Kerana Gunting, Seorang Lelaki Dikenakan Hukuman Penjara Empat Bulan - Berita Mahkamah | mStar

Kerana Gunting, Seorang Lelaki Dikenakan Hukuman Penjara Empat Bulan

Diterbitkan: Khamis, 2 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Mahkamah Majistret di sini pada Khamis menjatuhi hukuman penjara empat bulan terhadap seorang lelaki tempatan yang mengaku bersalah memiliki senjata berbahaya di tempat awam.

Majistret Melisa Chia menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Roslan Abdul, 31, selepas berpuas hati dengan keterangan yang diketengahkan oleh pihak pendakwaan.

Tertuduh didakwa memiliki senjata berkenaan berupa sebuah gunting yang telah dibah suai di kawasan Pasar Tanjung, dekat sini, pada pukul 4.30 petang Rabu.

Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Kamaruddin Ambo Sakka, dalam pendakwaannya, berkata tertuduh ditahan selepas polis menjumpai senjata berkenaan dalam beg sandang hitam yang dibawa oleh tertuduh.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan