wang kepadanya, melainkan mengatakan ia diberikan secara tunai.

"RM500,000 diserahkan di dalam sebuah beg. Wang diserahkan di kediaman rasmi MB Selangor dan waktu itu hanya ada saya dan Mohamad Khir," tambahnya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud, saksi memberitahu dia tidak menyediakan resit atau menyimpan dokumen penyerahan wang kerana Mohamad Khir beritahu 'tak payah pakai resit'.

Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas tuduhan mendapatkan bagi dirinya dan Zahrah, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Syarikat Ditamas Sdn Bhd, melalui pengarahnya Shamsuddin, pada harga yang murah.

Hartanah tersebut yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi MB Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung Selasa.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan