Shamsudin Berurusan Secara Terus Dengan Mohamad Khir

Diterbitkan: Rabu, 8 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, bahawa beliau berurusan secara terus dengan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.

Shamsuddin, 55, yang merupakan saksi kedua pada perbicaraan dakwaan salah guna kuasa oleh Mohamad Khir menambah, beliau mula mengenali Mohamad Khir sejak beliau mula menjawat jawatan tertinggi di Selangor itu.

"Saya seorang ahli perniagaan dan biasa berjumpa dengan Mohamad Khir atas urusan kerja untuk memperkenalkan syarikat dan membuat cadangan tentang projek oleh syarikat," katanya.

Selain itu, Shamsuddin juga mengakui turut berurusan dengan Datuk Abu Hassan Omar yang menjawat jawatan Menteri Besar sebelum Mohamad Khir.

Shamsuddin yang mempunyai pelbagai syarikat yang berkaitan dengan pembangunan hartanah dan pembinaan juga mengakui syarikatnya banyak berurusan dengan kerajaan Selangor.

Antaranya ialah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodakan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Beliau seterusnya memberitahu, antara projek yang dijalankan adalah projek pembangunan hartanah untuk mendirikan rumah kediaman di Bandar Baru Bangi, dekat sini di bawah syarikat miliknya, Roniaga Sdn Bhd.

"Alhamdulillah, projek tersebut berjalan lancar. Terdapat tiga fasa kesemuanya dan fasa pertama serta fasa kedua telah siap manakala kerja-kerja fasa ketiga sedang berjalan," tambahnya.

Bagaimanapun, apabila disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahad Mohamed, saksi mengakui berdasarkan surat perjanjian yang ditandatangani bersama PKNS pada 9 Mei 2002 projek itu sepatutnya siap pada tahun 2006.

"Saya ada membuat permohonan lanjutan masa secara bersurat dan dialamatkan kepada Pengurus Besar PKNS, iaitu Menteri Besar dan dinyatakan sebab-sebab permohonan.

"Saya menghantar surat itu dengan cara menghubungi dan diserahkan sendiri kepada Mohamad Khir," katanya.

Menjawab soalan mengenai dua lot tanah dan sebuah rumah yang didakwa dibeli oleh Mohamad Khir daripada saksi pada harga yang murah, Shamsuddin memberitahu hartanah tersebut adalah milik Shaiful Aznir Shahabudin.

Katanya, beliau mengetahui Shaiful Aznir, 51, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Permodalan Kebangsaan Berhad berhasrat menjual hartanah tersebut daripada seorang kawan, Datuk Sumadi Ismail.

"Saya dan Sumadi ada melawat rumah tersebut dan Shaiful Aznir menawarkan mahu menjual pada harga RM7 juta. Saya rasa ia terlalu mahal...," katanya.

Percakapan saksi terhenti pada saat itu dan beliau dilihat tidak dapat meneruskan percakapannya dan sering mengulangkan jawapan bagaimana beliau berjumpa Shaiful Aznir.

Apabila ditegur oleh Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki, saksi berulang kali memohon maaf.

"Dah banyak sangat kamu minta maaf. Kamu sihat atau ada masalah kesihatan?," kata Mohtarudin.

Peguam Tan Hock Chuan yang bertindak sebagai peguam pemerhati kepada Shamsuddin kemudiannya memohon agar prosiding ditangguhkan sementara untuk membolehkan anak guamnya berehat.

Bagaimanapun, pihak media kemudiannya dimaklumkan bahawa perbicaraan akan bersambung pada Khamis.

Dalam kes ini, Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas pertuduhan mendapatkan bagi dirinya isteri, Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar pada ketika itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan