Bekas Isteri Mohon Roslin Batal Ganti Rugi RM53,460

Diterbitkan: Isnin, 13 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Roslin Hashim.
Roslin Hashim.

KUALA LUMPUR: Bekas isteri pemain badminton negara, Muhammad Roslin Hashim iaitu Faizah Mohamad memohon perintah interlokutori (permohonan dalam permohonan) untuk membatalkan saman ganti rugi RM53,460 yang difailkan oleh bekas suaminya itu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Isnin.

Roslin hadir di mahkamah bersama peguamnya Roslizam Rahim sementara Faizah bersama peguamnya Mohd. Amir Nazli Hussin.

Menurut Roslizam, Faizah memfailkan permohonan itu pada 27 Mei lalu disebabkan Roslin gagal hadir ke mahkamah pada 23 dan 24 Mac lalu untuk membicarakan kes tersebut secara tertutup.

Lantaran itu, Roslin diperintahkan memfailkan afidavit jawapan berhubung permohonan Faizah dalam tempoh 14 hari bermula Isnin.

Hakim syarie Abdul Walid Abu Hassan menetapkan kes tersebut dibicarakan pada 6 Julai ini, pukul 10 pagi.

Roslin memfailkan permohonan ganti rugi RM53,460 meliputi tuntutan seluruh wang hantaran dan perbelanjaan perkahwinan terhadap Faizah pada 12 Ogos 2009.

Pada 21 Oktober 2009, Faizah memfailkan notis bantahan awal di Pejabat Pendaftar Mahkamah itu berhubung tuntutan ganti rugi tersebut termasuk mas kahwin berjumlah RM15,000.

Proses sulh (perbincangan) mengenai kes tuntutan ganti rugi perkahwinan yang difailkan Roslin terhadap Faizah pada 25 Ogos 2009 tidak menemui sebarang jalan penyelesaian setelah Faizah tidak bersetuju dengan tuntutan yang difailkan.

Pada 25 Januari 2010, Faizah gagal mengetepikan tuntutan ganti rugi perkahwinan berkenaan yang difailkan bekas suaminya itu setelah Mahkamah Tinggi Syariah menolak bantahan awal wanita terbabit.

Mahkamah memerintahkan supaya satu perbicaraan tertutup diadakan bagi membolehkan Roslin dan Faizah mengemukakan keterangan dan bukti berhubung tuntutan yang dibuat.

Roslin dan Faizah telah bercerai secara talak 'Bain Sughra' dengan satu talak pada 12 Mei 2009.

Talak 'Bain Sughra' adalah talak yang telah diucapkan oleh suami kurang daripada tiga kali tetapi pasangan tidak boleh rujuk semula melainkan dengan pernikahan yang baru walaupun isterinya di dalam edah.

Roslin kemudiannya bernikah dengan Norhayati Othman pada 9 julai 2009 dan bercerai kira-kira sebulan selepas itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan